July 20, 2011

Manusia mana yang tidak pernah membuat kesilapan

Seringkali kita terlalu takut menempuh kegagalan apatah lagi kesilapan. Sedangkan segala sifat itu tidak pernah lari dari kehidupan kita. Ia sentiasa beriringan dalam sepanjang penghidupan kita selama ini. Kalau hidup tidak pernah buat salah kita akan merasakan hidup ini tidak membina. Kita tidak belajar erti berjaya. Sedar atau tidak untuk mengecapi kejayaan resepi utamanya  adalah menempuh kegagalan dahulu!. Tidak ada manusia yang mula mencipta sesuatu hasil terus menjadi. Sebaliknya ia akan menempuh cubaan demi cubaan sehinggalah ia menghasilkan karya yang bermutu, berkualiti dan diminati!. Kekalahan atau kegagalan yang dihadapi bukan pelemah semangat tetapi penguat semangat diri agar kita bangkit dan belajar untuk memperbaiki diri serta memajukan diri. Bukankah pepatah ada berbunyi ‘manusia mana yang tidak pernah membuat kesilapan’. Tapi kadang-kadang ramai diantara kita sering salah tanggapan berhubung pepatah tersebut. Setiap kali melakukan kesilapan setiap kali itu juga kita akan mengunakan ia sebagai jawapan bagi mengalas setiap kesilapan yang kita lakukan. Walhal kesilapan yang dilakukan itu sebenarnya adalah merupakan tanda peringatan supaya setiap manusia perlu berusaha untuk melakukan yang paling terbaik selagi mampu. 

Begitu juga hidup yang tidak pernah berbuat salah akan menjadikan kita manusia yang sombong diri. Kita akan merasakan kita terlalu sempurna dari manusia lain. Tambah membimbangkan apabila kita tidak boleh menerima teguran dari orang lain sekiranya kita melakukan kesilapan. Kecenderungan membanggakan diri ini mengingatkan kita kepada kisah penciptaan Nabi Adam a.s sewaktu Allah  memerintahkan iblis yang pada ketika itu adalah ketua segala malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s. Tetapi iblis merasakan bahawa tidak layak baginya untuk sujud kepada Nabi Adam a.s kerana ilmu yang dimiliki oleh iblis lebih tinggi daripada Nabi Adam as. Keingkaran tersebut menyebabkan Allah Ta’ala melaknat iblis hingga ke hari kiamat.  Jelaslah di sini menunjukkan kesombongan diri itu sama sekali merupakan sifat yang paling keji dan buruk di sisi Allah Ta’ala. Tidak kira samada manusia itu berilmu atau tidak berilmu sekalipun kerana sifat kesombongan  itu mudah dihinggapi di dalam jiwa manusia. Maka berhati-hatilah kita dalam setiap pengaturan hidup ini baik dari tingkah laku dan bicara.  Janganlah sesekali kita menyebut "Ana khoirun minhu (Saya lebih baik dari dia).

Apa yang dapat dirumuskan di sini, sememangnya hidup kita ini tidak pernah terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan. Segalanya ini bukanlah untuk melemahkan semangat dan memudarkan rasa keyakinan untuk hidup. Tetapi menjadi nadi kekuatan diri dalam mengerakkan kehidupan ini supaya kita sedar tuntutan kita sebagai hamba yakini hendaklah sentiasa berusaha. Bukan sahaja untuk melakukan yang terbaik dalam hidup kita bahkan dalam melaksanakan sepertimana yang telah diperintahkan oleh Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment