July 27, 2012

Nota cinta buat suami

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh dan salam ceria.
Sering kali kita dihujani dengan nota cinta pasangan kekasih yang belum berkahwin namun amat jarang sekali adanya nota cinta selepas berkahwin yakni antara suami isteri. Seeloknya perlulah diperbanyakkan nota-nota cinta perkahwinan kerana melayari bahtera perkahwinan itu amatlah panjang serta lebih besar hikmah dan rahmatnya dibandingkan cinta sebelum berkahwin. Maka sudah pasti banyak gelora yang harus ditempuhi.Semangat cinta dalam perkahwinan perlu ada supaya perjuangan hidup bersama sentiasa membara. Mudah-mudahan sampai ke destinasinya.





Suamiku...
Sudah lama rasanya kita tidak berbicara tentang cinta.
Mungkin kesibukan kita  dalam urusan seharian kita bersama menjadikan kita terlupa bahasa cinta kita. Atau adakah kesibukan kita bersama dalam melayari rumahtanggan ini menjadi penghalang buat kita bermadu kasih. Saat keletihan dalam urusan kadang-kadang terlupa pula kita untuk saling menguntum senyuman.
Suamiku...pandanglah dalam-dalam mataku ini, tundukkan pandangmu renunglah mata cintaku ini.
Agar bisa kau melihat sinar cintaku terhadapmu yang tidak pernah padam. Agar dikau bisa kembali bersemangat dalam perjuangan ini mencari rezeki buat diriku dan anak-anak.
Suamiku...
Tiuplah hembusan cintamu pada diriku selalu, ibarat diriku ini adalah api dan dikau adalah angin. Setiap kali angin menghembus maka akan terus ia bernyala-nyala. Biar semarak cinta kita kerana perkahwinan kita masih panjang. Banyak perkara yang kita tempuhi dan yang bakal datang menduga. Seandainya cinta kita ini rapuh pasti akan patah jua. Ibarat dahan yang reput menunggu masa.
Suamiku...
Ku ingin dikau tahu, bahawa diriku ini sentiasa membayangi cinta padamu. Aku sentiasa memandangmu meskipun dikau berada dihadapanku.  Aku sentiasa merenung wajahmu saat dikau terlena di kamar tidur. Biarpun malam melindungi sinar wajahmu namun hangatnya cintaku ini seakan bercahaya menyinari wajahmu. Terlihat wajah kepenatanmu, membuatkan diriku terharu. Terima kasih kerana menjaga daku sekeluarga. 
Suamiku...
Biar apa pun masalah yang melanda dalam hidupmu, sudilah kiranya dikau berkongsi kisah denganku. Biarku tahu betapa besarnya pengorbananmu demi diriku dan keluargamu. Supaya daku sentiasa sedar dan tahu bahawa dikau benar-benar mengasihi dan menyayangi diriku. Kerana ku tahu bahawa dikau tidak selalunya mampu mengucap cinta padaku. Namun cukuplah bagiku bahawa dikau amat berusaha demi untuk keluarga kita ini. Jangan sesekali menutup kisah dukamu dibalik sifat pendiammu. Aku ini adalah ibarat penawar buatmu...bukankah daku ini rusukmu, yang bukan sekadar rusuk pendokong tubuhmu tetapi  dakulah pendokong setia dibelakangmu.
Suamiku...
Ku sedar bahawa cinta ini tidak mampu menahan segalanya. Adakala saat diuji pasti cinta kita kan goyah.  Adakala kasih sayang kan bergoncang. Oleh kerana itulah kepada Allah jangan sesekali lupa, DIAlah penegak cinta kita bersama. Dialah yang sering menguatkan kudrat kita dalam mencari rezeki serta menumbuhkan harapan untuk sentiasa berusaha. Pada  ketika diri merasa derita, Dialah yang memulihkan penderitaan. Ketika diri kita terasa surutnya kasih sayang Dialah yang mengembangkan kasih sayang kita. Ketika ikatan seakan terlerai Dialah yang memaut tali ikatan kita. Selagi ada jodoh antara kita. Pada-Nya Pemberi Rahmat Yang Paling baik.
Suamiku...
Genggamlah tangaku, pandanglah wajahku, renunglah mataku, kucuplah dahiku dalam kalimat indah ‘Aku masih cintakanmu dan amat menghargaimu’. Kerana mungkin sudah lama kita tidak mempunyai ‘ruang untuk berbuat begitu’. Mudah-mudahan Allah memperbaharui kembali kasih sayang dan cinta kita bersama. Mudah-mudahan Allah  merahmati dan mengampuni dosa antara kita. Dan semoga Allah memberkati rumahtangga ini dengan melimpahkah keluarga yang sakinah serta rimbunan mawadah dan rahmah dalam hubungan kita berdua.
Suamiku...
Aku ingin kau tahu, bahawa tiada tempat untuk isterimu menjatuhkan cinta ini melainkan hanya kepadamu yang ku panggil suami....itulah wadah yang selayaknya buat diriku ini.



No comments:

Post a Comment