April 19, 2011

Menyelami “Lautan Cinta Makrifah” Rabi'atul-adawiyah Al-Basriyyah



Sebuah nukilan dari seorang teman 'cinta itu tidak berhuruf, berupa dan bersuara. Selagi ada huruf, ada rupa, ada suara masih lagi syirik khafi mukhafi. Maka jangan terhijab dengan cinta.

Saya melihat cinta dari sebuah kisah wanita terulung,  Rabiatul Adawiyah binti Ismail al-Adawiyah al-Basriyah. Siapa diantara kita tidak mengenali wanita yang amat terkenal dalam dunia kesufian ini.
                   Anak yang dilahirkan di tengah-tengah kota Basrah , di  dalam sebuah pondok yang usang lagi daif. Tidak berbekalkan apa-apa ketika menyambut kelahirannya di dunia ini. Saat mula meningkat dewasa ayah dan ibunya telah kembali menuju ke alam kekal abadi. Anak kecil ini mulai belajar sebagai manusia yang tidak lagi bergantung pada ayah dan ibu. Anak kecil ini jua telah mulai belajar erti  tanpa kasih sayang, tempat belai dan manja. Namun apa yang mengkagumkan tidak ada secebis luka yang memagari jiwanya sebaliknya anak kecil ini mulai terdidik jiwanya. Rabiah tumbuh membesar dalam kawalan tuhan. Pengalaman hidupnya adalah merupakan jalan yang telah Allah sediakan buat diri Rabiah untuk menjadi seorang pencinta yang sering dahaga dengan mencari cinta ilahi. Siang dan malam hidupnya tidak pernah sunyi, sentiasa sibuk. Bukan kesibukan memikirkan hal dunia tetapi kesibukkannya beribadah kepada Allah Ta’ala. Malam baginya bukan untuk melelapkan mata dan merehatkan tubuh tetapi malam baginya tempat ia bertemu kekasihnya. Seorang yang qanah dan zuhud, tidak pernah mengantungkan harapan yang tinggi dalam merencana kehidupannya. Dia semakin kuat beribadah dengan bertasbih, berzikir, bertafakur kepada Allah Ta’ala. Tidak pernah kering bibir, lidahnya dalam melantun kalimat agung. Jiwanya sentiasa hidup bukan hanya hidup dalam dirinya atau alam ini bahkan hidup di alam nur. Baginya di situlah segala tempatnya melabuhkan kasih sayang. Tempat mengadu segala nasib suka dan dukanya.
Sepanjang perjalanan hidupnya bukannya indah belaka. Penderitaan, penyiksaan manusia ke atasnya menjadikan ia sebagai hamba sahaya cukup memilukan tiap mata yang memandang dan setiap telinga yang mendengar. Tetapi Rabiah tidak pernah merasai terhimpit dan tersiksa jiwanya  kerana setiap langkah dalam hidupnya selalu dihiasi dengan kesabaran dan kesederhanaan. Rasa cintanya kepada Allah tidak mampu diukur, diluahkan, dinukilkan apatah lagi untuk dizahirkan. Betapa cintanya kepada Allah telah mengalir ke seluruh anggotanya dan menyatu dalam hembusan nafasnya. Tidak ada yang terlepas buang sedetik cuma  sekalipun dalam mengingati Allah Ta’ala. Setiap nafas yang dihirup bagaikan kehidupan yang baru baginya. Tidak merasai jemu bahkah semakin subur rasa cintanya terhadap ilahi. Setiap nafas yang terhembus terasa begitu dalamnya segala nikmat yang dikecapi olehnya. Anugerah ini terlalu mahal baginya kerana selagi dia hidup selagi itulah dia akan menjadi pemburu dan menjadi pecinta yang setia. Betapa rasa hidupnya melebihi nyawanya yang ada. Ibarat orang sedang jatuh cinta, akan menuruti apa sahaja yang dihajati oleh kekasihnya. Meskipun kekasihnya tidak memberi apa-apa asalkan biar dirinya sahaja yang berbakti dalam kecintaan ini.
Rabiah tengelam dalam munajatnya kepada Allah hingga terlena dalam kerinduaan kerana keasyikannya dalam bercinta kepada Allah. Cinta Rabiah terlalu suci bak dihiasi indah bintang-bintang di langit malam dan sinaran cahaya mentari di siang hari. Malah lebih dari itu...cinta suci itulah yang menjadikan Rabiah mampu mengharungi kehidupan yang menyulitkan menjadi mudah kerana tekad membara dalam dirinya tidak pernah padam. Perjuangan hidup Rabiah penuh dengan keikhlasan ibarat semerbak harum bunga di taman Firdausi. Sungguh tidak mampu terlihat dari mata kasar dan digambarkan. Sesungguhnya cinta sesuci ini tidak mampu di sulam dan di selami oleh kita sebagai insan biasa namun sebagai manusia yang dicipta oleh-Nya dan telah dibekalkan cinta dari-Nya sudah tentu tahu dan faham mengapa CINTA dianugerahkan dalam diri kita ini.

April 13, 2011

Merentas Sejenak Sejarah Peradaban China


Tembok Besar atau Great Wall China
China merupakan sebuah negara yang mempunyai sejarah lama, kebudayaan cemerlang dan kaya dengan sumber pelancongan. 29 Warisan Alam dan Warisan Budaya Dunia yang wujud di China memperlihatkan kecerdikan dan kerajinan rakyat China. Jumlah Warisan Dunia yang wujud di China itu menempati kedudukan ke-3 di dunia. Di antara tempat yang paling terkenal dan sering menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia ialah Tembok Besar atau Great Wall China. Maka kepada sesiapa yang pernah menjejaki Tembok Besar tersebut, tahniah! anda telah berada di  salah satu antara "7 keajaiban dunia". J
Menyusuri sejarah China cukup unik dan klasik. Melihat sahaja Tembok Besar China serta kepanjangan tembok berkenaan kita akan melihat sebuah perjalanan sejarah yang cukup panjang. Panjangnya bukan hanya sekadar 7 ribu kilometer tembok berkenaan tetapi pertukaran pembesar-pembesar negara dalam memerintah negara China pada ketika itu. Begitu simboliknya Tembok Besar tersebut bukan sahaja dalam bidang ketenteraan untuk dikagumi tetapi seni bina yang menonjolkan simbol kecekalan serta kecerdikan mereka. Lihatlah, hasilnya telah menjadikan binaan yang cukup utuh hingga masih kekal pada hari ini.
Tembok China telah mencatatkan beribu-ribu kenangan yang tidak mungkin dapat terlakar kesemuanya di dalam lembaran catatan sejarah. Betapa ia pernah menjadi saksi orang-orang terdahulu....
Sekitar 1400 tahun yang lalu, sudah terlipat di dalam kitab bahawa di bumi ini bakal menjadi medan misi dakwah yang telah Allah Ta’ala rencanakan. Maka ketika sebelum berlakunya penghijrahan dari Makkah ke Madinah, Baginda Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan beberapa orang sahabat ke negara Tanah Besar ini. Bersiap siaga segala angkatan, berangkatlah Saad Abi waqqas, Qais Bin Hudhafah, Urwah Bin Abi Uthman mengembara ke tanah China atas kerana dasar agama. Meskipun tidak tercatat secara tepat penyebaran Islam di tanah China mula bertapak. Dinasti Tang (618M) telah membuktikan terwujudnya jalinan hubungan diplomatik di antara pemerintahan China dengan pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Uthman Bin Affan. Hubungan yang terikat kemas dengan kebijaksanaan Baginda Rasulullah s.a.w, islam semakin subur berkembang di negara China baik dari segi perdadangan dan kegiatan ekonomi. Hinggalah ke bab perkahwinan campur antara orang Arab dan Cina serta pengislaman penduduk tempatan. Maka tidak hairanlah mengapa negara China mempunyai banyak binaan masjid-masjid di setiap belahan wilayahnya.


 Tulisan kaligrafi di dalam Masjid Nujie
(terima kasih kepada seorang teman atas kesudian berkongsi gambar)


  Masjid Cheng Ho,
Laksamana Cheng Ho juga dikenali sebagai Zheng He dalam masyarakat cina, manakala nama Islam ialah Ma Sanbao atau Muhammad Ho. 

Antara masjid yang tertua dan termasyhur ialah masjid Nujie di Beijing. Masjid tersebut juga masih lagi digunakan oleh penduduk untuk beribadat dan majlis ilmu. Masjid ini dibina pada tahun 996 Masihi ketika di bawah pemerintahan dinasti Song. Seni bina masjid ini banyak memaparkan ciri-ciri budaya dan kesenian Cina. Namun apa yang menariknya nukilan kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruang pintu, dinding dan tiang masjid ini sama sekali tidak memisahkan. Disebalik kehalusan kaligrafi kalimah-kalimah agung itu terpancar cahaya keislaman yang banyak menyimpan khazanah yang berkaitan dengan titik permulaan perkembangan Islam di China.

Masjid Agung Xi'an terletak berhampiran Menara Gendang (Gu Lou) di Lorong Huajue di Xi’an, ibu negeri provinsi Shaanxi, China. Dibina sewaktu Wangsa Tang (pemerintahan Maharaja Xuanzong, 685-762)
Atas segala ‘tanaman’ para ulama dan para daei dahulu, kini negara China telah melahirkan sebanyak 136 juta umat Islam. Angkanya lebih dari menurut sumber rasmi mengenai bancian penduduk Islam di China hanya mencatatkan 40 juta umat Islam sahaja.

Makam Saad Abi waqqas di Guangzhou
Saya pernah meninggalkan pesan pada seorang teman ketika dia berkesempatan berada di Tembok China. Saya minta beliau lepaskan pandangan jauh-jauh. Menyerapi sebuah kalimat “Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”.
Dalam saat merenung keindahan dihadapan mata tanpa dibatasi segala halangan. Taktala terasa angin kedinginan yang mendesir... menghembus ke seluruh alam. Nun, di atas dada-dada langit jauh terlihat sebuah cekerawala biru. Tampak kelihatan ada gelombang cahaya di sana. Terpersona menyaksikan keindahan, tenggelam dalam kebesaran, terpancar sinar keagungan-Nya. Cahaya yang menjadi penyinar kehidupan umat manusia. Begitu jualah cahaya ilahi yang ada dalam jiwa para kekasih seperti cermin membiaskan seluruh cahaya yang datang dari cahaya cinta Allah yang dipancarkan kepadanya. Di tanah ini baik di belahan bumi mana sekali pun, tetap barakah....setiap pelusuk bumi ini telah Allah Ta’ala hujani rimbunan rahmat yang tidak terhitung. Apatah lagi dihiasi dengan terutusnya para nabi dan rasul serta para kekasih Allah swt. Menjadikan bumi ini tempat yang amat subur untuk menanam benih syurga.



Masjid Beijing  tetapi jangan silap ia bukan di China, lokasinya terletak di  Rantau Panjang Kelantan

February 17, 2011

Sisihkan air mata saat diri dihina.

Sisihkan air mata saat diri dihina, hapuskan derita di dalam...hiduplah dalam ketenangan rahmat ilahi

Fitrah manusia memang terlalu sukar untuk menerima penghinaan. Tidak kira apa jua bentuk penghinaan yang dihadapi lantaran diri merasa tidak berguna, tidak bernilai, sentiasa dirundum kesedihaan, berendam air mata kedukaan dan kadangkala menimbulkan perasaan amarah. Betapa manusia itu apabila diuji maka emosi akan menjadi celaru dan ketidakpuashati mula berputik dalam diri. Namun sedar atau tidak hidup bergelumang dengan kepelbagaian emosi ini akan menjadikan jiwa tidak tenteram. Ke mana sahaja pergi perasaan itu akan sentiasa bergolak. Maka seronokkah hidup ini jika diri sentiasa tidak tenang?. Apa erti sebuah penghinaan? Tidak  ada apa-apa keberuntungan yang diperolehi baik yang menghina dan juga yang dihina. Manusia yang suka menghina orang adalah manusia yang tidak sedar akan diri bahawa diri manusia ini sebenarnya memang hina disisi Tuhan. Hina adalah kerana sering melakukan dosa, setiap kekurangan diri tidak pernah diperhati melainkan melihat kehinaan orang lain. Bagi yang dihina yang merasakan dirinya tercabar maka tabahlah menghadapinya kerana tidak kemanapun penghinaan itu. Ingatlah, sedangkan para nabi, rasul dan juga Allah pun dihina oleh manusia-manusia yang kufur dan mati jiwanya inikan pula kita manusia biasa. Kesabaran itu puncak kemenangan diri, bila diri ini dihina bersabarlah dan tabahlah menghadapinya. Sisihkan air mata saat diri dihina, muliakan diri dengan Islam biar hina di mata insan tetapi tidak dihadapan Allah swt.

February 14, 2011

KETIKA DIRI TIDAK DIHARGAI

Seorang ulama pernah berkata ‘ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga’

Tidak semua manusia mampu menghadapi tekanan apabila diri dihimpit resah taktala terasa diri semacam tidak dihargai lagi.  Sungguh betapa sukar untuk menerima hakikat ini hingga ada yang kecewa, sengsara dan derita. Memikirkan diri tidak dihargai lagi bukan sahaja gerak langkah yang kita aturkan semakin sumbang dan tak bermaya bahkan ia akan membunuh semangat diri kita. Hidup akan jadi tidak berkeyakinan lalu sampai bila? bukankah hidup ini terlalu singkat, demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugiaan. Ruginya hidup kita bila terlalu banyak bermainan dengan perasaan, alpa serta khayal memikirkan sesuatu yang tidak mendatangkan hasil. Ramai manusia bila kecewa atau sengsara akan membawa hati yang lara terlalu jauh dari kehidupan ini. Duduk di dalam dunia ciptaan sendiri  walhal dunia itu hanya dunia angan-angan yang tidak wujud!.  Apa keberhasilan yang kita perolehi disebalik semua itu? sedangkan alam yang diciptakan oleh Allah Ta’aala terlalu banyak nikmatnya untuk dinikmati. Tidak semestinya makan itu nikmat, minum itu nikmat, bercinta itu nikmat, kahwin itu nikmat, keluarga itu nikmat bahkan seluruh isi alam ini terlalu penuh dengan kenikmatan yang tidak mampu kita hitung!. Jadi, mengapa rasa diri tidak dihargai...cuba renung dalam diri kita. Apakah kita tidak sadar bahawa kita punyai harga diri? Kita punyai kelebihan dalam diri kita, keunikan yang tidak mungkin ada pada orang lain.
Hari ini jika kita rasa kecewa dan menderita, padamkan-lah dalam kamus diri kita. Hargailah diri kita, tidak mengapa jika orang disekeliling kita atau orang yang kita sayangi tidak menghargai kita asalkan kita sendiri punyai harga diri. Pasakkan dalam hati kita, keyakinan dan  pohonlah hidayah dari Allah, semoga terlimpah dalam jiwa. Mudah-mudahan bila kita membuka mata nanti, kita tidak akan lagi nampak keresahan, kekecewaan sebaliknya kekuatan, kesungguhan kita melangkah alam ini dengan penuh bertenaga. Ingat dunia ini tidak akan berubah tetapi mata hati kita yang mulai berubah. Pandanglah ke hadapan bahawa kita punyai matlamat yang lebih penting lagi untuk kita tempuhi. Kembara hidup kita masih lagi jauh, jauh bukan bererti alam ini atau kita hidup ke penghujung usia. Tetapi alam seterusnya masih ada dan masih belum kita lalui. Dunia ini jambatan akhirat maka persiapkanlah diri dan janganlah terlalu lama memandang hal-hal yang remeh dalam kehidupan ini. Gunakan segala setiap ruang dan kesempatan hidup kita serta manfaatkan usia yang Allah kurniakan untuk kita berbakti dan menabur jasa di alam ini. Jangan mengharapkan balasan tetapi ikhlaslah dalam perjuangan hidup ini. Masa tetap akan berjalan dan begitu pantas sekali hingga kita tidak mampu memintas masa yang cepat berlari. Maka kejarlah kehidupan ini dengan matlamat yang jelas, teladan yang baik pedoman yang lengkap dan jalan serta perjuangan yang mantap!. Gunakanlah kesempatan ini selagi mana Allah tentukan buat kita sebelum kesempatan ini tertutup. Seorang ulama pernah berkata ‘ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga’.
Sebagai manusia biasa kita tidak boleh lari dari pelbagai masalah hidup. Tidak mengapa merasa derita atau kecewa kerana ia akan memberi pengajaran dalam hidup kita bahawa tidak ada tempat yang dapat mengubat segala penderitaan ini melainkan kepada Allah segala penawarnya. 


January 31, 2011

Teman Sang Malam dan Sang Hujan



Seharian hujan turun tanpa henti dari siang membawa hingga ke malam. Suasana malam ini terasa dingin, melihat kucingku bersendirian di dalam sangkarnya, redup matanya berkelip-kelip dihembus angin malam. Sudah lama aku membiarkan hidupnya bebas tanpa kurungan. Sejak ia makin membesar, aku tekad melepaskannya supaya ia hidup dalam fitrah sebagai haiwan yang bebas. Pergilah ke mana kaki ingin melangkah, namun sang kucing sudah tahu budi baik tuannya terhadapnya. Sejauh mana ia pergi tetap ke rumah tuannya ia pulang. Malam ini aku terpaksa kurungkannya, menghadkan aktiviti malamnya yang selalu entah ke mana. Tahu-tahu pulang membawa lipas bukan dibuat untuk santapan tetapi untuk dibuat main. Seronok membela kucing kampung lebih baik dari membela kucing parsi kerana kelincahan dan keberaniaannya. Hujan semakin lebat, saat wajah ku terpancul di muka pintu. Sang kucing mengejuk mukaku, sinar matanya bagikan meminta belas kasihan. Masih menanti kalau-kalau tuannya dapat melepaskannya. Aku merenungnya sambil tersenyum, masing-masing mengunakan isyarat mata tanda berinteraksi. Seakan tahu jawapan tuanya, sang kucing akur tanpa ‘mengiau’ untuk dilepaskan. Lalu ia menoleh, melepaskan pandangannya ke arah hujan. Lama benar ia merenung hujan yang turun. Tubuhnya berteleku dalam kesejukkan, diselimuti dengan bulunya yang halus mulus dan kerana bulunya itulah jua yang membuatkan saban masa aku sibuk mengemas rumah. Meskipun aku suka dengan kucing kerana kecomelaan dan kemanjaannya tetapi satu bab yang aku  lemah sekali  ialah bulu-bulunya. Sungguh pun begitu... Masyaallah...comel sungguh kucing ciptaan Allah swt ini.
Aku masih lagi di birai pintu, turut sama memerhatikan hujan yang turun. Air hujan yang turun dari bumbung rumah jiran,  ku lihat jatuh mencurah-curah. Tumbuh-tumbuhan pula bagaikan gembira menerima kedatangan sang hujan. Bumi Allah yang penuh barakah ini tetap disambut oleh penduduk bumi dengan penuh kesyukuran. Hujan yang membawa rahmat bukan sahaja menjadikan malam ini penuh kedinginan tetapi kegembiraan. Taktala aku mendengar suara-suara jiran riuh berborak duduk berkumpul sesama keluarga. Riang gelak ketawa seakan turut sama serancak hujan di malam ini. Rintik-rintik hujan cukup lebat sekali pada malam ini, air yang mengalir di tanah ku lihat seolah-olah bagaikan sedang membersihkan permukaan bumi ini. Segala debu kekotoran yang terdedah dan berbumbungkan langit pasti bersih disimbahi hujan. Aliranya sedikit demi sedikit meresap ke dasar bumi untuk dinikmati pula berjuta-juta akar di dalamnya. Jika sebelum ini tanah yang kering  kontang akan menjadi subur dan gembur. Agar pohon yang merimbun bisa akan berbuah pula;
‘Dan bukti (kekuasaan Allah) bagi mereka adalah bumi yang mati kami hidupkan bumi itu serta Kami keluarkan biji-bijian; maka daripadanya mereka makan. Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air; supaya mereka makan buah-buahan dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?'
Yassin~
Subahanallah...alhamdulillah.
Dalam kepekatan malam ini dan kedinginan yang semakin mencengkam tubuh. Diriku membisikan sesuatu;
 “Ya Allah, sesungguhnya kekuasaan-Mu mengatasi segala apa yang ada di alam ini, sepertimana Engkau menurunkan hujan lalu bumi yang mati Engkau hidupkan. Lembah yang dulu gersang kini kembali menghijau segalanya atas kekuasaan-Mu dan rahmat-Mu. Maka Ya Allah, kami juga berharap dan berdoa agar Engkau sentiasa menitiskan titisan-titisan rahmat ke dalam jiwa kami yang amat kami dahagakan hidayah dari-Mu. Supaya jiwa kami yang diliputi debu-debu kekejian disucikan sepertimana Engkau membersihkan bumi ini dengan hujan rahmat-Mu. Kerana Engkaulah Ya Allah sebaik-baik pencuciaan bagi hati-hati yang mati. Jangan biarkan kami hidup di alam ini tetapi hakikatnya jiwa kami mati dari sumber kasih sayang-Mu. Meskipun dunia ini penuh dengan kekotoran pada pandangan bathinya namun ia tetap tidak menjadi halangan buat para hamba-Mu. Kerana dari  kasih sayang-Mu itulah menjadikan hamba-hamba-Mu hidup dengan penuh membara dalam ketenangan demi untuk memiliki keridhaanmu Ya Allah”.
Malam semakin larut, hujan pula semakin reda. Aku melihat langit yang gelap tanpa ada bintang dan bulan menemani. Sudah tiba masanya untuk aku menutup malam ini...selamat malam wahai malam, selamat malam wahai hujan. Kalian tetap taat kepada-Nya, berjalan atas jalan sunahtullah tanpa sedikit pun mengingkari jika dibandingkan manusia ini sering sahaja lompang dalam ketaatan!.

January 17, 2011

Hari ini HARI ISNIN

Sudah agak lama tidak menjenguk blog ini apatah lagi menulis. Seakan rasa kekok jari ini memulakan gerak tarinya untuk menukil langkah bicara. Meskipun berjaya mengeluarkan dua artikal minggu lepas itupun banyak kali edit. Kesibukan beberapa minggu ini membuatkan diri ini rindu nak menulis tapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian sebelum meluangkan masa diblog ini. Utamakan yang mana lebih utama.

Cuaca sejak akhir-akhir seringkali hujan, terasa dingin suasana tambah lagi hujan di sebelah malam dan dinihari. Terasa sejuk hingga ke tulang hitam saat mandi di awal pagi, celik mata hilang mengantuk. Cukup segar sekali pagi ini, pasti akan aku mulakan langkahku dengan penuh bertenaga. Meskipun hari Isnin adalah diantara hari yang paling ramai manusia tidak bersemangat melaluinya. Ini mungkin cuti Sabtu dan Ahad seakan tidak cukup lagi untuk merehatkan badan dan minda. Tapi bagiku yang pernah juga melalui pengalaman demikian ia sesuatu yang tidak patut dilakukan alhamduliah, usia yang meningkat mula memantang diriku tentang kehidupan ini. Mana hilangnya semangat kita pada hari ini hingga gerak langkah terasa longlai tak bermaya. Untuk mengukir senyuman pun teramat payah. Ayuh! mari kita mulakan langkah hari ini dengan perasaan yang gembira. Mengapa harus bermuka ‘ketat’ dan bermata ‘kelat’ sedangkan hari ini terlalu indah. Cuba lihat nun jauh di dada langit awan nan biru itu berarak tenang. Sungguh gebu kelompok-kelompok awan menghiasi alam. Pandanglah lagi dikaki langit itu kerana sinar mentari telah mula memancarkan cahayanya. Burung-burung telah mula keluar dari sarang melebarkan sayap membelah awan. Riuh kedengaran kicauan sang burung mencari makan lalu tidak terasakah dalam diri kita? Jika alam begitu manis dan ceria dipandang mengapa kita yang sebaik-baik ciptaan-Nya seolah-olah berjasad tapi tak bernyawa. Kenapa tidak merasa bahagia dengan kehidupan yang Allah jadikan ini. Adakah kita rasa hari ini menjemukan atau membosankan. Ya Allah, janganlah kita rugikan hari ini kerana ia datang hanya sekali dan tak akan kembali untuk mengantikan hari yang kita siakan. Waktu semakin pantas berlari tapi kita masih terhegeh-hegeh meniti hari ini bahkan tidak bersedia menghadapinya.

Hari ini, kita tidak tahu apa yang bakal kita tempuhi dan apa yang ada dihadapan kita tidak ada siapa yang menduga. Bahkan dalam tempoh jarak sesaat kita tidak boleh baca perjalanan hidup kita yang bakal berlaku. Bagaimana kita ingin menempuhinya jika diri kita tidak bersiap sedia. Betapa ramai antara kita yang hadir ke tempat kerja tetapi bagaikan tidak hadir?. Adik-adik yang ke sekolah yang sepatutnya bertujuan untuk menimba ilmu sebaliknya hanya bersuka-suka. Masa yang ada terbuang begitu sahaja, guru sibuk mengajar dihadapan adik-adik dibelakang buat apa?. Kita harus sedar dan wajib sedar bahawa hidup kita di alam ini ada tujuan dan matlamatnya. Bukan semata-mata hidup untuk makan ataupun makan untuk hidup. Tetapi menjalani hidup ini dengan satu visi dan misi iaitu untuk alam yang kekal lagi abadi. Hidup ini terlalu singkat! kita tidak tahu bila pengakhir noktah kita di alam ini. Maka isikan hidup kita dengan penuh bermakna lakukan segala urusan yang telah diamanahkan sebaik-baiknya selagi mana kita mampu laksanakan. Hidup ini adalah ibadah segala apa yang kita lakukan tetap ibadah. Jangan bataskan ibadah itu hanya solat, puasa, zakat, haji sebagai urusan agama walhal agama itu adalah keseluruhan hidup kita. Sebagaimana kita lafazkan dua kalimah syahadat ia bukan hanya sekadar mengucap tetapi perlu diyakini oleh hati. Yakin bahawa Allah s.w.t adalah ESA tiada Tuhan selain-Nya dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah persuruh Allah, membawa rahmat ilahi cahaya kebenaran menyuluh sekelian alam. Tetapi bagaimana kita ingin merasa yakin dengan Allah? perhatikan pada diri kita, adakah benar penyaksiaan kita terhadap-Nya dalam melawati hidup kita selama ini. Kalau kita tidak mampu merenung selama mana kita hidup cukuplah kita merenung diri kita pada hari ini. Di mana tanda kesyukuran kita sebagai seorang hamba kepada-Nya. Di mana keyakinan kita terhadap-Nya bahawa Dia sebaik-sebaik pencipta yang mengatur segala apa yang ada dalam kehidupan ini. Kita adalah manusia yang sebaik-baik kejadiaan yang dijadikan tetapi persembahan diri kita kepada-Nya tidak seperti apa yang telah Dia berikan. Ingat, Allah tidak menginginkan apa-apa dari kita apatah lagi memerlukan kita kerana kita yang sebenarnya memerlukan-Nya. 

Maka oleh itu marilah kita hidup pada hari ini dengan penuh kenikmatan. Hargailah masa yang diberikan lakukan yang terbaik dalam hidup ini bukan hanya untuk diri kita bahkan untuk diri orang lain juga. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita dan memberi penujuk jalan untuk melepasi kesulitan yang dihadapi. Hidup ini tidak semudah yang disangka namun kesulitan yang dihadapi terasa mudah kerana Allah Ta’ala yang memudahkan. Berusahalah dengan gigih dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana duduk berdiam diri sambil mengharapkan sesuatu yang jatuh dari langit tidak diajar di dalam Islam. Dalam kehidupan ini tiap-tiap apa yang diusahakan bukanlah kerana daya kekuatan dan kebijaksaan yang lahir dari diri. Tidak mungkin dari usaha tercapainya cita-cita dan impian melainkan Allah Ta’ala yang menyempurnakan. 

Ya Allah, rahmatilah hidup kami pada hari ini, berkatilah umur kami yang Engkau anugerahkan kepada kami supaya kami tidak menjadi dikalangan hamba-Mu yang rugi. 
Wahai Yang Maha Pengampun, ampunilah diatas segala kesalahan dosa yang telah kami lakukan selama mana kami hidup di dunia ini.
Ya Allah, kami mohon pada-Mu agar tiupkan kekuatan dalam jiwa kami supaya kami tetap teguh berdiri menghadapi apa jua rintangan dengan tabah dan sabar. Janganlah tiap-tiap rintangan itu menjadi halangan buat kami untun berjaya di dunia dan akhirat melainkan dijadikan semangat agar jiwa kami sentiasa terdorong dan beryakinan terhadapa-Mu.
Wahai Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dari kalangan mereka yang menyayangi.


Senyumlah dalam menghadapi kehidupan pada hari ini. Tidak kira siapa diri kita yang penting kita berjaya membahagia perjalanan hidup kita. Bukan sahaja diri kita bahkan orang lain. Kebahagian yang sebenar adalah datang dari sanubari yang suci murni.














January 14, 2011

“Senyum..Jangan Tak Senyum"


“Senyum seindah suria yang membawa bahagia, senyum dari hati duniamu berseri”. Alangkah ruginya hidup kita ini membiarkan bibir kita terlalu berat untuk menguntum senyuman. Lesunya tiap langkah kita ini saat susahnya menghiasi senyuman dalam hidup. Betapa senyuman itu memberi kuasa dan tenaga bukan sahaja pada diri kita bahkan pada orang lain yang melihat kita tersenyum. Rasulullah saw jua turut menganjurkan umat-umatnya sentiasa bermanis muka dengan senyum yang turut dikirakan sebagai sedekah.  Namun jangan pula senyuman itu disalahgunakan contoh seperti untuk memikat gadis atau teruna hingga menimbulkan niat yang lain. Kadangkala kita juga terlalu susah untuk senyum terutama bila dalam keadaan marah. Hah! amat pelik sekali caranya jika perasaan marah di lepaskan dengan senyuman.  Ada sebuah kisah yang ingin dikongsikan bersama; suatu hari telah datang seorang Badawi meminta wang dari Rasulullah saw lalu Rasulullah saw memberi wang kepada Badawi berkenaan. Namun saat melihat wang yang diberi oleh Rasulullah saw, Badawi itu bingkas menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak jujur kerana wang berkenaan terlalu sedikit daripada pandangannya. Tetapi Rasulullah saw tidak mememarahi Badawi itu sebaliknya baginda tersenyum serta ditambahkan lagi wang kepada Badawi berkenaan dan menasihati beliau agar menutur dengan kata-kata yang mengandungi doa. Hasil dari kesabaran dan kebijaksanaan baginda menangani hal demikian pada ke esokan harinya Badawi berkenaan mengikuti nasihat baginda dan mendoakan baginda, keluarga serta para sahabat. Dari kisah ini dapat disimpulkan bahawa perkara-perkara yang kecil janganlah dijadikan sebagai masalah yang besar terutama yang melibatkan persaudaraan sesama insan. Biarpun ada masalah yang besar dan memerlukan kebenaran untuk ditegakkan tanganilah ia dengan sebaik-baik kebijaksanaan bukannya membiarkan api amarah menguasai diri. Rasulullah saw seorang yang suka tersenyum dan sebesar-besar ketawa baginda ialah tersenyum lebar hingga menampakkan baris giginya yang putih. Apabila baginda gembira maka dipejamkan matanya. Begitulah serba sedikit gambaran senyuman kekasih Allah swt ini. Bagi kita bagaimana? adakah terlebih dalam senyuman? atau terlalu susah melemparkan senyuman? Sesungguhnya senyuman itu menjadikan diri ini sentiasa muda selalu dari bermasam muka menyebabkan diri menjadi tua. Buat kata orang lama ‘ orang yang suka marah cepat tua’. Ini kerana kita telah banyak mengunakan tenaga dan saraf-saraf wajah mula menegang kerana terlebih kerutan akibat marah. Hasilnya wajah akan mula menimbulkan kedutan bukankah itu menjadikan ‘tua sebelum waktunya’. Oleh itu, mulai saat ini maka lakarkan hidup kita yang lebih bermakna iaitu senyum, senyumlah sebagai tanda kita seorang insan yang amat menghormati orang lain. Tidak mengapa kalau senyuman tidak dibalas kerana ini menunjukkan anda seorang yang amat PERMURAH.

December 16, 2010

'Dari ibu kita mengenal kasih sayang Allah'

Renunglah dalam diri kita dari semenjak kita kecil lagi dan bayangkan saat kita dilahir pada ketika itu yang masih belum berkemampuan untuk mengingati segala peristiwa. 'Dari ibu kita mengenal kasih sayang Allah'.

"Dan kami wasiatkan (perintahkan)kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam 2 tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali" ayat 14 surah Luqman.
Sesungguhnya kewajipan seorang anak terhadap kedua ibu bapanya tidak mampu terbalas hakikat inilah yang perlu kita insafi. Kasihlah ibu..kasihlah ayah..seburuk mana sekalipun rupa keadaanya terimalah mereka kerana kita harus ingat ‘tidaklah Allah memandang wajah seseorang melainkan apa yang ada dalam hatinya. Serta jika sejahat mana perbuatannya bukanlah tugas kita untuk menghukum semua itu adalah urusan Allah. Kasihlah kedua ibu dan ayah kita sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah sumber segala kasih sayang. Semoga kita semua dilimpahi rahmatNya. Kisah Nabi Musa ini sepatutnya menjadi renungan buat saya dan semua.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t.. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah s.w.t.. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t.menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya.

December 07, 2010

AKU TETAP AKU


AKU TETAP AKU!
Ayat yang cukup tepat sekali! tidak ada sesiapa yang dapat merubah ketentuan Allah swt. Jika takdir itu telah tertulis di Loh MahfuzNya. Saat saya melihat seorang insan yang bernama Mohd Sukur Ibrahim di MHI TV3 pagi tadi saya merasakan betapa HEBATNYA KEKUASAAN Allah swt RAHMAT serta KASIH SAYANGNYA tiada siapa yang dapat menduga. Bagaimana seseorang insan yang tidak sempurna pancainderanya mampu menongkah arus kehidupan yang serba mencabar ini dengan merangkul kejayaan hidup yang bagi saya 'Luar Biasa". Ya, memang benar ramai manusia yang sempurna pancainderannya mampu berjaya tetapi ramai pula yang kalah. Sering mengeluh, berputus asa dan bosan dengan rona-rona kehidupan ini. Tetapi seorang insan yang serba kekurangan sesekali tidak mahu kalah dan tidak pula dijadikan alasan tidak mampu hidup dengan bekal yang Allah swt berikan. Inilah yang dinamakan golongan yang teristimewa, mengunakan nikmat Allah swt sebaik-baiknya. Manusia yang hebat bukannya terletak pada kesempurnaan pancainderannya tetapi di dalam dirinya yang punyai jiwa yang besar. Meskipun serba kekurangan pada lahiriahnya namun tidak menjadi penghalang untuk bersama-sama menikmati nikmat kehidupan di muka bumi Allah swt ini. Oleh itu janganlah kita sesekali memandang kekurangan yang ada pada diri seseorang insan boleh jadi kekurangan yang ada padanya akan menjadi GURU bagi kita. Jangan fikir manusia golongan ini hidupnya hanya untuk 'meminta-minta' belas kasihan orang dan boleh jadi yang 'meminta-minta' itu tidak di beri ruang dalam masyarakat untuk mereka hidup berdikari. Kejayaan yang mereka miliki bukanlah hanya untuk diri mereka tetapi kejayaan mereka adalah untuk bersama-sama kita untuk saling bantu membantu bagi yang memerlukan. Alam ini indah sebenarnya meskipun pada pandangan mata kasar kita terlalu banyak lompang-lompang kerosakan di merata-rata. Namun jika kita melihat dari pandangan yang lurus kita akan melihat betapa indahnya hidup yang Allah swt jadikan ini. Sesungguhnya KeindahanNya mengatasi segala keindahan yang ada. Marilah kita berjuang untuk kehidupan ini kerana dunia ini tempat untuk kita ke akhirat. Bukanlah kita perlu hidup untuk dunia tetapi memerlukan dunia untuk hidup. Jika kita kalah di dunia ini bagaimana kita ingin mendapat kemenangan di sana! Ingat, jalan hidup ini tidak mudah, untuk mendapat hasilnya kita perlu berjuangan dan perjuangan itu menuntut banyak pengorbanan dan kesabaran. Inilah kehidupan!

Anda boleh melayari website insan istimewa ini di;

http://mohdsukuribrahim.blogspot.com/

December 06, 2010

Salam Maal Hijrah




Sebelum Tahun 1431 Hijrah menutup tirai pada hari ini dan sebelum kita membina iltizam baru. Marilah kita merenung kembali segala gerak langkah kita sepanjang tahun ini. Mungkin selama ini kita hanya banyak merangkai cita-cita untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan kita namun adalah lebih baiknya kita melihati sejauhmana jati diri dalam diri kita. Sesungguhnya untuk menjadi insan yang hebat adalah bermula dari dalam diri.
Hijrah itu PERJUANGAN ( Berjuang memerdekakan diri)
Hijrah itu PENGORBANAN (memperjuangkan hawa nafsu memerlukan banyak pengorbanan dalam diri).
Hijrah itu PERSAUDARAAN ( saat ketauhidan telah terpasak di dalam maka akan tersemai kasih sayang di antara hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia).
Marilah kita sama-sama menghayati petikan hadis ini mudah-mudahan akan melahirkan kesedaran dalam diri kita dan menjadi panduan serta manfaat buat kita semuanya;

" Wahai manusia, adakah setelah engkau berbuat maksiat, lalu engkau mengingati AKU?
Adakah engkau telah berhenti daripada Ku-tegah?
Adakah engkau telah menunaikan kewajipanmu kepada-Ku sebagai telah Ku-suruh?
Sudahkah engkau membelanjai orang-orang miskin dengan hartamu?
Adakah engaku sudah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadamu?
Adakag engkau telah memaafkan orang yang telah menganiyamu?
Adakah engkau telah menginsafkan orang yang telah mengkhianatimu?
Adakah engkau telah bercakap dan menegur orang yang mengusirmu( tidak mahu menegurmu)?
Adakah engkau telah menyenakan hati tentanggamu?
Adakah engkau sudah pergi bertemu ulama untuk bertanya tentang agama dan duniamu?
"Sesungguhnya AKU tidak memandang kepada wajah kamu dan tidak kepada kecantikan kamu, akan tetapi Aku memandang kepada hati kami. Aku suka jika kamu memiliki sifat-sifat tersebut'.

( sebahagian Hadis Qudsi - Karangan Imam Al-Ghazali)

Hidup dan berkerjalah kita bersungguh-sungguh sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Buanglah sifat berputus asa, bosan dan suka mengeluh dalam kehidupan kita. Jangan juga sesekali merasa selesa atau nyaman dengan apa yang ada pada diri kita atau sekeliling kita hingga kita terperangkap dengan tipuan dunia.Sesungguhnya tipu daya-Nya itu cukup halus maka berhati-hatilah kita selalu dalam menghadapi dunia ini.

Salam Maal Hijrah buat semua.

Saling ingat mengingati dan ingatlah saya selalu wahai teman dan taulan kerana sesungguhnya saya jua manusia biasa.

December 03, 2010

Dalam Rezeki Kita Ada Rezeki Orang Lain

Alhamdulillah, menikmati cuti pada hari Jumaat bagi saya lebih baik dari cuti hujung minggu kerana suasana agak tenang tidak terlalu sibuk. Sempena cuti pada hari ini saya meluangkan masa menemai ibu untuk membeli-belah dan sepanjang perjalanan kami banyak berbicara tentang haji. Meskipun saya masih belum menjejaki tanah suci  namun cerita dari pengalaman ibu itu bagikan seolah-olah membawa hati saya bersama. Begitu ranum dan manisnya setiap kali mengimbau kembali pengalaman ke tanah suci kerana jelas terpancar pada riak wajahnya. Hinggakan beliau menyatakan seolah-olah masih tidak merasa puas dan kalau boleh ingin menunaikan haji lagi jika di beri kesempatan. Namun beliau tetap bersyukur kerana impiannya hampir 7 tahun berakhir jua dengan izin Allah swt.  Saya juga merasakan tentu mereka-mereka yang pernah menunaikan umrah atau haji sudah pasti tidak akan melupakan saat yang indah itu sampai bila-bila. Maka tidak hairanlah mengapa ramai orang Islam bercita-cita untuk menunaikan haji sekali lagi. Alhamdulillah... namun saya mempunyai pandangan yang agak berbeza (mohon maaf terlebih dahulu). Bagi saya haji yang terbaik adalah haji sekali seumur hidup. Seolah-olah haji yang ingin kita tunaikan itu adalah terakhir sekali yang mungkin selepas itu tidak diberi kesempatan lagi. Benar, tidak salah jika ingin menunaikan haji sekali lagi sekiranya kita berkemampuan. Namun kita harus ingat bahawa kita masih ada lagi kewajipan yang penting pada perkara-perkara yang lain. Di sini saya memberikan anda sebuah kisah perjalanan haji seorang ulama Abbdullah bin al-Mubarak. Mudah-mudahan kita temui hikmah disebalik kisah ini.

Pada suatu waktu, setelah selesai menunaikan tahap demi tahap rangkaian ibadah haji, Abdullah bin al-Mubarak  tertidur dan bermimpi melihat dua malaikat yang turun dari langit.

“Berapa banyak jamaah yang datang tahun ini?” Tanya malaikat kepada malaikat lainnya.


“600.000,” jawab malaikat lainnya.


“Berapa banyak dari mereka yang ibadah hajinya diterima?”


“Tidak satupun”


Percakapan ini membuat Abdullah gemetar.


“Apa?” Beliaupun menangis.


“Semua orang ini telah datang dari belahan bumi yang jauh, dengan kesulitan yang besar dan keletihan di sepanjang perjalanan, berkelana menyusuri padang pasir yang luas, dan semua usaha mereka menjadi sia-sia?” Fikir Ibnu Mubarak sedih


“Kecuali hanya seorang tukang sepatu di Damsyik yang dipanggil Ali bin Mowaffaq.” Kata malaikat yang pertama.


“Dia tidak datang menunaikan ibadah haji, tetapi ibadah hajinya diterima dan seluruh dosanya telah diampuni. Bahkan berkat dialah ibadah seluruh jamaah haji ini diterima oleh Allah.” Lanjut malaikat pertama menerangkan.


Ketika Abdullah Ibnu Mubarak mendengar percakapannya itu, maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik mencari orang yang bernama Ali bin Muwaffaq itu. Dia telusuri tempat tinggal Muwaffaq sampai beliau temukan. Dan ketika diketuk pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia bertanya tentang namanya.


“Assalamu‘alaykum warahmatullahi wabarakatuh!” Sapa Ibnu Mubarak sambil mengetuk pintu.


“Siapakah namamu dan pekerjaan apa yang kau lakukan?” Tanya Ibnu al-Mubarak kepada lelaki yang ditemuinya.


“Aku Ali bin Muwaffaq, penjual sepatu. Siapakah Anda?”


Kepada lelaki itu Ibnu al-Mubarak menerangkan jadi dirinya dan maksud kedatangannya. Setelah tahu siapa yang datang serta maksud dan tujuannya. Tiba-tiba Muwaffaq menangis dan jatuh pengsan.


Ketika sedar, Ibnu Mubarak memohon agar Muwaffaq berkenan untuk menceritakan semua yang dia alami terkait dengan hajinya. Dia mengatakan bahawa selama 40 tahun dia telah rindu untuk melakukan perjalanan haji ini. Untuk itu telah terkumpul dana sebanyak 350 dirham dari hasil berdagang sepatu. Maka tahun ini dia memutuskan untuk pergi ke Mekkah.


Suatu hari isterinya yang sedang hamil mencium aroma sedap makanan yang sedang dimasak tetangga sebelah rumahnhya. Kemudian si isteri memohon kepadanya agar ia dapat mencicipinya sedikit. Lalu Muwaffaq pergi menuju tetangga sebelah, mengetuk pintunya kemudian menjelaskan situasinya.


Saat Muwaffaq mengutarakan maksud kedatangannya, tetangga itupun mendadak menangis.


“Sudah tiga hari ini anakku tidak makan apa-apa,” katanya.


“Hari ini aku melihat keledai mati tergeletak dan memotongnya kemudian memasaknya untuk mereka. Ini bukan makanan yang halal bagimu.” Terang tetangganya sambil menangis.


Saat mendengar cerita itu hati Muwaffaq serasa terbakar. Maka tabungan yang terkumpul untuk berhaji sebanyak 350 dirham diberikan kepadanya.


“Belanjakan ini untuk anakmu,” kata Muwaffaq.


“Inilah perjalanan hajiku.” kata Muwaffaq dalam hati.


“Malaikat berbicara dengan nyata di dalam mimpiku,” kata Abdullah Ibnu Mubarak selepas menemui Muwaffaq.


“Dan Penguasa kerajaan syurga adalah benar dalam keputusanNya.”    






Sesungguhnya Islam itu bersaudara kita saling punyai hak di antara satu sama lain. Maka sudah menjadi kewajipan kita untuk memenuhi hak saudara kita. Ketahuilah jua bahawa Nabi Muhammad saw mempunyai sifat yang sering mendahului serta memenuhi hak orang lain terlebih dahulu sebelum memenuhi hak dirinya sendiri meskipun baginda amat memerlukan. Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, sepertimana pemurahnya Muwaffaq itu jelas menunjukkan bahawa Allah lebih-lebih lagi Ar Rahman membalasi manusia yang berjiwa pemurah.  Saya sekali memohon maaf atas pandangan ini. Buat kata perpatah "Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik".

December 01, 2010

Cara Bersangka Baik

Oleh : Syeikh Abdulkadir Al Jailani


Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih daik darimu. Ucapkan dalam hatimu :


"Mungkin kedudukannya di sisi ALlah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".


Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :


"Anak ini belum bermaksiat kepada ALlah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".


Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):


"Dia telah beribadah kepada ALlah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):


"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :


"Orang ini bermaksiat kepada ALlah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :


"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.


Sumber : Muhammad Nawawi bin Umar al Jawi, Nasa'ihul 'Ibad, Bungkul Indah, Surabaya - Indonesia, hal 38, hal 12.

Rujukan : Novel bin Muhammad Alaydrus, Orang Bijak Berkata - Kumpulan Nasihat Sepanjang Masa, Taman Ilmu, Cetakan ke-5, 2008 Semanggi-Surakarta
,
     

November 29, 2010

Assalamualaika Ya Rasulullah



Baginda bersabda; Tuhanku menawarkan kepadaku untuk membuat gunung Bathha’ di Mekah menjadi emas. Aku berkata, “tidak wahai Tuhanku, yang aku mahu adalah kenyang sehari dan lapar sehari. Apabila aku lapar, aku akan bertadaruk kepada-Mu dan menyebut nama-Mu. Dan apabila aku kenyang, aku akan bersyukur dan memuji-Mu’.


Baginda pernah berdoa;
‘Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad sebatas makanan pokok’.

Ummul Mukminin Aisyah RA berkata,
“Keluarga Muhammad tidak pernah kenyang makan gandum selama 3 hari berturut-turut sejak baginda tiba di Madinah sehingga baginda wafat’

Aisyah RA juga berkata,
“Keluarga Muhammad tidak makan 2 kali sehari kecuali salah satunya adalah memakan kurma kering’.

Aisyah RA menuturkan kisah kesederhanan hidup yang dijalani Rasulullah SAW kepada Urwah bin Zubair RA. Dia berkata, “Kami benar-benar tidak menyalakan api (memasak) di rumah-rumah baginda selama 40 malam’. Lalu Urwah bin Zubair bertanya, ‘Bagaimana makanan kalian?’

Aisyah menjawab, “Kurma dan air”.

Sesungguhnya kehidupan Nabi Muhammad SAW terlalu cukup sederhana, baginda sangat zuhud, qannah, redha, sabar dalam melalui kehidupan yang serba sederhana dan kefakiran namun tidak pula sesekali baginda meminta-meminta bahkan baginda cukup pemurah memberi apa sahaja yang ada pada baginda kepada mereka yang meminta-minta. Kesederhanaan kehidupan Nabi Allah ini tidak mampu menandingi kehidupan diri kita.

Ya Nabi SalamAlayka
Ya Rasul SalamAlayka
Ya Habeeb SalamAlayka
Salawatullah Alayka


Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfudz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Al-Hadid: 22-23).

November 19, 2010

Menatap Pagi yang INDAH

Merenung alam bererti berbicara dengan-Nya

Pagi yang indah dan mendamaikan...
Camar terbang riuh sekawan, tidak henti-henti bertasbih atas segala nikmat yang tercurah di pagi ini. Nun, di ufuk timur sinar suria mula menyinari alam, terbias cahaya yang indah memukau pandangan hati yang dalam. Deruan angin membawa kedinginan pagi pantas mengusap wajah...taktala sisiran dedaun ditiup angin mengalunkan irama yang gemersik. Kedengaran halus kalimah lembut tanda kesyukuran pada Maha Pencipta. Kelihatan embun mulai menitis di hujung dedaun menandakan matahari mula menginjak tinggi.

                                      Keindahan itu bukan terletak pada alam-Nya


Namun mengapa masih ada yang sungul wajahnya takla fajar pagi menyinsing tiba? keluh dan resah seolah-olah tidak gembira menerima hari ini. Renunglah pada dalam diri serta segala apa yang terzahir di hadapan mata. Betapa luasnya dan banyaknya  segala kenikmatan yang telah Allah kurniaakan. Maka layakah kesusahan yang kita hadapi itu ditebus dengan penuh keluhan perasaan. Sedangkan pagi ini celik sahaja mata kita masih lagi bernafas. Seluruh pancaindera kita masih mampu berfungsi apatah lagi dapat menatap insan-insan yang tersayang di sisi. Telah bersabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud : " Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada Allah. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaanya maka telah hilang dua pertiga agamanya.

Oleh itu usahlah berdukacita di waktu pagi sedangkan seluruh alam menyambut dengan penuh kegembiraan sebagai tanda menyusukuri segala nikmat yang melimpah. Segala ciptaan yang penuh dengan kenikmatan yang tidak mampu terjangkau akal fikiran hati dan perasaan. Maka apa lagi yang tidak cukup walhal semuanya telah Allah swt berikan meskipun tidak di minta!. Bukalah lembaran Ar Rahman cungkil mutiara di dalam; 
Ar Rahman (Yang Maha Pemurah),

Yang telah mengajarkan Al Qur'an.

Dia menciptakan manusia,

Mengajarnya pandai berbicara.

Matahari dan bulan (beredar) menurut perhitungan.

Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan kedua-duanya tunduk kepada-Nya.

Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan).

Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu.

Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.

Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk (Nya).

di bumi itu ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak mayang.

Dan biji-bijian yang berkulit dan bunga-bunga yang harum baunya.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

















Semasin-masin air lautan tidak sesekali mencemarkan rasa isi ikan di dalamnya.


Kepada yang gemar tidur semula selepas subuh, ayuh! bangkitlah seusai solat subuh janganlah menyambung kembali tidurmu. Lihatlah alam yang luas yang terbentang segala isinya telah terkandung di dalam kitabNya, perlihatkanlah di sebalik keindahan itu ada Maha Keindahan yang mengatasi segala keindahan.
Ibnu Athaillah al-Sakandari telah menyampaikan di dalam kitab Al Hikam ' Bagaimana mungkin Ia terhijab oleh sesuatu padahal Ia yang mengzahirkan segala sesuatu?
'Bagaimana mungkin Ia terhijab oleh sesuatu, padahal Ia selalu menampakkan diri-Nya bersama segala sesuatu?


           Mampukah kita membilang butiran pasir di pantai? Sedangkan yang di dalam gengaman  
           pun tidak mampu kita menghitungya. Sesungguhnya rahmat Allah itu tidak terjangkau dan
           tiada batasnya.
 
Hakikat alam ini gelap gulita tidak mungkin matahari mampu menerangi alam terang benderang. Tidak mungkin burung melebarkan sayap terapung di awan gemawan dengan sendirinya. Tidak mungkin angin bertiup lalu mengerakkan segala apa yang ringan di bumi ini dengan sendirinya. Tidak mungkin air mengalir dari gunung jatuh ke hulu menuju ke hilir berakhir di lautan dengan sendirinya. Tidak mungkin tumbuh-tumbuhan dari benih lalu bercambah menjadi pohon yang rimbun dan berbuah dengan sendirinya. Melainkan ada kekuatan Yang Maha Berkuasa yang merupakan tanda kewujudan Allah swt pada alam itu sendiri. Sepertimana alam memerlukan cahaya mentari untuk menyuluh alam begitu jualah diri kita yang amat mermerlukan cahayaNya untuk menjadi penyinar dan petunjuk dalam kegelapan.
Ya Allah, berkatilah hidup kami pada hari ini agar dapat kami memanafaatkan hari ini sebaik-baiknya. 
Allaahumma ashlih lii diiniyallati huwa 'ishamatu amrii, wa ashlih lii dunyayallatii ja'alta fiihaa ma'assyii.
Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi pegangan urusanku, dan perbaikilah bagiku duniaku yang padanya Engkau jadikan penghidupanku.