March 08, 2014
Sebelum aku beredar pergi
Hari ini daku melihat air matamu menitis, setelah terlalu lama dadamu menahan sebak. Saat aku memelukmu, kegoncangan ini turut meragut emosiku.
Sandarlah ke bahuku. Mudah-mudahan dikau tenang...
Dengarlah pesananku baik-baik 'Biar sehebat mana gelombang lautan menghempas...badai itu bukan menyakitkan.
Andainya dikau karam...itu adalah yang terbaik buat dirimu.
Supaya dikau tahu ketidakupayaanmu dan supaya dikau kenal tujuan hidup matimu.
Ingatlah hari ini aku bersamamu.
Namun suatu masa nanti ku kan pergi, waktu itu usahlah dikau bersedih lagi kerana pemergiaan itu telah tertulis.
Sekiranya dikau bersedih jua, menangislah untuk dirimu.
Kelak kau akan kenal erti sebuah senyuman....
Tataplah wajahku serta simpanlah dalam ingatanmu.
Sebelum aku beredar pergi...'.
July 01, 2013
Maafkan daku wahai malam...
Malam ini gelap tanpa rembulan, melepaskan pandang jauh ke dada langit. Sedikit tidak menghalang perasaan yang seakan terbang membawa diri. Kegembiraan membuatkan aku bersyukur dengan nikmat ini namun turut bersedih takut terlupa akan nikmat ini.
Saat merenung jauh ke dada langit.Tidak terlihat akan malam...bukan kerana tiada bulan dan bintang maka malam hilang serinya.
Tetapi renunganku telah jatuh ke dalam hati membuatkan aku terlupa padamu wahai malam.
Maafkan daku wahai malam...
April 08, 2013
Yang Indah itu MilikNya
Assalamualaikum....
Menjengok kamar ini terasa akan sunyinya. Sunyi kerana telah terlalu lama membiarkan ia sepi tanpa bahan cerita. Nak kata sibuk, tidaklah sesibuk mana. Namun dalam melayari kehidupan ini 'menyibukkan diri' itu perlu ada supaya kita tidak terleka atau membuang waktu begitu sahaja. Bukankah kehidupan ini juga 'ibadah' maka hendaklah kita susuri jalan hidup ini beriringan dengan ibadahkan!.
Baru-baru ini, saya mula meneroka 'minat' baru. Tertarik dengan warna-warni yang menarik saya mula minat untuk menghasilkan 'kerja tangan' mengunakan kain felt. Asalnya membuat 'keychin' ...
Merebak pula ke bantal...
dan seterusnya ke bantal dan bantal lagi....
Bila melihat hasil kerja ini, Subahanallah! Masya'allah indah karya Allah....tidak ada hasil dari saya melainkan milik Allah semata.
Menjengok kamar ini terasa akan sunyinya. Sunyi kerana telah terlalu lama membiarkan ia sepi tanpa bahan cerita. Nak kata sibuk, tidaklah sesibuk mana. Namun dalam melayari kehidupan ini 'menyibukkan diri' itu perlu ada supaya kita tidak terleka atau membuang waktu begitu sahaja. Bukankah kehidupan ini juga 'ibadah' maka hendaklah kita susuri jalan hidup ini beriringan dengan ibadahkan!.
Baru-baru ini, saya mula meneroka 'minat' baru. Tertarik dengan warna-warni yang menarik saya mula minat untuk menghasilkan 'kerja tangan' mengunakan kain felt. Asalnya membuat 'keychin' ...
Merebak pula ke bantal...
dan seterusnya ke bantal dan bantal lagi....
Bila melihat hasil kerja ini, Subahanallah! Masya'allah indah karya Allah....tidak ada hasil dari saya melainkan milik Allah semata.
November 26, 2012
Senyumlah untuk Hari Ini
Assalamualaikum….
Semalam telah menjadi kenangan. Esok masih ada namun belum tentu ada buat diri kita. Ternyata hidup kita seolah hanya ada pada hari ini sahaja. Maka, bangkitlah semangat sepertimana kehangatan sinar mentari pagi yang bersinar dan tenanglah hati sepertimana hujan yang menitiskan kedinginan.
Bersyukurlah! kerana masih ada lagi pengharapan buat kita untuk berbakti dan memperbaiki.
Serta senyumlah pada diri sendiri sebelum mengukir senyuman pada orang lain kerana belum tentu kita akan dapat ‘menikmati’ senyuman orang lain kepada kita.
Semalam telah menjadi kenangan. Esok masih ada namun belum tentu ada buat diri kita. Ternyata hidup kita seolah hanya ada pada hari ini sahaja. Maka, bangkitlah semangat sepertimana kehangatan sinar mentari pagi yang bersinar dan tenanglah hati sepertimana hujan yang menitiskan kedinginan.
Bersyukurlah! kerana masih ada lagi pengharapan buat kita untuk berbakti dan memperbaiki.
Serta senyumlah pada diri sendiri sebelum mengukir senyuman pada orang lain kerana belum tentu kita akan dapat ‘menikmati’ senyuman orang lain kepada kita.
August 01, 2012
Biarkan air mata berlinangan...
Wahai teman...ada bening di balik kelopak matamu.
Redup matamu, ku tahu bahawa dikau tengah bersedih.
Gelora jiwamu tiada siapa yang tahu meskipun aku.
Kerna tangisan, gambaran jiwa yang tidak mampu dibicarakan.
Lalu mengapa menahan air mata dari tertumpah.
Sedangkan kolam air matamu tidak mampu membendung.
Biarkan ia mengalir, kerana tangisan bukanlah kelemahan.
Tetapi tanda buah kelembutan hati kerana hati nan keras bisa menjadi lebur...
Maka menangislah wahai teman...kerana ku tahu hidup ini tidak selalunya manis.
Menangislah pada tempatnya...tidaklah Allah ciptakan air mata itu tiada manfaatnya.
Jika kita adalah hambanya kita akan tahu betapa dalamnya ertinya sebuah tangisan.
July 06, 2012
MENGAPA MESTI AKU YANG MENERIMANYA?
Menghadapi hari ini tidak semudah itu, begitu jua dalam menghadapi kehidupan di alam ini. Seringkali kepelbagaian masalah dalam kehidupan menuntut banyak kesabaran. Terlalu banyak persoalan yang cuba kita timbulkan namun semakin dirungkaikan kita menjadi semakin banyak keluhan. Mengapa ya? kerana tidak semua permasalahan itu sebenarnya punyai jawapannya. Berapa ramai antara kita di sini, sebaik sahaja celik mata dari tidur kita memikirkan bermacam-macam masalah? Berapa ramai pula kadangkala merasa ketakutan dalam menghadapi hari ini gara-gara ‘menghitung’ tiap masalah?. Apakah mungkin tiap dari manusia itu dapat menghindari diri dari ditimpa masalah? Sudah semestinya tidak mungkin bukan!.
Jadi usahlah menganggap bahawa semua masalah itu mendatangkan masalah buat diri kita. Apa yang perlu kita tahu setiap masalah hidup kita sebenarnya adalah merupakan proses perubahan buat diri kita. Cuba kita renung pada diri kita…apakah yang sering mendorong kita untuk berubah?. Sedarkah kita tiap kali kita di rundum masalah pasti akan ada 'maklumbalas' kita dalam menghadapinya. Setiap 'maklumbalas' itulah yang akan mencetuskan perubahan dalam hidup kita tanpa kita sedari. Maka sedarlah bahawa masalah itu sesuatu yang tidak perlu kita benci dan tak mampu dihindari.
Marilah kita pelajari untuk sentiasa berfikir, fikir mengapa hidup di dunia ini saling berlawanan sifatnya. Fikir mengapa hidup di dunia ini penuh dengan kepelbagaian konflik. Adakah semua ini menuntut diri kita untuk menjadi lemah atau menjadikan diri kita seorang yang penakut?.
Marilah kita belajar untuk tidak berkata ‘MENGAPA MESTI AKU YANG MENERIMANYA’?. Namun katakanlah ‘MENGAPA TIDAK AKU MENERIMANYA SEDANGKAN IA MEMBERI KEBAIKAN BUAT DIRIKU’. Sebenarnya setiap kebaikan yang kita perolehi ada manfaatnya dan setiap keburukan yang kita harungi jua ada manfaatnya.
May 18, 2012
MASA belum tentu memberi PERINGATAN
Masa
semakin pantas beredar pergi. Meskipun kita mengerti akan hukum ini
namun seringkali kita alpa. Kita bagaikan 'terpukau' dari jam
waktu. Seolah beranggapan setiap jarum yang berdetik bagaikan 'pusingan
waktu' yang sama. Walhal setiap sesaat itu adalah 'baru'!.
Hari ini dalam tidak sedar anak-anak semakin membesar.Tersedar apabila ia mula merasa malu.Malu untuk pakai baju depan kita.Malu jika ditegur perbuatan salahnya di depan orang lain.Apatah lagi sudah pandai untuk memilih pakaian sendiri.
Hari ini dalam tidak sedar juga, baru tersedar bahawa ibu dan ayah pun semakin tua.Itu pun setelah salah seorang ibu dan ayah jatuh sakit. Baru tahu kudrat mereka tidak segagah dulu. Baru tahu mereka perlukan perhatian serta rindukan 'kunjungan sayang' kita.
Hari ini dalam tidak sedar jua, pasangan hidup kita mula banyak 'ragam'nya. Tidak seperti waktu mula-mula kahwin dahulu. Mungkin kita terlupa bahwa bentuk kasih sayang tidak semestinya sama. Masa muda sayangnya begini, masa dewasa sayangnya begitu, masa tua sayangnya lain pula.
Hari ini dalam tak sedar kita terlupa pada usia diri kita.Jika beruban kita warnakan...terlupa sudah usia kita. Jika sambut kelahiran dengan gaya hiburan. Tak teringat usia semakin tersisih. Maka eloklah kita berhenti seketika, fikirkan tentang kita serta insan di sekeliling kita.
Mungkin MASA tidak cukup untuk membantu kita memberi PERINGATAN. Pun begitu USIA belum tentu MENYEDARKAN. Ada ketika Tuhan menjatuhkan dugaan bukan kerana benci tetapi sayang. Supaya ingat di mana kesudahan kita nanti. Marilah kita sama-sama pelajari erti SYUKUR dengan nikmat yang diberikan. Pandanglah apa yang hanya ada pada kita. Bukannya memandang apa belum ada dalam genggaman.
Kita ini hanya manusia, yang tidak berkemampuan untuk memutarkan masa dan kehidupan. Walaupun kita kata MERANCANG namun sebenarnya KETETAPAN Allah SWT tiada siapa yg dapat menolaknya.
Ingatan buat diri saya dan semua yang seringkali terlupa....
March 30, 2012
Keindahannya Keindahan-Mu
Malam semalam ku menatap taburan bintang di langit, sinar yang berkerdipan memukau pandangan dalam. Hati berdetik, "betapa aku hanya melihat secebis keindahan dan kecantikan-Mu di dunia ini. Dan sudah pasti tidak mampu menandingi segala keindahan dan kecantikkan melihat Wajah-Mu di akhirat kelak...".
Tiada apa yang indah di dunia ini daripada melihat segala ciptaan Allah Subhan'Allah. Baik ciptaan yang nampak elok dan tidak elok dari pandangan manusia namun yang diciptakan oleh-Nya semuanya tetap indah belaka. Keindahan itu bukanlah diukur dan dilihat pada pandangan mata kasar tetapi menurut pandangan mata hati.
March 13, 2012
Izinkanku melamar jiwa-jiwa kalian
Wahai teman...izinkan saya 'melamar' jiwa kalian dan kita bertemu di Kamar Kehidupan adalah semata untuk berkongsi kisah suka duka dunia ini. Kita bicara dari hati ke hati menyingkap realiti hidup ini dari kaca mata yang sebenar. Dari hari ke hari...saya menatap segala kisah penyakit-penyakit jiwa manusia. Media massa pula seolah rancak membicarakan tentang kehidupan ragam manusia. Ada sahaja kisah duka yang menghiasi ruang utama akhbar hingga kadangkala nafas seakan sesak. Sampai bila kisah-kisah menyayat hati ini terus dilongokkan di dada-dada akhbar dan paparan 'kotak kaca'?.
Mengapa manusia semakin surut rasa kasih sayang dan cinta. Sedangkan rahmat ilahi tidak pernah kering sama sekali.
Izinkan saya membawa pertanyaan ke dalam jiwa kalian...
Bagaimana seorang ibu yang melahirkan anak dengan penuh kepayahan namun masih tergamak merelakan anaknya dirogol?.
Bagaimana seorang ayah yang menjadi tempat perlindung tergamak memperkosa anak sendiri?.
Bagaimana seorang anak yang diasuh, dibelai dengan penuh kasih sayang serta ditatang bagai minyak yang penuh sejak dari kecil lagi sanggup meninggalkan ibu yang sakit terlantar seorang diri. Bahkan ada juga yang sanggup menyepak ke dua ibu bapa dan lebih zalim lagi membunuh?.
Mengapa manusia sanggup berperilaku sedemikian?.
Adakah mereka semua ini kurang kasih sayang? kurang kewangan atau lebih tepat lagi kurang agama?.
Wahai teman, mari kita sama-sama perhatikan betul-betul surah al-Anbiya 21:107.
Firman Allah yang bermaksud “ Tidaklah kamu ( Muhammad) diutus melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam'.
Lalu apakah tujuan utama Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad SAW di alam ini?
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia” ( Riwayat Ahmad).
Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah untuk membawa rahmat dan menyempurnakan akhlak manusia. Ketahuilah rahmat Allah melimpah kerana keluhuran akhlak manusia, jika rosak akhlak manusia itu menandakan jiwa-jiwa manusia semakin kering titisan rahmat-Nya.
Sebab itulah kita melihat mengapa insan-insan yang kita sepatutnya menyayangi dikasihi menjadi perlindung saat ketakutan tetapi tidak amanah pada tanggungjawabnya. Begitu juga anak-anak yang kita asuh dan dididik. Kita lakar di atas kain seputih salju menjadi indah warna kehidupannya akhirnya tercalit noda. Menjadi ingkar dan derhaka terhadap ke dua ibu bapanya. Dan kerana itulah semakin ramai manusia sudah tandus serta gersang dengan nikmat segala kasih sayang walhal kasih sayang-Nya tidak pernah padam.
Lihat alam ini, awan yang berarak dan bunga-bunga yang mekar indah tidak pernah jemu tiap mata memandang. Jika tanpa rahmat dan kasih sayang Allah sudah tentu semua yang dipandang tidak nampak cantik dan indah. Begitu jua jika jiwa tidak disimbahi rahmatNya sudah tentu segala yang dipandang tidak dapat dibezakan serta terlalu amat menyakitkan.
Justeru itu pandanglah kalian semua dalam setiap masalah masyarakat yang terjadi dalam kehidupan kita yang saban hari ini. Sepertimana yang telah saya jelaskan di atas tadi.
Justeru itu pandanglah kalian semua dalam setiap masalah masyarakat yang terjadi dalam kehidupan kita yang saban hari ini. Sepertimana yang telah saya jelaskan di atas tadi.
Saya bukan ingin menakutkan kalian tetapi inilah hakikat kehidupan zaman ini. Sederas arus kemodenan serta pembangunan dunia sederas itu jugalah pembanguanan kerohaniaan manusia dirobohkan. Bukanlah pembangunan dalam kehidupan ini perlu di tolak. Tetapi imbangilah kedua-duanya yakni dunia dan akhirat selaras mengikut syarak sepertimana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.
'Wahai Allah titiskanlah rahmat-Mu dalam jiwa-jiwa kami ini. Janganlah Engkau lumpuhkan segala rasa jiwa kami dalam lubuk sanubari kami yang paling dalam. Sehingga tidak tersinar cahaya kecintaan serta kasih sayang".
"Wahai Allah sesungguhnya kami tidak mampu hidup tanpa rahmat-Mu jika hidup sekalipun, hidup kami bergelimpangan ibarat kehausan di padang pasir".
"Wahai Allah Yang Maha Luas Pengampunan-Mu, maafilah kami, ampunilah kami atas segala kezaliman yang telah kami lakukan".
"Wahai Allah Yang Maha Lemah Lembut, lunakkanlah jiwa-jiwa kami dan ikatkan tali persaudaraan kami agar saling berkasih sayang. Serta himpunkanlah kami dibawah naungan rahmat-Mu di akhirat pada ketika tidak tempat untuk kami bernaung".
"Wahai Allah Yang Maha Melindungi, selimutilah kami taktala jiwa kami dalam ketakutan mahupun dizalimi. Serta anugerahkan kami pemimpin-pemimpin yang bertakwa berjiwa Insan Kamil Mukamil".
Atas rahmat-Mu yang melimpah, suburkanlah jiwa-jiwa kami dengan cahaya iman dan berkatilah kami dunia dan akhirat.
Atas rahmat-Mu yang melimpah, suburkanlah jiwa-jiwa kami dengan cahaya iman dan berkatilah kami dunia dan akhirat.
"Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar.
"Allah humassalli ala saidina muhammad wa ala ali saidina muhammad".
"Allah humassalli ala saidina muhammad wa ala ali saidina muhammad".
March 08, 2012
Bila Adzan Berkumandang
Bila adzan berkumandang maka berhentilah dari berkata-kata....tidak ada seruan yang paling indah melainkan seruan ilahi.
Hati yang resah insya'allah menjadi tenteram...badan yang lemah insya'allah menjadi baik...fikiran yang kusut, insya'allah akan terurus.
Banyak hikmahnya pada yang mengerti....
March 02, 2012
Kasihanilah yang di bumi maka yang di langit akan mengasihimu
Masih ada lagi antara kita memandang serong dan hina pada manusia yang cacat jasadnya, cacat perilakunya atau kurang pada akalnya.
Adakah kita merasakan diri kita cukup sempurna sehingga kita terlupa siapa diri kita?.
Lalu berhakkah manusia yang serba kekurangan pada dirinya perlu dihukum oleh kita yang juga manusia?.
Telah bersabda Rasulullah SAW:
"Tidak akan masuk Syurga selain pengasih. "
Mereka bertanya, "Ya Rasulullah, tiap-tiap kami pengasih."
Rasulullah SAW bersabda:
"Bukanlah pengasih orang yang menyayangi dirinya saja. Tetapi pengasih itu orang yang menyayangi orang lain seperti menyayangi diri sendiri. "
Sedar atau tidak Allah menciptakan anjing dan khinzir meskipun haram menurut agama namun ia dijadikan bukan untuk dihina. Inikan pula kita sesama manusia yg punyai otak dan akal bahkan dicipta dengan penuh kelembutan dan kasih sayang...
Cuba kita renung gambar dibawah ini...
Indahnya persaudaraan...penuh kelembutan, tenang pada tiap mata yang memandang...lalu mengapa keindahan yang tercipta dihiasi dengan luka?.
Cuba kita renung gambar dibawah ini...
Indahnya persaudaraan...penuh kelembutan, tenang pada tiap mata yang memandang...lalu mengapa keindahan yang tercipta dihiasi dengan luka?.
MENGAPA LETIH MENCARI KEBAHAGIAAN???
Assalamualaikum dan salam ceria semuanya...sedikit utk kita kongsi bersama.
Betapa semua antara kita manusia amat mengidamkan kebahagiaan. Begitu juga saya yang amat meninginkan kebahagiaan.Namun kita kekadang keliru dalam memahami dan mencari erti kebahagiaan.
1.Adakah kekayaan itu kebahagiaan?
2.Adakah keluarga bahagia itu kebahagiaan?
3.Adakah kuasa itu kebahagiaan?
4.Adakah dunia yang aman damai turut kebahagiaan?
5.Adakah wajah tampan dan rupawan itu kebahagiaan?
5.Adakah bijak itu kebahagiaan atau bodoh itu kebahagiaan (hehehe)
Lalu adakah kesemua faktor di atas itu mampu melahirkan kebahagiaan pada diri kita? berdasar pengalaman hidup kita semua, sebenarnya kesemua faktor luaran itu masih tidak mampu memenuhi kebahagiaan diri kita. Itu yg sering menjadikan kita letih, letih kerana kita tidak tahu arah mana ingin mencari kebahagiaan yg sebenar.Tambahan lagi dalam pencarian mencari kebahagiaan rupanya banyak cabaran dan dugaan yang mengundang.Inilah kehidupan HUKUM BERLAWANAN,contoh; Sihat vs Sakit. Baik vs Jahat. Cantik vs Hodoh. Ehhh kenapa tidak jadikan semua cantik2? baik2? dan sihat2? agar kita semua bahagia?
Ketahuilah...sedangkan tahun, cuaca dan tiupan angin berubah-ubah inikan kita manusia, sudah pastinya sering mengalami perubahan kehidupan.
Mengapa??? lalu timbul persoalan...
Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam atau dari dalam ke luar?
Maka hayatilah kehidupan kita selama ini....semoga hidup kita diberkati Allah dunia akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
February 10, 2012
Janganlah marah padaku...
Ketika kecil...kita menangis inginkan sesuatu atau tidak dapat memiliki sesuatu. Kerana waktu itu kita belum pandai berbicara. Tetapi mengapa setelah dewasa punyai akal fikiran kita menjadi seorang pemarah atas sesuatu perkara yang kita rasa menyakitkan.
Wahai manusia...
janganlah marah kepadaku atas sebab kesilapan ataupun atas sebab tidak memenuhi hajatmu. Kerana sesungguhnya daku tidak mampu untuk memenuhi segala kehendakkanmu.
Wahai manusia...
jika kebaikkan yang daku berikan, belum tentu dikau menerima diriku. Kerana sesunggunya daku juga tidak mampu untuk membuatkan kalian menerima diriku.
kerana...
daku ini hanyalah manusia seperti kalian yang punyai hati dan perasaan. Dan daku bukanlah Tuhan yang dapat memenuhi segala keinginan....
January 06, 2012
Binalah azam dalam setiap detik kehidupan kita
Setiap pagi kita bangun dari tidur, ucaplah alhamdulillah dan berdoalah "Wahai Allah berkatilah hidupku pada hari ini serta permudahkan segala urusan hidup ku pada hari ini. Sesungguhnya aku tidak mampu melakukan segala-galanya tanpa rahmat dari-Mu.
Kadang-kadang kita suka melakar kehidupan kita mengikut musim dan menunggu tahun yang baharu mulalah kita ingin membuat perubahan. Tidak kira apa jua bentuk perubahan yang ingin kita rencanakan baik dari segi kerja, pendidikan, ekonomi atau pun yang lebih bersifat peribadi iaitu seperti pembentuk sahsiah diri. Kita juga suka menumpukan perhatian kepada perubahan-perubahan yang besar serta mengharapkan kejayaan yang gemilang. Tapi bagaimana jika yang direncanakan yang diharapkan itu gagal dikecapi? pada ketika itu kita mula persoalkan diri.
Nah! mengapa perlu mensasarkan perubahan yang besar-besar sedangkan yang sekecil-kecil perubahan sebenarnya menghasilkan kejayaan yang lebih bermakna. Contohnya, jika kita seorang yang terlalu sukar untuk senyum. Mengapa tidak kita kata pada diri, "mulai saat ini aku ingin menjadi seorang yang amat permurah dengan senyuman". Hasilnya, selama ini orang-orang sekeliling kita yang selalu melihat wajah kita yang 'ketat' serta senyum 'kelat'. Akan merasa gembira dan selesa mendampingi kita...bukankah hidup akan menjadi lebih ceria dan bahagia?. Jika hari ini kita pergi kerja selalu lewat, mengapa tidak kita kata pada diri 'mulai esok aku akan datang kerja lebih awal'. Hasilnya, kita tidak lagi sibuk-sibuk potong 'Q' di jalanraya yang mungkin selama ini kita berebut-rebut kejar masa sampai 'curi' laluan orang dan juga kejar lampu hijau yang dah berkelip-kelip tanda berhenti. Silap haribulan boleh berlaku kemalangan akibat kerana pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan pemandu yang lain. Adakah kita tidak rasa bahawa kita telah melakukan perubahan yang hebat meskipun perubahan itu nampak kecil?.
Oleh itu jangan menunggu tahun, baru nak bina tekad dan azam baru. Sedangkan setiap hari kita menempuh hari yang baru. Maka binalah azam dalam setiap detik kehidupan kita, bahawa HARI INI AKU AKAN BERUSAHA UNTUK BERUBAH MENJADI LEBIH BAIK DARI SEMALAM dan bersyukurlah meskipun sedikit perubahannya.
Usahlah berdendam dan bermusuhan
Usahlah berdendam dan bermusuhan. Sakit sekelumit manapun dalam hati janganlah dibawa sampai mati. Fikirkan keadaan nasib kita semua di akhirat kelak. Hitungan dan penilaian Allah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar pekara yang dikerjakan oleh kita selama di dunia akan diperhalusi umpama sehelai rambut dibelah tujuh terlalu halus penelitian-Nya.
Ingatlah, sebagai manusia kita juga tidak terlepas dari berbuat dosa…lalu kepada siapa lagi untuk memohon keampunan? jika tidak mengharapkan Allah mengampuni dosa kita. Inikan pula dosa kita sesama manusia.
Sifat pegampun kita terhadap manusia lain amat kecil sekali.Tidakkah kita sedar bahawa betapa kedekut dan sombongnya kita. Sedangkan Pengampunan Allah lebih luas dan kaya dengan keampunan.
November 22, 2011
Insan yang berjiwa Salahudin bin Ayubi....
Saya membawa beberapa sudutan menarik yang dipetik dari novel ‘Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem’ yang dikarangi oleh Abdul Latip Talib.
Sultan Salahudin berhenti sebentar sambil memandang ke arah Masjid Aqsa.” Tempat ini pernah dikuasai kerajaan Rom dan berjaya ditawan oleh orang-orang Islam pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Khatab. Kemudian pada tahun 490 Hijrah bersamaan 1099 Masihi, Baitul Maqdis dikuasai oleh tentera Salib dan kita berjaya merampasnya kembali pada tahun 588 Hijrah 1192 Masihi”.
“Saudara adalah penebus maruah umat Islam. Umat Islam kembali berkuasa selepas hampir seratus tahun dihina, dizalimi dan dijajah. Kami bimbang tiada lagi pahlawan terbilang seperti saudara,” kata Panglima Muluk pula.
“Apabila umat Islam bersatu, mereka kuat dan musuh tidak berani melakukan kezaliman, tetapi apabila umat Islam berpecah belah, mereka ibarat buih yang banyak, tetapi lemah,” kata Sultan Salahudin bin Ayubi.
“Benar, Rasulullah pernah berdoa tiga perkara. Pertama, umat Islam tidak dihapuskan dari muka bumi dan Tuhan menerimanya. Kedua, umat Islam tidak mati kelaparan dan doa itu juga dimakbulkan Tuhan. Doa yang ketiga pula supaya umat Islam tidak berpecah belah. Tetapi doa itu tidak dimakbulkan Tuhan.” Bahaudin pula menyampuk.
“Mengapa Tuhan tidak makbulkan doa nabi supaya umatnya tidak berpecah belah? Tanya Panglima Muluk.
“Allah hendak menguji siapa di antara umat Islam yang kuat imannya,” jawab Sultan Salahudin bin Ayubi.
Saya memilih petikan ini kerana ia membawa pengertian yang cukup besar buat kita semua umat Islam pada hari ini. Seringkali kita menyuarakan persoalan “mengapa umat Islam terlalu susah untuk bersatu”. Persoalan ini bukanlah merupakan persoalan baru tetapi permasalahan dari zaman berzaman. Jika kita bersekempatan membaca novel ini kita akan menemukan ‘cermin’ kehidupan dunia Islam pada hari ini. Ia sama sekali tidak pernah berganjak dari sejarah silam. Apa yang pernah terjadi pada umat dahulu, begitulah yang terjadi pada umat Islam pada hari ini.
Di mana ingin ketemui insan yang berjiwa Salahudin bin Ayubi....
November 18, 2011
Sebak di hati siapa yang tahu
Masih segar lagi ingatanku, di suatu petang yang hening. Taktala awan berarak mendung menutupi mentari suasana seakan kelam dan hujan mulai turun rintik-rintik. Saat minyak kereta tinggal setakuk, aku menuju ke sebuah pam minyak. Sambil membayar di kaunter pembayaran aku memerhati sekeliling, guruh dilangit mula memberi isyarat. Awan yang mendung bagaikan tidak mampu menampung berat air dan…hujan mulai turun mencurah. Tiba-tiba mataku terpaku ke suatu sudut, seorang anak gadis berbaju kurung bertudung merun sedang memegang sebuah tabung dan di dadanya terdakap buku-buku dan mungkin kelender. Dia masih di situ seolah-olah ingin meminta sesuatu pada orang-orang yang mengisi minyak di situ tetapi gayanya seakan malu. Lama juga aku renungkan, saat aku menuju ke kereta dia menghampirku..owhhh rupanya ingin meminta derma untuk anak-anak yatim. Aku menatap wajahnya, dia nampak seolah malu bercampur takut, terlalu berat untuk menyampaikan hasratnya. Aku menganggguk tanda memahami tujuannya, matanya ku lihat sayu, redup mata memandang. Hatiku tersentuh teramat hinggakan hari ini aku tidak pernah melupai redup matanya. Bila aku duduk keseorangan aku teringat kembali, hatiku terasa hiba. Aduhai anak-anak yatim hanya banyak diraikan waktu Ramadhan sahaja. Sedangkan bulan-bulan biasa dipinggirkan seolah-olah kita meraikan mereka hanya mungkin untuk memperolehi pahala berganda di bulan Ramadhan atau mungkin punyai agenda mengembangkan nama dan pujian. Sampai bilalah kita ingin Ikhlas dalam perjuangan hidup ini?.
Maafkan diriku kerana telahanku mungkin salah.
Pesanan indah dari yang TERISTIMEWA
Hari ini ketika bangkit dari tidur, tiba-tiba terbayang wajah insan-insan yang telah banyak membantu diri ini dalam memperjuangkan hidup menjadi lebih bermakna. Dan terasa benar ingin mengabadikan beberapa pesanan yang terindah di kalangan mereka ini. Semoga insan-insan ini sentiasa berada di dalam rahmat serta dibawah naungan Allah Ta'ala dunia dan akhirat.
Pesanan indah yang pertama;
Pesanan indah yang ke 2,
Mencari kasih sayang Allah dalam hidup ini merupakan nikmat iman yang paling bersar ertinya. Namun untuk mendapat nikmat tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Allah akan menguji Hamba-Nya jika mereka benar-benar beriman akan Allah. Ujian-ujian tersebut bermacam-macam gaya dan rentaknya sesuai dengan tahap keimana seseorang. Allah tidak membebankan apa-apa yang tidak mampu dipikul oleh Hamba-Nya...setiap ujian sesuai dengan tingkatan imannya.
Para Rasul, nabi-nabi, aulia-aulia Allah, para ulama tidak terlepas juga orang awam macam kita akan menempuh ujian ini, cuma yang membezakannya adalah tahap ujian yang diterima oleh para rasul adalah lebih berat sesuai dengan darjat-Nya. Jalan bertemu dengan Allah itu seumpama menempuh 7 lautan api dan 7 lautan darah dan 7 lautan gunung itu semua melambangkan betapa berat dan sukarnya jalan menuju Allah. Beruntunglah orang yang terpilih menuju ke jalan-Nya kerana tidak semua orang dapat bertemu jalan sedemikian tanpa pilihan, petunjuk serta rahmat-Nya.
Pesanan indah yang ke 3,
"Hendak tuanpunya segala sesuatu, kena lepaskan segala sesuatu"
Begitulah diantara pesanan indah dari beberapa insan yang sentiasa menjadi pendorong dan pembakar semangat dalam menempuh perjalanan hidup ini. Tiada harta yang lebih bernilai dan hadiah yang lebih berharga. Alhamdulillah dan terima kasih tidak terhingga!.
"Jiwa-jiwa itu ibarat perajurit-perajurit yang dibariskan. Yang saling mengenal di antara mereka pasti akan saling menyatu dan melembut. Yang tak saling mengenal di antara mereka pasti akan saling berbeda dan berpisah."
November 17, 2011
Dikau yang telah melahirkan daku
Di sebalik senyumanmu ada ketenangan,
Di sebalik wajahmu ada kerinduaan,
Di sebalik suaramu ada kelembutan,
Di sebalik sentuhanmu ada kasih sayang,
Di sebalik kemarahanmu ada Kemurkaan,
Di sebalik kesedihanmu ada pengharapan,
Di sebalik kudratmu ada pengorbanan,
Di sebalik usiamu ada perjuangan,
Di sebalik amanahmu ada kewajipan,
Dan…disebalik terlaksana kewajipanmu ada ganjaran.
Di sebalik wajahmu ada kerinduaan,
Di sebalik suaramu ada kelembutan,
Di sebalik sentuhanmu ada kasih sayang,
Di sebalik kemarahanmu ada Kemurkaan,
Di sebalik kesedihanmu ada pengharapan,
Di sebalik kudratmu ada pengorbanan,
Di sebalik usiamu ada perjuangan,
Di sebalik amanahmu ada kewajipan,
Dan…disebalik terlaksana kewajipanmu ada ganjaran.
Maka beruntunglah wanita yang bergelar ibu kerana peranannya seorang ibu
bukan mudah untuk dipikul namun mudah untuk beroleh pahala.
Kasih sayang ibu tidak bermusim malah tidak berhari tetapi kasih pada ibu
sepanjang waktu dan seandainya terpisahnya diantara dua alam namun ingatan
tetap dalam doa dari anak-anakmu…
Kasihilah ibu selagi hayatnya ada…buruk atau baiknya ibu tetap perlu dihormati
dan di sayangi…
November 11, 2011
Munajatnya dan nasihatnya!
"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar.Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan.Sahabat sejati menjadi pendorong impian.Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah"
Dalam perhubungan kita sesama manusia apa yang paling indah sekali. Apabila kita mengenali atau mempunyai teman samada teman hidup, sahabat ataupun kawan yang saling nasihat menasihati, tegur menegur serta saling ingat mengingati. Namun tidak semua manusia mempunyai sifat sedemikian. Tidak dinafikan kadang-kadang kita rasa dihambat oleh perasaan 'kekurangan diri'. Yakni kita rasa, kita ini manusia tetap mempunyai kelemahan dan sudah tentu tidak terlepas dari berbuat kesalahan. Saat ingin kita menasihati atau menegur kita jadi serba salah kerana kita merasakan kita bukannya yang terbaik. Lalu sampai bila kita ingin menjadi benar-benar baik baru ingin menasihati dan mengajak orang membuat kebaikan?.
Sebenarnya tidak ada yang terbaik diantara kita melainkan menuju ke arah menjadi baik. Masing-masing penuh kesibukan bermujahadah dalam perjalanan hidup ini hingga ke akhir hayat. Tidak akan terhenti perjuangan ini selagi kita bernyawa. Dalam perjalanan kita untuk menjadi baik janganlah keseorang, bawalah teman yang boleh sama-sama saling ingat mengingati dan nasihat menasihati.
Teman yang paling baik ialah teman yang apabila kita buat silap dia menegur dan menunjukkan jalan. Apabila kita bersedih dia menampung dengan kata nasihat dan apabila kita lemah ia menyuntik semangat serta mengajar apabila kurang berpengetahuan. Begitu jualah sebaliknya, saling tegur menegur,ingat mengingat dan nasihat menasihati sesama kita. Saya amat tertarik dengan pepatah ini;
' Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!. Pahrol Mohd Juoi's
Rasulullah s. a. w. juga meninggalkan pesan, baginda bersabda;
"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.."
Subscribe to:
Posts (Atom)

























