July 06, 2012

MENGAPA MESTI AKU YANG MENERIMANYA?

Menghadapi hari ini tidak semudah itu, begitu jua dalam menghadapi kehidupan di alam ini. Seringkali kepelbagaian masalah dalam kehidupan menuntut banyak kesabaran. Terlalu banyak persoalan yang cuba kita timbulkan namun semakin dirungkaikan kita menjadi semakin banyak keluhan. Mengapa ya? kerana tidak semua permasalahan itu sebenarnya punyai jawapannya. Berapa ramai antara kita di sini, sebaik sahaja celik mata dari tidur kita memikirkan bermacam-macam masalah? Berapa ramai pula kadangkala merasa ketakutan dalam menghadapi hari ini gara-gara ‘menghitung’ tiap masalah?. Apakah mungkin tiap dari manusia itu dapat menghindari diri dari ditimpa masalah? Sudah semestinya tidak mungkin bukan!.

Jadi usahlah menganggap bahawa semua masalah itu mendatangkan masalah buat diri kita. Apa yang perlu kita tahu setiap masalah hidup kita sebenarnya adalah merupakan proses perubahan buat diri kita. Cuba kita renung pada diri kita…apakah yang sering mendorong kita untuk berubah?. Sedarkah kita tiap kali kita di rundum masalah pasti akan ada 'maklumbalas' kita dalam menghadapinya. Setiap 'maklumbalas' itulah yang akan mencetuskan perubahan dalam hidup kita tanpa kita sedari. Maka sedarlah bahawa masalah itu sesuatu yang tidak perlu kita benci dan tak mampu dihindari.
  
Marilah kita pelajari untuk sentiasa berfikir, fikir mengapa hidup di dunia ini saling berlawanan sifatnya. Fikir mengapa hidup di dunia ini penuh dengan kepelbagaian konflik. Adakah semua ini menuntut diri kita untuk menjadi lemah atau menjadikan diri kita seorang yang penakut?.

Marilah kita belajar untuk tidak berkata ‘MENGAPA MESTI AKU YANG MENERIMANYA’?. Namun katakanlah ‘MENGAPA TIDAK AKU MENERIMANYA SEDANGKAN IA MEMBERI KEBAIKAN BUAT DIRIKU’. Sebenarnya setiap kebaikan yang kita perolehi ada manfaatnya dan setiap keburukan yang kita harungi jua ada manfaatnya.