November 22, 2011

Insan yang berjiwa Salahudin bin Ayubi....




Saya membawa beberapa sudutan menarik yang dipetik dari novel ‘Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem’ yang dikarangi oleh Abdul Latip Talib. 



Sultan Salahudin berhenti sebentar sambil memandang ke arah Masjid Aqsa.” Tempat ini pernah dikuasai kerajaan Rom dan berjaya ditawan oleh orang-orang Islam pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Khatab. Kemudian pada tahun 490 Hijrah bersamaan 1099 Masihi, Baitul Maqdis dikuasai oleh tentera Salib dan kita berjaya merampasnya kembali pada tahun 588 Hijrah 1192 Masihi”.

“Saudara adalah penebus maruah umat Islam. Umat Islam kembali berkuasa selepas hampir seratus tahun dihina, dizalimi dan dijajah. Kami bimbang tiada lagi pahlawan terbilang seperti saudara,” kata Panglima Muluk pula.

“Apabila umat Islam bersatu, mereka kuat dan musuh tidak berani melakukan kezaliman, tetapi apabila umat Islam berpecah belah, mereka ibarat buih yang banyak, tetapi lemah,” kata Sultan Salahudin bin Ayubi.

“Benar, Rasulullah pernah berdoa tiga perkara. Pertama, umat Islam tidak dihapuskan dari muka bumi dan Tuhan menerimanya. Kedua, umat Islam tidak mati kelaparan dan doa itu juga dimakbulkan Tuhan. Doa yang ketiga pula supaya umat Islam tidak berpecah belah. Tetapi doa itu tidak dimakbulkan Tuhan.” Bahaudin pula menyampuk.

“Mengapa Tuhan tidak makbulkan doa nabi supaya umatnya tidak berpecah belah? Tanya Panglima Muluk.

“Allah hendak menguji siapa di antara umat Islam yang kuat imannya,” jawab Sultan Salahudin bin Ayubi.



                                           Makam Salahudin bin Ayubi

Saya memilih petikan ini kerana ia membawa pengertian yang cukup besar buat kita semua umat Islam pada hari ini. Seringkali kita menyuarakan persoalan “mengapa umat Islam terlalu susah untuk bersatu”. Persoalan ini bukanlah merupakan persoalan baru tetapi permasalahan dari zaman berzaman. Jika kita bersekempatan membaca novel ini kita akan menemukan ‘cermin’ kehidupan dunia Islam pada hari ini. Ia sama sekali tidak pernah berganjak dari sejarah silam. Apa yang pernah terjadi pada umat dahulu, begitulah yang terjadi pada umat Islam pada hari ini. 

Di mana ingin ketemui insan yang berjiwa Salahudin bin Ayubi....

November 18, 2011

Sebak di hati siapa yang tahu


            

           Masih segar lagi ingatanku, di suatu petang yang hening. Taktala  awan berarak mendung menutupi mentari suasana seakan kelam  dan hujan mulai turun rintik-rintik. Saat minyak kereta tinggal setakuk, aku menuju ke sebuah pam minyak. Sambil membayar di kaunter pembayaran aku memerhati sekeliling, guruh dilangit mula memberi isyarat. Awan yang mendung bagaikan tidak mampu menampung berat air dan…hujan mulai  turun mencurah. Tiba-tiba mataku terpaku ke suatu sudut, seorang anak gadis berbaju kurung bertudung merun sedang memegang sebuah tabung dan di dadanya terdakap buku-buku dan mungkin kelender. Dia masih di situ seolah-olah ingin meminta sesuatu pada orang-orang yang mengisi minyak di situ tetapi gayanya seakan malu. Lama juga aku renungkan, saat aku menuju ke kereta dia menghampirku..owhhh rupanya ingin meminta derma untuk anak-anak yatim. Aku menatap wajahnya, dia nampak seolah malu bercampur takut, terlalu berat untuk menyampaikan hasratnya. Aku menganggguk tanda memahami tujuannya, matanya ku lihat sayu, redup mata memandang. Hatiku tersentuh teramat hinggakan hari ini aku tidak pernah melupai redup matanya. Bila aku duduk keseorangan aku teringat kembali, hatiku terasa hiba. Aduhai anak-anak yatim hanya banyak diraikan waktu Ramadhan sahaja. Sedangkan bulan-bulan biasa dipinggirkan seolah-olah kita meraikan mereka hanya mungkin untuk memperolehi pahala berganda di bulan Ramadhan atau mungkin punyai agenda mengembangkan nama dan pujian. Sampai bilalah kita ingin Ikhlas dalam perjuangan hidup ini?.

Maafkan diriku kerana telahanku mungkin salah.

Pesanan indah dari yang TERISTIMEWA

         Hari ini ketika bangkit dari tidur, tiba-tiba terbayang wajah insan-insan yang telah banyak membantu diri ini dalam memperjuangkan hidup menjadi lebih bermakna. Dan terasa benar ingin mengabadikan beberapa pesanan yang terindah di kalangan mereka ini.  Semoga insan-insan ini sentiasa berada di dalam rahmat serta dibawah naungan Allah Ta'ala dunia dan akhirat.

Pesanan indah yang pertama;


Pesanan indah yang ke 2,

Mencari kasih sayang Allah dalam hidup ini merupakan nikmat iman yang paling bersar ertinya. Namun untuk mendapat nikmat tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Allah akan menguji Hamba-Nya jika mereka benar-benar beriman akan Allah. Ujian-ujian tersebut bermacam-macam gaya dan rentaknya sesuai dengan tahap keimana seseorang. Allah tidak membebankan apa-apa yang tidak mampu dipikul oleh Hamba-Nya...setiap ujian sesuai dengan tingkatan imannya.

Para Rasul, nabi-nabi, aulia-aulia Allah, para ulama tidak terlepas juga orang awam macam kita akan menempuh ujian ini, cuma yang membezakannya adalah tahap ujian yang diterima oleh para rasul adalah lebih berat sesuai dengan darjat-Nya. Jalan bertemu dengan Allah itu seumpama menempuh 7 lautan api dan 7 lautan darah dan 7 lautan gunung itu semua melambangkan betapa berat dan sukarnya jalan menuju Allah. Beruntunglah orang yang terpilih menuju ke jalan-Nya kerana tidak semua orang dapat bertemu jalan sedemikian tanpa pilihan, petunjuk serta rahmat-Nya.


Pesanan indah yang ke 3,

"Hendak tuanpunya segala sesuatu, kena lepaskan segala sesuatu" 

Begitulah diantara pesanan indah dari beberapa insan yang sentiasa menjadi pendorong dan pembakar semangat dalam menempuh perjalanan hidup ini. Tiada harta yang lebih bernilai dan hadiah yang lebih berharga. Alhamdulillah dan terima kasih tidak terhingga!.





"Jiwa-jiwa itu ibarat perajurit-perajurit yang dibariskan. Yang saling mengenal di antara mereka pasti akan saling menyatu dan melembut. Yang tak saling mengenal di antara mereka pasti akan saling berbeda dan berpisah."

November 17, 2011

Dikau yang telah melahirkan daku




Di sebalik senyumanmu ada ketenangan,
Di sebalik wajahmu ada kerinduaan,
Di sebalik suaramu ada kelembutan,
Di sebalik sentuhanmu ada kasih sayang,
Di sebalik kemarahanmu ada Kemurkaan,
Di sebalik kesedihanmu ada pengharapan,
Di sebalik kudratmu ada pengorbanan,
Di sebalik usiamu ada perjuangan,
Di sebalik amanahmu ada kewajipan,
Dan…disebalik terlaksana kewajipanmu ada ganjaran.

Maka beruntunglah wanita yang bergelar ibu kerana peranannya seorang ibu
bukan mudah untuk dipikul namun mudah untuk beroleh pahala.
Kasih sayang ibu tidak bermusim malah tidak berhari tetapi kasih pada ibu
sepanjang waktu dan seandainya terpisahnya diantara dua alam namun ingatan
tetap dalam doa dari anak-anakmu…

Kasihilah ibu selagi hayatnya ada…buruk atau baiknya ibu tetap perlu dihormati
dan di sayangi…

November 11, 2011

Munajatnya dan nasihatnya!

       
 "Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar.Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan.Sahabat sejati menjadi pendorong impian.Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah"



          Dalam perhubungan kita sesama manusia apa yang paling indah sekali. Apabila kita mengenali atau mempunyai teman samada teman hidup, sahabat ataupun kawan yang saling nasihat menasihati, tegur menegur serta saling ingat mengingati. Namun  tidak semua manusia mempunyai sifat sedemikian. Tidak dinafikan kadang-kadang kita rasa dihambat oleh perasaan 'kekurangan diri'. Yakni kita rasa, kita ini manusia tetap mempunyai kelemahan dan sudah tentu tidak terlepas dari berbuat kesalahan. Saat ingin kita menasihati atau menegur kita jadi serba salah kerana kita merasakan kita bukannya yang terbaik. Lalu sampai bila kita ingin menjadi benar-benar baik baru ingin menasihati dan mengajak orang membuat kebaikan?. 

Sebenarnya tidak ada yang terbaik diantara kita melainkan menuju ke arah menjadi baik. Masing-masing penuh kesibukan bermujahadah dalam perjalanan hidup ini hingga ke akhir hayat. Tidak akan terhenti perjuangan ini selagi kita bernyawa. Dalam perjalanan kita untuk menjadi baik janganlah keseorang, bawalah teman yang boleh sama-sama saling ingat mengingati dan nasihat menasihati. 

Teman yang paling baik ialah teman yang apabila kita buat silap dia menegur dan menunjukkan jalan. Apabila kita bersedih dia menampung dengan kata nasihat dan apabila kita lemah ia menyuntik semangat serta mengajar apabila kurang berpengetahuan. Begitu jualah sebaliknya, saling tegur menegur,ingat mengingat dan nasihat menasihati sesama kita. Saya amat tertarik dengan pepatah ini;

' Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!. Pahrol Mohd Juoi's

Rasulullah s. a. w. juga meninggalkan pesan, baginda bersabda;
"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.."

November 08, 2011

Dimanakah hasil karya milik kita?

Segala amal ibadah yang kita kerjakan bukanlah semata untuk mengharapkan balasan. Bukan juga untuk membalasi atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Sedangkan amal yang kita lakukan datang dari-Nya. Ibadah yang kita laksanakan datang dari-Nya juga.  Bahkah diri kita ini juga milik Allah.
Lalu dimanakah hasil karya milik kita?
Mughirah bin Syu’bah r.a. pernah menyaksikan Rasulullah s.a.w mengerjakan solat dan beliau berkata: “Bahawa Rasulullah s.a.w berdiri solat hingga bengkak kedua-dua kakinya. Kepada baginda ditanyakan,’Mengapa tuan membebani diri dengan hal yang sedemikian? Bukankah Allah S.W.T telah mengampuni tuan daripada segala dosa yang terdahulu dan yang kemudian? lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Tidakkah patut saya menjadi hamba Allah yang bersyukur.”
Sesungguhnya kita tidak mampu menghitung, mengukur apatah lagi menilai segala kenikmatan yang Allah berikan. Maka itu, bersyukurlah kita ke hadrat Allah atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Baik dan buruk semuanya itu adalah anugerah dari Allah Ta'ala. Kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat. Itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat.
Mampukah kita membilang butiran pasir di pantai? Sedangkan yang ada di dalam gengaman  tidak mampu kita menghitungnya. Sesungguhnya rahmat Allah itu tidak terjangkau dan  tiada batasnya.

Manisnya iman

“Perburuan untuk merasai kemanisan iman adalah perburuan seumur hidup”
 
 

November 04, 2011

Berjuanglah sebagai seorang penuntut ilmu!.


             Baru-baru ini saya melihat beberapa klip video serta gambar anak-anak remaja yang masih lagi berada di bangku sekolah. Namun akhlak serta budi pekerti amat tidak selaras dan selari dengan diri mereka sebagai seorang pelajar. Adakah mereka belajar sekadar untuk memenuhi tuntutan usia muda mereka yang sepatutnya belajar atau adakah mereka belajar untuk memenuhi harapan ibubapa?. Serta adakah sekadar hanya untuk lulus peperiksaan dan mendapat sijil semata?.

Kita sering mendengar pesan ibu atau ayah kepada anak-anak ‘belajar rajin-rajin supaya besar nanti dapat kerja baik serta bergaji besar. Boleh bantu ibu bapa dan adik-adik jika masih lagi bersekolah’. Pesanan ini baik namun kita perlu tambah sedikit kata-kata tersebut yakni ‘dengan ilmu dan gaji yang kita perolehi maka pergunakanlah untuk membantu mereka yang lemah dan nikmatilah ia bersama ke jalan Allah.


Anak-anak yang masih belajar perlulah dilentur dari kecil lagi tujuan dan makna mengapa mereka perlu menuntut ilmu.
 

Adik-adik yang masih menuntut di sekolah dan juga di pusat pengajian tinggi haruslah sentiasa merenungi dalam diri bahawa anda adalah merupakan perjuang ilmu. Jadikan tempat belajar anda sebagai medan menuntut ilmu. Jangan membuang waktu dan mempersia-siakan harapan ibu dan ayah. Serta wang ringgit yang telah banyak mereka taburkan kepada anda bukannya datang dari jalan yang mudah. Adakalanya mereka terpaksa berhutang atau bergolok bergadai demi untuk melihat anak-anak mereka berjaya. Pernah saya temui adik-adik yang ingin melanjutkan pelajaran  di Mesir tetapi masih lagi tidak cukup membiayai diri mereka untuk ke sana. Tanpa segan dan malu mereka masuk ke setiap permis perniagaan untuk meminta derma dari orang ramai. Apabila saya melihat surat tawaran mereka saya rasa sedih tambahan lagi mereka ini adalah golongan perempuan. Berapa banyaklah hasil sumbangan yang kami hulurkan dan tidak seberapa ini. Maka kami tambahkan dengan perangsang dan semangat kepada mereka agar belajar bersungguh-sungguh dan taatilah Rasul dan Allah swt kerana perjuangan mereka ini fisabilillah. Tidak kira apa bidang yang mereka pelajari kerana mereka seorang penuntut ilmu. 

Ilmu tanpa amal bagaikan debu ditiup angin tiada manfaatnya.

Jadi kepada adik-adik yang tidak punyai masalah dalam soal kewangan pula jangan mengambil kesempatan dari melencong dari tujuan sebenar. Jaga solat sentiasa dan bergaul-lah dengan teman-teman yang dapat mendorong kita untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi insan yang baik. Teman-teman yang dapat menegur kita di kala kita membuat kesilapan. Berusahalah menjauhi teman-teman yang membawa kita ke jurang kelalaian kerana golongan ini akan memberi mudarat dan membinasakan kita. Harus diingatkan, ilmu yang adik-adik pelajari dan sijil yang bakal dirangkul itu bukan hanya semata untuk menjadi tiket untuk mengisi jawatan-jawatan di luar sana. Adik-adik harus belajar untuk ‘mencipta peluang’ bukannya ‘merebut peluang’. Bayangkan ketika ini, untuk mengisi jawatan dalam sesebuah syarikat yang hanya menawarkan satu jawatan tetapi temuduganya dilimpahi ratusan orang. 

Belajarlah untuk mempergunakan ilmu pengetahuan itu supaya dapat menghiasi diri menjadi manusia yang berkualiti. Orang yang berilmu umpama gula yang bakal dikerumuni semut. Berkatnya sesuatu ilmu itu apabila ia dapat di manfaatkan kepada dirinya serta orang lain. 



Tanamlah ‘benih-benih syurga’ dalam perjuangan adik-adik sebagai seorang penuntut ilmu!.

October 20, 2011

MAHAR PERKAHWINAN

 
"Demi Allah! sesungguhnya daku tidak memerlukan wang atau harta sebagai mahar atas perkahwinan ini. Setinggi mana dan sebesar mana nilai maharku pasti akan habis tanpa tertinggal sisa. Maka berikanlah kepadaku mahar yang tidak akan luput dan tidak pernah padam. Ku serahkan diriku atas nama Allah bukan kerana rasa cintaku padamu  tetapi kerana dikau mengambilku memuliakan diriku menjadi peneman suri hidupmu.  Lantaran mengasingkan dan mensucikan diriku dari ributan noda nista dunia. Itulah sebenarnya tanda cinta dan kasih antara kita".


Wahai Sang Suami apakah mahar yang kau persembahkan buat Sang Isteri yang sedang tertunduk malu itu?.

Allah SWT. berfirman: “Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para anbiya’ dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”.

Subhan'Allah mana ingin dicari wanita seperti ini....kadang-kadang rasa kesian pula bila ramai pasangan hari ini sudah lama berkawan/bercinta tapi masih belum diijabkabulkan. Gara-gara tabung simpanan masih lagi belum cukup tambah lagi wang hantaran serta kenduri kendara seringkali menjadi halangan. Keadaan ekonomi makin mencengkam, harga sana sini sudah tak sama seperti zaman dahulu. Tambah perit bila ramai mengambil langkah membuat pinjaman kerana tidak sanggup tunggu lama. Akibatnya lepas kahwin terpaksa pula menanggung bebanan hutang. Tapi minta maaflah kerana adakalanya bila tengok dan jengok majlis perkahwinan 'macam tak ingat'. Persalinan dan jemputan dah sama taraf diraja atau artis popular. Kalau difikir-fikir balik yang penting pernikahan selebihannya kenduri kendara untuk sanak saudara serta sahabat handai. Kenduri kendara penting bukan hanya untuk berkongsi kegembiraan bersama tetapi doa kesejahteraan dari tetamu-tetamu yang diundang. Tak mengapa biarpun kecil-kecilan namun majlisnya tetap meriah, berkat dan dilimpahi rahmat.

August 12, 2011

Kadang-kadang selalu terasa.....

Kadang-kadang kita teringatkan seseorang dan adalah tidak mustahil juga orang lain teringatkan kita. Bak kata pepatah "jauh di mata dekat dihati".

Kadang-kadang bila dah terasa 'serasi' dalam berkawan kita jadi terlupa pula nak menjaga perasaannya. Tiba-tiba bila kita bergurau dalam tidak disangka dia terasa dengan gurauan kita.

Kadang-kadang bila kawan kita mesra atau rapat dengan orang lain kita mula rasa tak senang. Cemburu? entahla...

Kadang-kadang bila dah lama tak berhubung, ada rasa mula buruk sangka..'jangan-jangan dia dah lupakan kita'. Mainan perasaan itu menunjukkan kita ini rindu kat kawan kita.

Kadang-kadang ...itulah kita yang selalu terasa.....

August 09, 2011

Bicara 7 ALAM


       

         Hampir-hampir aku terjerumus ke tali air, gara-gara mengejar anak ayam. Dari jauh ku lihat atuk tersenyum melihat telatah aku. Aku menarik kaki kananku yang tergelincir sedikit di tebing. Penuh selut dikakiku...huh! bau lumpur menyusuk hidung. Aku berlari anak menuju ke tepi dapur rumah, menceduk air tempayan...hemm sejuk sekali air tadahan hujan ini, sambil mengosok celahan jari kakiku yang terkena lumpur. Selesai aku membersihkannya, aku pergi mendapatkan atuk yang sedang duduk dipangkin di tepi bendang. ‘Assalamualaikum tok....” sapa aku lalu duduk bersila disebelahnya. “Wa’alaikummusalam...cucu tok yang nakal nie...penat kejar ayam? Atuk tersenyum meleret kepadaku....aku pun turut tersenyum mendengar sindiran atuk itu.  “Tok...indahkan alam ini, cuba tok tengok tu...” aku menunding jari ke langit. Camar berterbangan riang sekawan, melebarkan sayapnya membelah awan nan biru. “Tok tengok pula tu...” aku memucungkan bibirku ke sawah bendang. “Padi itu macam menari-narikan tok, bila di tiup angin”. Atuk mengangguk. “Indahkan tok alam ini”. Aku menghirup udara yang cukup nyaman di pagi itu. Dingin dan damaiku rasakan. “Ya, sungguh indah alam ciptaan Allah. Namun menghayati keindahan alam ini sahaja tidak cukup cu...bahkan ada alam lain yang lebih indah dari segala apa yang terhampar dihadapan mata kita ini cu...”. Aku kehairanan dengan kata-kata atuk itu. Aku menilik dalam-dalam sambil itu aku menghitung jariku..tergaru-garu kepala aku memikirkannya “ada alam lain ke tok? atuk memandang tepat mataku... ‘’cukup? ada tujuh?” lalu atuk mengalunkan kalimah “ Qulhuwallahu Ahad Allahushomad Lamyalidd Walamyuladd Walamyakullahu Kuffuan Ahad”. Mungkin ini terlalu sukar buat cucu atuk...cukuplah sekadar atuk bacakan. Mudah-mudahan satu masa nanti cucu atuk temui jalan itu...insya’allah. Oh ya, lain kali jangan dikejar anak ayam itu...kesian ia. Biarlah ia menikmati nikmat alam ini sebaik-baiknya. Sepertimana cucu atuk menikmati keindahan alam pada pagi ini. Aku tersenyum....

July 22, 2011

Kala rindu mulai berdarah

Biarkan air mata mengalirkan segala racun di dalam.  Selautan syukurku tidak mampu dibandingkan dengan setitis air di lautan. Mengemis kasih padamu tuhan...


Mengapa senyuman berbunga dusta
tawar dan kusam tak bermaya
setelah tertipu dalam ributan masa yang tak menentu
Menyangka langit sentiasa cerah
walhal mendung sering berarak.

Selama mana ingin menongkat langit
sedangkan bumi seolah menelan
Selama mana ingin bersuka
sedangkan hidup ini penuh derita
Bagai kaki terpasak dibumi dan tangan terikat dilangit
Bagai terpenjara dalam gerhana
menanti pelangi indah dalam angan-angan.

Aduhai....
Tika rindu mulai berlabuh dalam wadah
dan kala rindu mulai berdarah 
Takkan terdaya mengungkapkan rasa dan bicara...
kerana jika diluahkan semuanya nista belaka.
 Aku tidak layak mengungkap ketaatan andai tiada padanya selautan keikhlasan.






 

July 15, 2011

Hujan



Hari ini hujan turun seharian, dari pagi membawa ke petang. Matahari terlindung di celah awan mendung, sinar suria tampak tidak segarang seperti biasa. Dingin hari ini, mudah-mudahan jua dirasai di dalam diri.


Ya ALLAH jadikanlah hujan ini manfaat

July 14, 2011

Belajarlah meniti Taman Alam


 
Ibaratkan sebatang pokok yang sentiasa mengingati Tuhan yang menCIPTAkannya…. Walau apa yang menyakitnya…merosakan…membunuh….. Ia tetap berserah pada yang HAK…. Namuan ia tetap memberi KENIKMATAN pada manusia dan makhluk yang lain-lain…..



 Jangan terlalu melihat keburukan manusia, kerana kita akan belajar membenci. Lihatlah kebaikaan manusia walaupun sedikit insyaallah kita akan belajar untuk menyayangi.

Ketahulilah, sejahat-jahat manusia itu pasti ada sedikit kebaikan dalam dirinya. Sejahat mana manusia itu bila dikehendaki oleh Allah swt. dia akan tetap pulang ke pangkuan ilahi. 

Jangan mengharapkan orang lain memberi kasih sayang pada diri kita. Tetapi belajar-belajarlah untuk memberi kasih sayang pada orang lain. 





Jadilah seperti hujan yang turun, dingin membasahi bumi kemudian larut terus meresap ke dasarnya. Lalu lupakan hujan dan hargailah nikmat kedinginan yang dapat sebagai tanda bersyukur.

 



Tiada keindahan dalam sebuah kehidupan tanpa merasai kepahitan dan tiada bunga-bunga kebahagiaan dalam sebuah kepahitan tanpa menyemai benih-benih kesabaran serta tiada keberkatan pada sebuah kenikmatan jika tiada keikhlasan dan kesyukuran yang bertapak di jiwa insan. 

July 13, 2011

Aku hanya wanita biasa


 Terimalah kemaafan ini...dengan tadahan kelembutan. Supaya ringan timbanganku di dalam

Aku hanya wanita biasa, tidak memiliki dan di miliki untuk sesiapa.
Hadirnya di sini bukan untuk menagih kasih pada yang sudi.
Sedangkan aku wanita tidak mengharap untuk terus dikasihi.
Tidak mahu lagi memaksa, tidak mahu lagi keikhlasan budi
Kerana segala itu bukan buat diriku.

Aku wanita punyai hati nurani yang tidak bisa membohongi.
Jika lidah ku mampu tertutup segala dusta dan nista menjadi indah halwa telinga   
sedangkan dalam belahan jiwaku berbisik duka.
Jika penaku mampu menyembunyikan segala yang terkilaf dan 
menguntai ayat-ayat nan syahdu.
Sedangkan jari jemariku keras dalam belaian.
Kata orang biar hati derita asalkan yang disayangi bahagia.

Aku tidak pandai melawan tapi boleh jadi aku tidak mampu menahan
Bukan untuk pertahankan diri tapi cubalah memahami.

Aku menatap mendung yang seakan suram
Pada kilauan mentari yang kian hilang
Hujan renyai-renyai mulai turun namun aku masih lagi di sini
Tidak aku harapkan pelangi kan datang.
Cukuplah aku dapat menghirup udara yang tenang.

Maafilah diriku…dalam batasan waktu yang sesingkat ini.