February 17, 2011

Sisihkan air mata saat diri dihina.

Sisihkan air mata saat diri dihina, hapuskan derita di dalam...hiduplah dalam ketenangan rahmat ilahi

Fitrah manusia memang terlalu sukar untuk menerima penghinaan. Tidak kira apa jua bentuk penghinaan yang dihadapi lantaran diri merasa tidak berguna, tidak bernilai, sentiasa dirundum kesedihaan, berendam air mata kedukaan dan kadangkala menimbulkan perasaan amarah. Betapa manusia itu apabila diuji maka emosi akan menjadi celaru dan ketidakpuashati mula berputik dalam diri. Namun sedar atau tidak hidup bergelumang dengan kepelbagaian emosi ini akan menjadikan jiwa tidak tenteram. Ke mana sahaja pergi perasaan itu akan sentiasa bergolak. Maka seronokkah hidup ini jika diri sentiasa tidak tenang?. Apa erti sebuah penghinaan? Tidak  ada apa-apa keberuntungan yang diperolehi baik yang menghina dan juga yang dihina. Manusia yang suka menghina orang adalah manusia yang tidak sedar akan diri bahawa diri manusia ini sebenarnya memang hina disisi Tuhan. Hina adalah kerana sering melakukan dosa, setiap kekurangan diri tidak pernah diperhati melainkan melihat kehinaan orang lain. Bagi yang dihina yang merasakan dirinya tercabar maka tabahlah menghadapinya kerana tidak kemanapun penghinaan itu. Ingatlah, sedangkan para nabi, rasul dan juga Allah pun dihina oleh manusia-manusia yang kufur dan mati jiwanya inikan pula kita manusia biasa. Kesabaran itu puncak kemenangan diri, bila diri ini dihina bersabarlah dan tabahlah menghadapinya. Sisihkan air mata saat diri dihina, muliakan diri dengan Islam biar hina di mata insan tetapi tidak dihadapan Allah swt.

February 14, 2011

KETIKA DIRI TIDAK DIHARGAI

Seorang ulama pernah berkata ‘ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga’

Tidak semua manusia mampu menghadapi tekanan apabila diri dihimpit resah taktala terasa diri semacam tidak dihargai lagi.  Sungguh betapa sukar untuk menerima hakikat ini hingga ada yang kecewa, sengsara dan derita. Memikirkan diri tidak dihargai lagi bukan sahaja gerak langkah yang kita aturkan semakin sumbang dan tak bermaya bahkan ia akan membunuh semangat diri kita. Hidup akan jadi tidak berkeyakinan lalu sampai bila? bukankah hidup ini terlalu singkat, demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugiaan. Ruginya hidup kita bila terlalu banyak bermainan dengan perasaan, alpa serta khayal memikirkan sesuatu yang tidak mendatangkan hasil. Ramai manusia bila kecewa atau sengsara akan membawa hati yang lara terlalu jauh dari kehidupan ini. Duduk di dalam dunia ciptaan sendiri  walhal dunia itu hanya dunia angan-angan yang tidak wujud!.  Apa keberhasilan yang kita perolehi disebalik semua itu? sedangkan alam yang diciptakan oleh Allah Ta’aala terlalu banyak nikmatnya untuk dinikmati. Tidak semestinya makan itu nikmat, minum itu nikmat, bercinta itu nikmat, kahwin itu nikmat, keluarga itu nikmat bahkan seluruh isi alam ini terlalu penuh dengan kenikmatan yang tidak mampu kita hitung!. Jadi, mengapa rasa diri tidak dihargai...cuba renung dalam diri kita. Apakah kita tidak sadar bahawa kita punyai harga diri? Kita punyai kelebihan dalam diri kita, keunikan yang tidak mungkin ada pada orang lain.
Hari ini jika kita rasa kecewa dan menderita, padamkan-lah dalam kamus diri kita. Hargailah diri kita, tidak mengapa jika orang disekeliling kita atau orang yang kita sayangi tidak menghargai kita asalkan kita sendiri punyai harga diri. Pasakkan dalam hati kita, keyakinan dan  pohonlah hidayah dari Allah, semoga terlimpah dalam jiwa. Mudah-mudahan bila kita membuka mata nanti, kita tidak akan lagi nampak keresahan, kekecewaan sebaliknya kekuatan, kesungguhan kita melangkah alam ini dengan penuh bertenaga. Ingat dunia ini tidak akan berubah tetapi mata hati kita yang mulai berubah. Pandanglah ke hadapan bahawa kita punyai matlamat yang lebih penting lagi untuk kita tempuhi. Kembara hidup kita masih lagi jauh, jauh bukan bererti alam ini atau kita hidup ke penghujung usia. Tetapi alam seterusnya masih ada dan masih belum kita lalui. Dunia ini jambatan akhirat maka persiapkanlah diri dan janganlah terlalu lama memandang hal-hal yang remeh dalam kehidupan ini. Gunakan segala setiap ruang dan kesempatan hidup kita serta manfaatkan usia yang Allah kurniakan untuk kita berbakti dan menabur jasa di alam ini. Jangan mengharapkan balasan tetapi ikhlaslah dalam perjuangan hidup ini. Masa tetap akan berjalan dan begitu pantas sekali hingga kita tidak mampu memintas masa yang cepat berlari. Maka kejarlah kehidupan ini dengan matlamat yang jelas, teladan yang baik pedoman yang lengkap dan jalan serta perjuangan yang mantap!. Gunakanlah kesempatan ini selagi mana Allah tentukan buat kita sebelum kesempatan ini tertutup. Seorang ulama pernah berkata ‘ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga’.
Sebagai manusia biasa kita tidak boleh lari dari pelbagai masalah hidup. Tidak mengapa merasa derita atau kecewa kerana ia akan memberi pengajaran dalam hidup kita bahawa tidak ada tempat yang dapat mengubat segala penderitaan ini melainkan kepada Allah segala penawarnya.