February 14, 2011

KETIKA DIRI TIDAK DIHARGAI

Seorang ulama pernah berkata ‘ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga’

Tidak semua manusia mampu menghadapi tekanan apabila diri dihimpit resah taktala terasa diri semacam tidak dihargai lagi.  Sungguh betapa sukar untuk menerima hakikat ini hingga ada yang kecewa, sengsara dan derita. Memikirkan diri tidak dihargai lagi bukan sahaja gerak langkah yang kita aturkan semakin sumbang dan tak bermaya bahkan ia akan membunuh semangat diri kita. Hidup akan jadi tidak berkeyakinan lalu sampai bila? bukankah hidup ini terlalu singkat, demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugiaan. Ruginya hidup kita bila terlalu banyak bermainan dengan perasaan, alpa serta khayal memikirkan sesuatu yang tidak mendatangkan hasil. Ramai manusia bila kecewa atau sengsara akan membawa hati yang lara terlalu jauh dari kehidupan ini. Duduk di dalam dunia ciptaan sendiri  walhal dunia itu hanya dunia angan-angan yang tidak wujud!.  Apa keberhasilan yang kita perolehi disebalik semua itu? sedangkan alam yang diciptakan oleh Allah Ta’aala terlalu banyak nikmatnya untuk dinikmati. Tidak semestinya makan itu nikmat, minum itu nikmat, bercinta itu nikmat, kahwin itu nikmat, keluarga itu nikmat bahkan seluruh isi alam ini terlalu penuh dengan kenikmatan yang tidak mampu kita hitung!. Jadi, mengapa rasa diri tidak dihargai...cuba renung dalam diri kita. Apakah kita tidak sadar bahawa kita punyai harga diri? Kita punyai kelebihan dalam diri kita, keunikan yang tidak mungkin ada pada orang lain.
Hari ini jika kita rasa kecewa dan menderita, padamkan-lah dalam kamus diri kita. Hargailah diri kita, tidak mengapa jika orang disekeliling kita atau orang yang kita sayangi tidak menghargai kita asalkan kita sendiri punyai harga diri. Pasakkan dalam hati kita, keyakinan dan  pohonlah hidayah dari Allah, semoga terlimpah dalam jiwa. Mudah-mudahan bila kita membuka mata nanti, kita tidak akan lagi nampak keresahan, kekecewaan sebaliknya kekuatan, kesungguhan kita melangkah alam ini dengan penuh bertenaga. Ingat dunia ini tidak akan berubah tetapi mata hati kita yang mulai berubah. Pandanglah ke hadapan bahawa kita punyai matlamat yang lebih penting lagi untuk kita tempuhi. Kembara hidup kita masih lagi jauh, jauh bukan bererti alam ini atau kita hidup ke penghujung usia. Tetapi alam seterusnya masih ada dan masih belum kita lalui. Dunia ini jambatan akhirat maka persiapkanlah diri dan janganlah terlalu lama memandang hal-hal yang remeh dalam kehidupan ini. Gunakan segala setiap ruang dan kesempatan hidup kita serta manfaatkan usia yang Allah kurniakan untuk kita berbakti dan menabur jasa di alam ini. Jangan mengharapkan balasan tetapi ikhlaslah dalam perjuangan hidup ini. Masa tetap akan berjalan dan begitu pantas sekali hingga kita tidak mampu memintas masa yang cepat berlari. Maka kejarlah kehidupan ini dengan matlamat yang jelas, teladan yang baik pedoman yang lengkap dan jalan serta perjuangan yang mantap!. Gunakanlah kesempatan ini selagi mana Allah tentukan buat kita sebelum kesempatan ini tertutup. Seorang ulama pernah berkata ‘ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga’.
Sebagai manusia biasa kita tidak boleh lari dari pelbagai masalah hidup. Tidak mengapa merasa derita atau kecewa kerana ia akan memberi pengajaran dalam hidup kita bahawa tidak ada tempat yang dapat mengubat segala penderitaan ini melainkan kepada Allah segala penawarnya.