May 18, 2012

MASA belum tentu memberi PERINGATAN

             

Masa semakin pantas beredar pergi. Meskipun kita mengerti akan hukum ini namun seringkali kita alpa. Kita bagaikan 'terpukau' dari jam waktu. Seolah beranggapan setiap jarum yang berdetik bagaikan 'pusingan waktu' yang sama. Walhal setiap sesaat itu adalah 'baru'!.

Hari ini dalam tidak sedar anak-anak semakin membesar.Tersedar apabila ia mula merasa malu.Malu untuk pakai baju depan kita.Malu jika ditegur perbuatan salahnya di depan orang lain.Apatah lagi sudah pandai untuk memilih pakaian sendiri.

Hari ini dalam tidak sedar juga, baru tersedar bahawa ibu dan ayah pun semakin tua.Itu pun setelah salah seorang ibu dan ayah jatuh sakit. Baru tahu kudrat mereka tidak segagah dulu. Baru tahu mereka perlukan perhatian serta rindukan 'kunjungan sayang' kita.
Hari ini dalam tidak sedar jua, pasangan hidup kita mula banyak 'ragam'nya. Tidak seperti waktu mula-mula kahwin dahulu. Mungkin kita terlupa bahwa bentuk kasih sayang tidak semestinya sama. Masa muda sayangnya begini, masa dewasa sayangnya begitu, masa tua sayangnya lain pula.

Hari ini dalam tak sedar kita terlupa pada usia diri kita.Jika beruban kita warnakan...terlupa sudah usia kita. Jika sambut kelahiran dengan gaya hiburan. Tak teringat usia semakin tersisih. Maka eloklah kita berhenti seketika, fikirkan tentang kita serta insan di sekeliling kita.

Mungkin MASA tidak cukup untuk membantu kita memberi PERINGATAN. Pun begitu USIA belum tentu MENYEDARKAN. Ada ketika Tuhan menjatuhkan dugaan bukan kerana benci tetapi sayang. Supaya ingat di mana kesudahan kita nanti. Marilah kita sama-sama pelajari erti SYUKUR dengan nikmat yang diberikan. Pandanglah apa yang hanya ada pada kita. Bukannya memandang apa belum ada dalam genggaman.

Kita ini hanya manusia, yang tidak berkemampuan untuk memutarkan masa dan kehidupan. Walaupun kita kata MERANCANG namun sebenarnya KETETAPAN Allah SWT tiada siapa yg dapat menolaknya.

Ingatan buat diri saya dan semua yang seringkali terlupa....