May 27, 2017

Rindu berlangsung lagi...

Sudah masuk subuh namun aku masih tidak tidur lagi. Dari tadi entah mengapa perasaan kesendirian mula menyelubungi diriku. Kesendirian yang aku rasakan meragut sedikit demi sedikit sehingga kesepian menemani aku. Tiba-tiba air mata mengalir perlahan yang sejak dari tadi bergenang di kolam mataku. Cuba ku tahan tetap terlimpah juga.

Rindu bertebar lagi, aku terdiam hanya duduk termanggu membiarkan rindu berlangsung...

May 25, 2017

Bersarak serasa hilang, bercerai serasa mati.

Ku intai dari kamar, menjengok malam kian buram.
Lama ku perhati di balik awan terasa sepi.
Malam ini, tiada nyanyian cengkerik berlagu riang.
Lama ku menanti, ah...terasa sunyi.
Sekali lagi ku pandang di kaki langit...tiada bintang dan jua bulan.
Hanya kedengaran guruh bersuara parau.
Barangkali hujan kan turun di daerah ini atau barangkali tidak menjadi...

Malam ini kuat rindu di dalam. Cuba aku bertanya khabar apakah gerangan rindu mencengkam. Sepi membukam tiada jawapan bermain di fikiran.
....aku baring diperbaringan sambil memeluk bantal. Mataku masih berkedipan di dalam pekat malam.

Aduhai...
Bersarak serasa hilang, bercerai serasa mati. Padamu tuan tetap ku ingati...

May 23, 2017

Malam ini ku mendengar melodi indah



Sudah sekian lama tidak mendengar alunan haegeum...  Jang Nara digarap dengan melodi indah serta liriknya membawa aku menjelajah ke dunia senyap yang penuh semangat.

 " Langit hijau di atas, angin berbisik air mata.
Tertidur di sepanjang jalan berliku.
Kerinduan untuk tempat yang samar-samar dalam memori.
Seperti bunga liar yang menghilang dan kerinduan angin yang terletak.
Engkau, engkau adalah langit yang dipenuhi dengan mimpi yang mengalir.
Engkau, engkau adalah bintang yang terbang menaik.
Kerinduan untuk berjalan di jalan mimpi tertutup".

SELAMAT TINGGAL LANGIT BIRU

Kini aku kembali di sini...

Setelah sekian lama aku meninggalkan kamar kehidupan ini. Dahulu di sini tempat aku mencurah segala rasa, segala apa sahaja yang mahu aku tulis namun sebaik aku mengenali ' Langit Biru' hari demi hari kamar ini terus terbiar sepi. Aku seronok bermain di sana, bercerita tentang diri, tentang kehidupan, tentang semangat hidup, tentang kasih sayang, tentang pemikiran orang. Mengomel, mengomen penulisan, artikal orang, gambar atau sekadar membaca sebagai santapan minda. 

Di ' Langit Biru ' seakan aku kelihatan bahagia, gembira ada teman taulan untuk berbicara, berseloka dan bermadah pujangga !. Bagaikan ahli falsafah yang hari ini aku rasa semua itu adalah sampah-sampah yang sudah basi untuk aku kongsi mahupun bercerita. 

...perasaan hambar mula menghambatku..bosan, bosan !. 

Kebosanan yang aku rasakan kali ini benar-benar membuat aku memutuskan untuk meninggalkan 'Langit Biru'. Tiada apa yang sempat aku ambil baik gambar-gambar begitu juga penulisanku. Meskipun jauh di sudut hati banyak memori aku yang aku abadikan di sana. Tidak mengapalah...kesedihan ini terlalu kecil untuk aku besarkan.

Selamat tinggal pada teman-teman yang aku kenali dan yang tidak aku kenali. Tiada salam atas permergiaanku serta tidak sempat juga aku menyapa salam dari mereka yang memenuhi ruang mesej aku.. Tiada lagi 'stalker' yang mahu menyelongkar kisah hidup aku atau mengintip apa jua aktiviti aku !. Tiada  juga sesiapa yang perlu berkecil hati jika aku tidak menerima mereka menjadi rakan. Puas hati !.

Aku tidak mampu untuk memenuhi atau menjaga hati orang dan adalah baik biarlah aku yang berundur diri dari arena itu.

Selamat tinggal langit biruku....entah bila kita kan bersua lagi. Aku tidak tahu, biarlah buat masa ini aku menjadi penghuni kamar kehidupan yang sunyi ini.