April 19, 2011

Menyelami “Lautan Cinta Makrifah” Rabi'atul-adawiyah Al-Basriyyah



Sebuah nukilan dari seorang teman 'cinta itu tidak berhuruf, berupa dan bersuara. Selagi ada huruf, ada rupa, ada suara masih lagi syirik khafi mukhafi. Maka jangan terhijab dengan cinta.

Saya melihat cinta dari sebuah kisah wanita terulung,  Rabiatul Adawiyah binti Ismail al-Adawiyah al-Basriyah. Siapa diantara kita tidak mengenali wanita yang amat terkenal dalam dunia kesufian ini.
                   Anak yang dilahirkan di tengah-tengah kota Basrah , di  dalam sebuah pondok yang usang lagi daif. Tidak berbekalkan apa-apa ketika menyambut kelahirannya di dunia ini. Saat mula meningkat dewasa ayah dan ibunya telah kembali menuju ke alam kekal abadi. Anak kecil ini mulai belajar sebagai manusia yang tidak lagi bergantung pada ayah dan ibu. Anak kecil ini jua telah mulai belajar erti  tanpa kasih sayang, tempat belai dan manja. Namun apa yang mengkagumkan tidak ada secebis luka yang memagari jiwanya sebaliknya anak kecil ini mulai terdidik jiwanya. Rabiah tumbuh membesar dalam kawalan tuhan. Pengalaman hidupnya adalah merupakan jalan yang telah Allah sediakan buat diri Rabiah untuk menjadi seorang pencinta yang sering dahaga dengan mencari cinta ilahi. Siang dan malam hidupnya tidak pernah sunyi, sentiasa sibuk. Bukan kesibukan memikirkan hal dunia tetapi kesibukkannya beribadah kepada Allah Ta’ala. Malam baginya bukan untuk melelapkan mata dan merehatkan tubuh tetapi malam baginya tempat ia bertemu kekasihnya. Seorang yang qanah dan zuhud, tidak pernah mengantungkan harapan yang tinggi dalam merencana kehidupannya. Dia semakin kuat beribadah dengan bertasbih, berzikir, bertafakur kepada Allah Ta’ala. Tidak pernah kering bibir, lidahnya dalam melantun kalimat agung. Jiwanya sentiasa hidup bukan hanya hidup dalam dirinya atau alam ini bahkan hidup di alam nur. Baginya di situlah segala tempatnya melabuhkan kasih sayang. Tempat mengadu segala nasib suka dan dukanya.
Sepanjang perjalanan hidupnya bukannya indah belaka. Penderitaan, penyiksaan manusia ke atasnya menjadikan ia sebagai hamba sahaya cukup memilukan tiap mata yang memandang dan setiap telinga yang mendengar. Tetapi Rabiah tidak pernah merasai terhimpit dan tersiksa jiwanya  kerana setiap langkah dalam hidupnya selalu dihiasi dengan kesabaran dan kesederhanaan. Rasa cintanya kepada Allah tidak mampu diukur, diluahkan, dinukilkan apatah lagi untuk dizahirkan. Betapa cintanya kepada Allah telah mengalir ke seluruh anggotanya dan menyatu dalam hembusan nafasnya. Tidak ada yang terlepas buang sedetik cuma  sekalipun dalam mengingati Allah Ta’ala. Setiap nafas yang dihirup bagaikan kehidupan yang baru baginya. Tidak merasai jemu bahkah semakin subur rasa cintanya terhadap ilahi. Setiap nafas yang terhembus terasa begitu dalamnya segala nikmat yang dikecapi olehnya. Anugerah ini terlalu mahal baginya kerana selagi dia hidup selagi itulah dia akan menjadi pemburu dan menjadi pecinta yang setia. Betapa rasa hidupnya melebihi nyawanya yang ada. Ibarat orang sedang jatuh cinta, akan menuruti apa sahaja yang dihajati oleh kekasihnya. Meskipun kekasihnya tidak memberi apa-apa asalkan biar dirinya sahaja yang berbakti dalam kecintaan ini.
Rabiah tengelam dalam munajatnya kepada Allah hingga terlena dalam kerinduaan kerana keasyikannya dalam bercinta kepada Allah. Cinta Rabiah terlalu suci bak dihiasi indah bintang-bintang di langit malam dan sinaran cahaya mentari di siang hari. Malah lebih dari itu...cinta suci itulah yang menjadikan Rabiah mampu mengharungi kehidupan yang menyulitkan menjadi mudah kerana tekad membara dalam dirinya tidak pernah padam. Perjuangan hidup Rabiah penuh dengan keikhlasan ibarat semerbak harum bunga di taman Firdausi. Sungguh tidak mampu terlihat dari mata kasar dan digambarkan. Sesungguhnya cinta sesuci ini tidak mampu di sulam dan di selami oleh kita sebagai insan biasa namun sebagai manusia yang dicipta oleh-Nya dan telah dibekalkan cinta dari-Nya sudah tentu tahu dan faham mengapa CINTA dianugerahkan dalam diri kita ini.