Tembok Besar atau Great Wall China
China merupakan sebuah negara yang mempunyai sejarah lama, kebudayaan cemerlang dan kaya dengan sumber pelancongan. 29 Warisan Alam dan Warisan Budaya Dunia yang wujud di China memperlihatkan kecerdikan dan kerajinan rakyat China. Jumlah Warisan Dunia yang wujud di China itu menempati kedudukan ke-3 di dunia. Di antara tempat yang paling terkenal dan sering menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia ialah Tembok Besar atau Great Wall China. Maka kepada sesiapa yang pernah menjejaki Tembok Besar tersebut, tahniah! anda telah berada di salah satu antara "7 keajaiban dunia". J
Menyusuri sejarah China cukup unik dan klasik. Melihat sahaja Tembok Besar China serta kepanjangan tembok berkenaan kita akan melihat sebuah perjalanan sejarah yang cukup panjang. Panjangnya bukan hanya sekadar 7 ribu kilometer tembok berkenaan tetapi pertukaran pembesar-pembesar negara dalam memerintah negara China pada ketika itu. Begitu simboliknya Tembok Besar tersebut bukan sahaja dalam bidang ketenteraan untuk dikagumi tetapi seni bina yang menonjolkan simbol kecekalan serta kecerdikan mereka. Lihatlah, hasilnya telah menjadikan binaan yang cukup utuh hingga masih kekal pada hari ini.
Tembok China telah mencatatkan beribu-ribu kenangan yang tidak mungkin dapat terlakar kesemuanya di dalam lembaran catatan sejarah. Betapa ia pernah menjadi saksi orang-orang terdahulu....
Sekitar 1400 tahun yang lalu, sudah terlipat di dalam kitab bahawa di bumi ini bakal menjadi medan misi dakwah yang telah Allah Ta’ala rencanakan. Maka ketika sebelum berlakunya penghijrahan dari Makkah ke Madinah, Baginda Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan beberapa orang sahabat ke negara Tanah Besar ini. Bersiap siaga segala angkatan, berangkatlah Saad Abi waqqas, Qais Bin Hudhafah, Urwah Bin Abi Uthman mengembara ke tanah China atas kerana dasar agama. Meskipun tidak tercatat secara tepat penyebaran Islam di tanah China mula bertapak. Dinasti Tang (618M) telah membuktikan terwujudnya jalinan hubungan diplomatik di antara pemerintahan China dengan pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Uthman Bin Affan. Hubungan yang terikat kemas dengan kebijaksanaan Baginda Rasulullah s.a.w, islam semakin subur berkembang di negara China baik dari segi perdadangan dan kegiatan ekonomi. Hinggalah ke bab perkahwinan campur antara orang Arab dan Cina serta pengislaman penduduk tempatan. Maka tidak hairanlah mengapa negara China mempunyai banyak binaan masjid-masjid di setiap belahan wilayahnya.
Tulisan kaligrafi di dalam Masjid Nujie
(terima kasih kepada seorang teman atas kesudian berkongsi gambar)
Masjid Cheng Ho,
Laksamana Cheng Ho juga dikenali sebagai Zheng He dalam masyarakat cina, manakala nama Islam ialah Ma Sanbao atau Muhammad Ho.
Antara masjid yang tertua dan termasyhur ialah masjid Nujie di Beijing. Masjid tersebut juga masih lagi digunakan oleh penduduk untuk beribadat dan majlis ilmu. Masjid ini dibina pada tahun 996 Masihi ketika di bawah pemerintahan dinasti Song. Seni bina masjid ini banyak memaparkan ciri-ciri budaya dan kesenian Cina. Namun apa yang menariknya nukilan kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruang pintu, dinding dan tiang masjid ini sama sekali tidak memisahkan. Disebalik kehalusan kaligrafi kalimah-kalimah agung itu terpancar cahaya keislaman yang banyak menyimpan khazanah yang berkaitan dengan titik permulaan perkembangan Islam di China.
Masjid Agung Xi'an terletak berhampiran Menara Gendang (Gu Lou) di Lorong Huajue di Xi’an, ibu negeri provinsi Shaanxi, China. Dibina sewaktu Wangsa Tang (pemerintahan Maharaja Xuanzong, 685-762)
Atas segala ‘tanaman’ para ulama dan para daei dahulu, kini negara China telah melahirkan sebanyak 136 juta umat Islam. Angkanya lebih dari menurut sumber rasmi mengenai bancian penduduk Islam di China hanya mencatatkan 40 juta umat Islam sahaja.
Makam Saad Abi waqqas di Guangzhou
Saya pernah meninggalkan pesan pada seorang teman ketika dia berkesempatan berada di Tembok China. Saya minta beliau lepaskan pandangan jauh-jauh. Menyerapi sebuah kalimat “Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”.
Dalam saat merenung keindahan dihadapan mata tanpa dibatasi segala halangan. Taktala terasa angin kedinginan yang mendesir... menghembus ke seluruh alam. Nun, di atas dada-dada langit jauh terlihat sebuah cekerawala biru. Tampak kelihatan ada gelombang cahaya di sana. Terpersona menyaksikan keindahan, tenggelam dalam kebesaran, terpancar sinar keagungan-Nya. Cahaya yang menjadi penyinar kehidupan umat manusia. Begitu jualah cahaya ilahi yang ada dalam jiwa para kekasih seperti cermin membiaskan seluruh cahaya yang datang dari cahaya cinta Allah yang dipancarkan kepadanya. Di tanah ini baik di belahan bumi mana sekali pun, tetap barakah....setiap pelusuk bumi ini telah Allah Ta’ala hujani rimbunan rahmat yang tidak terhitung. Apatah lagi dihiasi dengan terutusnya para nabi dan rasul serta para kekasih Allah swt. Menjadikan bumi ini tempat yang amat subur untuk menanam benih syurga.
Masjid Beijing tetapi jangan silap ia bukan di China, lokasinya terletak di Rantau Panjang Kelantan