July 01, 2014

Jika ingin memberi, berilah...Jika tidak mahu...tidak mengapa





Ketika datang seorang lelaki menghulurkan bekas meminta sedekah. Dari satu meja ke meja lain. Tiada seorang yang mengeluarkan wang. Ada seorang anak memaut tangan ibunya...menyuruh ibunya memberi. Tetapi ibunya buat tidak mengerti, sambil berbisik kepada anaknya sesuatu. Berlalu lah sami itu...

Apakah mungkin kerana dia seorang sami, yang sudah pasti dalam kotak pikiran kita. Mengatakan sami ini akan menggunakan wang kita untuk dana pembangunan insitusi keagamaannya.

Suatu hari, saya pergi ke klinik. Saya lihat ramai pesakit pelbagai bangsa agama. Saya teringat kisah sami tempohari, mengapa doktor merawat pesakit-pesakit bukan Islam ini. Tidakkah nanti ada di antara pesakit itu terdiri daripada pendakwah bukan Islam. Biarlah mereka sakit, jangan dirawat. Jangan! nanti kita turut bersetongkol sekali dengan mereka membangungkan insitusi keagamaan mereka.

Saya sekadar menceritakan sebuah kisah 'kosong'. Jika nak memberi... berilah, jika tidak mahu...pun tidak mengapa. Beruntunglah bagi yang memahami....

June 15, 2014

Kita menemui Allah tanpa sebarang bekal.




Jika amalnya dihisab dengan teliti nescaya tidak ada satu pun yang layak dipersembahkan kepada Allah s.w.t. 

Jika dia mendatangi-Nya dengan ilmu pengetahuan maka Allah s.w.t menyambutnya dengan tuntutan. Ilmunya tidak mampu menyatakan kebenaran yang hakiki. 

Jika dia mendatangi-Nya dengan makrifat maka Allah s.w.t menyambutnya dengan hujah. Dia tidak akan dapat memperkenalkan Allah s.w.t. 

Kita berhadapan dengan-Nya melepaskan segala-galanya, kita menemui Allah s.w.t tanpa sebarang bekal.


June 13, 2014

Disebalik tangisan itu adalah Kerinduan....

Aku berlalu pada sekujur tubuh yang kaku diselimuti kain putih. Mengerling dihujung pandangan…mataku redup. Terlihat mendung wajah waris-waris simati. Habis basah meliputi wajah…tangisan demi tangisan yang tercurah.

Aku terus melangkah beredar pergi namun masih lagi terdengar esak tangisan. Tiba-tiba aku sebak…mendengar akan tangisan itu. Seolah-olah memanggil..merintih-rintih kepadaku ‘Apakah bisa engkau tahu akan tangisanku ini…’ tiba-tiba langkahku terhenti. Aku terdiam namun pandanganku tetap lurus ke hadapan. Suara tangisan itu berlagu sepi….lalu aku berbisik ‘ya…engkau meratap bukan kerana ditinggalkan oleh mereka telah kembali. Tiada satu penyebab alasan yang memaksa engkau berduka atas kehilangan ini. Air mata itu tetap kan gugur dengan tiba-tiba….'.

Aku terus beredar pergi...meninggalkan sisa tangisan yang terus meratap. 


Pada yang mengerti erti tangisan akan menemui kejernihan menghadap 'wajahNya'

Adapun tangisan yang mengalir itu merupakan air mata kerinduan. Rindu untuk bertemu Kekasih sebenar-benar Kekasih. Setiap dari manusia terlahir dengan jiwa yang 'hanif'. Jiwa yang cenderung terhadap 'kebenaran', kebenaran menemui tuhan yang sebelum ini bertemu serta berkasih sedari azali lagi;


Sesungguhnya Aku menghadapkan diriku kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar, dan Aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. (Q.S. al An’am [6]: 79). 


Namun sebaik lahir ke dunia manusia menjadi lalai dan terlupa tetapi DIA tidak pernah sesekali 'lupa' pada Kekasihnya. Kerana itu hendaklah kita mengambil faham erti sebalik tangisan kita merupakan isyarat yang selama ini sentiasa melewati emosi manusia.  Bukanlah sekadar bercucuran untuk mengisi kantung-kantung kehidupan. Akan tetapi yang terkurung di dalam jasad, terdinding dan terhijab itu tersangat rindu untuk menemui 'kembali' tuhanNya. Menanti terus menanti sampai bilakah engkau akan ‘mendapatkan’ DIA (Allah). Apakah setelah mati dan di dalam liang lahad itu engkau akan menemuiNya. Sedangkan semua itu sudah terlambat, maka pulanglah roh dengan hampa. Hampa kerana ketika dihidupkan oleh Yang Maha Hidup tidak Mengenal DIA....(Allah).

March 08, 2014

Sebelum aku beredar pergi




Hari ini daku melihat air matamu menitis, setelah terlalu lama dadamu menahan sebak. Saat aku memelukmu,  kegoncangan ini turut meragut emosiku.
Sandarlah ke bahuku. Mudah-mudahan dikau tenang...
Dengarlah pesananku baik-baik 'Biar sehebat mana gelombang lautan menghempas...badai itu bukan menyakitkan.
Andainya dikau karam...itu adalah yang terbaik buat dirimu.
Supaya dikau tahu ketidakupayaanmu dan supaya dikau kenal tujuan hidup matimu.
Ingatlah hari ini aku bersamamu.
Namun suatu masa nanti ku kan pergi, waktu itu usahlah dikau bersedih lagi kerana pemergiaan itu telah tertulis.
Sekiranya dikau bersedih jua, menangislah untuk dirimu.
Kelak kau akan kenal erti sebuah senyuman....
Tataplah wajahku serta simpanlah dalam ingatanmu.
Sebelum aku beredar pergi...'.