January 31, 2011

Teman Sang Malam dan Sang Hujan



Seharian hujan turun tanpa henti dari siang membawa hingga ke malam. Suasana malam ini terasa dingin, melihat kucingku bersendirian di dalam sangkarnya, redup matanya berkelip-kelip dihembus angin malam. Sudah lama aku membiarkan hidupnya bebas tanpa kurungan. Sejak ia makin membesar, aku tekad melepaskannya supaya ia hidup dalam fitrah sebagai haiwan yang bebas. Pergilah ke mana kaki ingin melangkah, namun sang kucing sudah tahu budi baik tuannya terhadapnya. Sejauh mana ia pergi tetap ke rumah tuannya ia pulang. Malam ini aku terpaksa kurungkannya, menghadkan aktiviti malamnya yang selalu entah ke mana. Tahu-tahu pulang membawa lipas bukan dibuat untuk santapan tetapi untuk dibuat main. Seronok membela kucing kampung lebih baik dari membela kucing parsi kerana kelincahan dan keberaniaannya. Hujan semakin lebat, saat wajah ku terpancul di muka pintu. Sang kucing mengejuk mukaku, sinar matanya bagikan meminta belas kasihan. Masih menanti kalau-kalau tuannya dapat melepaskannya. Aku merenungnya sambil tersenyum, masing-masing mengunakan isyarat mata tanda berinteraksi. Seakan tahu jawapan tuanya, sang kucing akur tanpa ‘mengiau’ untuk dilepaskan. Lalu ia menoleh, melepaskan pandangannya ke arah hujan. Lama benar ia merenung hujan yang turun. Tubuhnya berteleku dalam kesejukkan, diselimuti dengan bulunya yang halus mulus dan kerana bulunya itulah jua yang membuatkan saban masa aku sibuk mengemas rumah. Meskipun aku suka dengan kucing kerana kecomelaan dan kemanjaannya tetapi satu bab yang aku  lemah sekali  ialah bulu-bulunya. Sungguh pun begitu... Masyaallah...comel sungguh kucing ciptaan Allah swt ini.
Aku masih lagi di birai pintu, turut sama memerhatikan hujan yang turun. Air hujan yang turun dari bumbung rumah jiran,  ku lihat jatuh mencurah-curah. Tumbuh-tumbuhan pula bagaikan gembira menerima kedatangan sang hujan. Bumi Allah yang penuh barakah ini tetap disambut oleh penduduk bumi dengan penuh kesyukuran. Hujan yang membawa rahmat bukan sahaja menjadikan malam ini penuh kedinginan tetapi kegembiraan. Taktala aku mendengar suara-suara jiran riuh berborak duduk berkumpul sesama keluarga. Riang gelak ketawa seakan turut sama serancak hujan di malam ini. Rintik-rintik hujan cukup lebat sekali pada malam ini, air yang mengalir di tanah ku lihat seolah-olah bagaikan sedang membersihkan permukaan bumi ini. Segala debu kekotoran yang terdedah dan berbumbungkan langit pasti bersih disimbahi hujan. Aliranya sedikit demi sedikit meresap ke dasar bumi untuk dinikmati pula berjuta-juta akar di dalamnya. Jika sebelum ini tanah yang kering  kontang akan menjadi subur dan gembur. Agar pohon yang merimbun bisa akan berbuah pula;
‘Dan bukti (kekuasaan Allah) bagi mereka adalah bumi yang mati kami hidupkan bumi itu serta Kami keluarkan biji-bijian; maka daripadanya mereka makan. Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air; supaya mereka makan buah-buahan dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?'
Yassin~
Subahanallah...alhamdulillah.
Dalam kepekatan malam ini dan kedinginan yang semakin mencengkam tubuh. Diriku membisikan sesuatu;
 “Ya Allah, sesungguhnya kekuasaan-Mu mengatasi segala apa yang ada di alam ini, sepertimana Engkau menurunkan hujan lalu bumi yang mati Engkau hidupkan. Lembah yang dulu gersang kini kembali menghijau segalanya atas kekuasaan-Mu dan rahmat-Mu. Maka Ya Allah, kami juga berharap dan berdoa agar Engkau sentiasa menitiskan titisan-titisan rahmat ke dalam jiwa kami yang amat kami dahagakan hidayah dari-Mu. Supaya jiwa kami yang diliputi debu-debu kekejian disucikan sepertimana Engkau membersihkan bumi ini dengan hujan rahmat-Mu. Kerana Engkaulah Ya Allah sebaik-baik pencuciaan bagi hati-hati yang mati. Jangan biarkan kami hidup di alam ini tetapi hakikatnya jiwa kami mati dari sumber kasih sayang-Mu. Meskipun dunia ini penuh dengan kekotoran pada pandangan bathinya namun ia tetap tidak menjadi halangan buat para hamba-Mu. Kerana dari  kasih sayang-Mu itulah menjadikan hamba-hamba-Mu hidup dengan penuh membara dalam ketenangan demi untuk memiliki keridhaanmu Ya Allah”.
Malam semakin larut, hujan pula semakin reda. Aku melihat langit yang gelap tanpa ada bintang dan bulan menemani. Sudah tiba masanya untuk aku menutup malam ini...selamat malam wahai malam, selamat malam wahai hujan. Kalian tetap taat kepada-Nya, berjalan atas jalan sunahtullah tanpa sedikit pun mengingkari jika dibandingkan manusia ini sering sahaja lompang dalam ketaatan!.

January 17, 2011

Hari ini HARI ISNIN

Sudah agak lama tidak menjenguk blog ini apatah lagi menulis. Seakan rasa kekok jari ini memulakan gerak tarinya untuk menukil langkah bicara. Meskipun berjaya mengeluarkan dua artikal minggu lepas itupun banyak kali edit. Kesibukan beberapa minggu ini membuatkan diri ini rindu nak menulis tapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian sebelum meluangkan masa diblog ini. Utamakan yang mana lebih utama.

Cuaca sejak akhir-akhir seringkali hujan, terasa dingin suasana tambah lagi hujan di sebelah malam dan dinihari. Terasa sejuk hingga ke tulang hitam saat mandi di awal pagi, celik mata hilang mengantuk. Cukup segar sekali pagi ini, pasti akan aku mulakan langkahku dengan penuh bertenaga. Meskipun hari Isnin adalah diantara hari yang paling ramai manusia tidak bersemangat melaluinya. Ini mungkin cuti Sabtu dan Ahad seakan tidak cukup lagi untuk merehatkan badan dan minda. Tapi bagiku yang pernah juga melalui pengalaman demikian ia sesuatu yang tidak patut dilakukan alhamduliah, usia yang meningkat mula memantang diriku tentang kehidupan ini. Mana hilangnya semangat kita pada hari ini hingga gerak langkah terasa longlai tak bermaya. Untuk mengukir senyuman pun teramat payah. Ayuh! mari kita mulakan langkah hari ini dengan perasaan yang gembira. Mengapa harus bermuka ‘ketat’ dan bermata ‘kelat’ sedangkan hari ini terlalu indah. Cuba lihat nun jauh di dada langit awan nan biru itu berarak tenang. Sungguh gebu kelompok-kelompok awan menghiasi alam. Pandanglah lagi dikaki langit itu kerana sinar mentari telah mula memancarkan cahayanya. Burung-burung telah mula keluar dari sarang melebarkan sayap membelah awan. Riuh kedengaran kicauan sang burung mencari makan lalu tidak terasakah dalam diri kita? Jika alam begitu manis dan ceria dipandang mengapa kita yang sebaik-baik ciptaan-Nya seolah-olah berjasad tapi tak bernyawa. Kenapa tidak merasa bahagia dengan kehidupan yang Allah jadikan ini. Adakah kita rasa hari ini menjemukan atau membosankan. Ya Allah, janganlah kita rugikan hari ini kerana ia datang hanya sekali dan tak akan kembali untuk mengantikan hari yang kita siakan. Waktu semakin pantas berlari tapi kita masih terhegeh-hegeh meniti hari ini bahkan tidak bersedia menghadapinya.

Hari ini, kita tidak tahu apa yang bakal kita tempuhi dan apa yang ada dihadapan kita tidak ada siapa yang menduga. Bahkan dalam tempoh jarak sesaat kita tidak boleh baca perjalanan hidup kita yang bakal berlaku. Bagaimana kita ingin menempuhinya jika diri kita tidak bersiap sedia. Betapa ramai antara kita yang hadir ke tempat kerja tetapi bagaikan tidak hadir?. Adik-adik yang ke sekolah yang sepatutnya bertujuan untuk menimba ilmu sebaliknya hanya bersuka-suka. Masa yang ada terbuang begitu sahaja, guru sibuk mengajar dihadapan adik-adik dibelakang buat apa?. Kita harus sedar dan wajib sedar bahawa hidup kita di alam ini ada tujuan dan matlamatnya. Bukan semata-mata hidup untuk makan ataupun makan untuk hidup. Tetapi menjalani hidup ini dengan satu visi dan misi iaitu untuk alam yang kekal lagi abadi. Hidup ini terlalu singkat! kita tidak tahu bila pengakhir noktah kita di alam ini. Maka isikan hidup kita dengan penuh bermakna lakukan segala urusan yang telah diamanahkan sebaik-baiknya selagi mana kita mampu laksanakan. Hidup ini adalah ibadah segala apa yang kita lakukan tetap ibadah. Jangan bataskan ibadah itu hanya solat, puasa, zakat, haji sebagai urusan agama walhal agama itu adalah keseluruhan hidup kita. Sebagaimana kita lafazkan dua kalimah syahadat ia bukan hanya sekadar mengucap tetapi perlu diyakini oleh hati. Yakin bahawa Allah s.w.t adalah ESA tiada Tuhan selain-Nya dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah persuruh Allah, membawa rahmat ilahi cahaya kebenaran menyuluh sekelian alam. Tetapi bagaimana kita ingin merasa yakin dengan Allah? perhatikan pada diri kita, adakah benar penyaksiaan kita terhadap-Nya dalam melawati hidup kita selama ini. Kalau kita tidak mampu merenung selama mana kita hidup cukuplah kita merenung diri kita pada hari ini. Di mana tanda kesyukuran kita sebagai seorang hamba kepada-Nya. Di mana keyakinan kita terhadap-Nya bahawa Dia sebaik-sebaik pencipta yang mengatur segala apa yang ada dalam kehidupan ini. Kita adalah manusia yang sebaik-baik kejadiaan yang dijadikan tetapi persembahan diri kita kepada-Nya tidak seperti apa yang telah Dia berikan. Ingat, Allah tidak menginginkan apa-apa dari kita apatah lagi memerlukan kita kerana kita yang sebenarnya memerlukan-Nya. 

Maka oleh itu marilah kita hidup pada hari ini dengan penuh kenikmatan. Hargailah masa yang diberikan lakukan yang terbaik dalam hidup ini bukan hanya untuk diri kita bahkan untuk diri orang lain juga. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita dan memberi penujuk jalan untuk melepasi kesulitan yang dihadapi. Hidup ini tidak semudah yang disangka namun kesulitan yang dihadapi terasa mudah kerana Allah Ta’ala yang memudahkan. Berusahalah dengan gigih dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana duduk berdiam diri sambil mengharapkan sesuatu yang jatuh dari langit tidak diajar di dalam Islam. Dalam kehidupan ini tiap-tiap apa yang diusahakan bukanlah kerana daya kekuatan dan kebijaksaan yang lahir dari diri. Tidak mungkin dari usaha tercapainya cita-cita dan impian melainkan Allah Ta’ala yang menyempurnakan. 

Ya Allah, rahmatilah hidup kami pada hari ini, berkatilah umur kami yang Engkau anugerahkan kepada kami supaya kami tidak menjadi dikalangan hamba-Mu yang rugi. 
Wahai Yang Maha Pengampun, ampunilah diatas segala kesalahan dosa yang telah kami lakukan selama mana kami hidup di dunia ini.
Ya Allah, kami mohon pada-Mu agar tiupkan kekuatan dalam jiwa kami supaya kami tetap teguh berdiri menghadapi apa jua rintangan dengan tabah dan sabar. Janganlah tiap-tiap rintangan itu menjadi halangan buat kami untun berjaya di dunia dan akhirat melainkan dijadikan semangat agar jiwa kami sentiasa terdorong dan beryakinan terhadapa-Mu.
Wahai Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dari kalangan mereka yang menyayangi.


Senyumlah dalam menghadapi kehidupan pada hari ini. Tidak kira siapa diri kita yang penting kita berjaya membahagia perjalanan hidup kita. Bukan sahaja diri kita bahkan orang lain. Kebahagian yang sebenar adalah datang dari sanubari yang suci murni.














January 14, 2011

“Senyum..Jangan Tak Senyum"


“Senyum seindah suria yang membawa bahagia, senyum dari hati duniamu berseri”. Alangkah ruginya hidup kita ini membiarkan bibir kita terlalu berat untuk menguntum senyuman. Lesunya tiap langkah kita ini saat susahnya menghiasi senyuman dalam hidup. Betapa senyuman itu memberi kuasa dan tenaga bukan sahaja pada diri kita bahkan pada orang lain yang melihat kita tersenyum. Rasulullah saw jua turut menganjurkan umat-umatnya sentiasa bermanis muka dengan senyum yang turut dikirakan sebagai sedekah.  Namun jangan pula senyuman itu disalahgunakan contoh seperti untuk memikat gadis atau teruna hingga menimbulkan niat yang lain. Kadangkala kita juga terlalu susah untuk senyum terutama bila dalam keadaan marah. Hah! amat pelik sekali caranya jika perasaan marah di lepaskan dengan senyuman.  Ada sebuah kisah yang ingin dikongsikan bersama; suatu hari telah datang seorang Badawi meminta wang dari Rasulullah saw lalu Rasulullah saw memberi wang kepada Badawi berkenaan. Namun saat melihat wang yang diberi oleh Rasulullah saw, Badawi itu bingkas menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak jujur kerana wang berkenaan terlalu sedikit daripada pandangannya. Tetapi Rasulullah saw tidak mememarahi Badawi itu sebaliknya baginda tersenyum serta ditambahkan lagi wang kepada Badawi berkenaan dan menasihati beliau agar menutur dengan kata-kata yang mengandungi doa. Hasil dari kesabaran dan kebijaksanaan baginda menangani hal demikian pada ke esokan harinya Badawi berkenaan mengikuti nasihat baginda dan mendoakan baginda, keluarga serta para sahabat. Dari kisah ini dapat disimpulkan bahawa perkara-perkara yang kecil janganlah dijadikan sebagai masalah yang besar terutama yang melibatkan persaudaraan sesama insan. Biarpun ada masalah yang besar dan memerlukan kebenaran untuk ditegakkan tanganilah ia dengan sebaik-baik kebijaksanaan bukannya membiarkan api amarah menguasai diri. Rasulullah saw seorang yang suka tersenyum dan sebesar-besar ketawa baginda ialah tersenyum lebar hingga menampakkan baris giginya yang putih. Apabila baginda gembira maka dipejamkan matanya. Begitulah serba sedikit gambaran senyuman kekasih Allah swt ini. Bagi kita bagaimana? adakah terlebih dalam senyuman? atau terlalu susah melemparkan senyuman? Sesungguhnya senyuman itu menjadikan diri ini sentiasa muda selalu dari bermasam muka menyebabkan diri menjadi tua. Buat kata orang lama ‘ orang yang suka marah cepat tua’. Ini kerana kita telah banyak mengunakan tenaga dan saraf-saraf wajah mula menegang kerana terlebih kerutan akibat marah. Hasilnya wajah akan mula menimbulkan kedutan bukankah itu menjadikan ‘tua sebelum waktunya’. Oleh itu, mulai saat ini maka lakarkan hidup kita yang lebih bermakna iaitu senyum, senyumlah sebagai tanda kita seorang insan yang amat menghormati orang lain. Tidak mengapa kalau senyuman tidak dibalas kerana ini menunjukkan anda seorang yang amat PERMURAH.