January 17, 2011

Hari ini HARI ISNIN

Sudah agak lama tidak menjenguk blog ini apatah lagi menulis. Seakan rasa kekok jari ini memulakan gerak tarinya untuk menukil langkah bicara. Meskipun berjaya mengeluarkan dua artikal minggu lepas itupun banyak kali edit. Kesibukan beberapa minggu ini membuatkan diri ini rindu nak menulis tapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian sebelum meluangkan masa diblog ini. Utamakan yang mana lebih utama.

Cuaca sejak akhir-akhir seringkali hujan, terasa dingin suasana tambah lagi hujan di sebelah malam dan dinihari. Terasa sejuk hingga ke tulang hitam saat mandi di awal pagi, celik mata hilang mengantuk. Cukup segar sekali pagi ini, pasti akan aku mulakan langkahku dengan penuh bertenaga. Meskipun hari Isnin adalah diantara hari yang paling ramai manusia tidak bersemangat melaluinya. Ini mungkin cuti Sabtu dan Ahad seakan tidak cukup lagi untuk merehatkan badan dan minda. Tapi bagiku yang pernah juga melalui pengalaman demikian ia sesuatu yang tidak patut dilakukan alhamduliah, usia yang meningkat mula memantang diriku tentang kehidupan ini. Mana hilangnya semangat kita pada hari ini hingga gerak langkah terasa longlai tak bermaya. Untuk mengukir senyuman pun teramat payah. Ayuh! mari kita mulakan langkah hari ini dengan perasaan yang gembira. Mengapa harus bermuka ‘ketat’ dan bermata ‘kelat’ sedangkan hari ini terlalu indah. Cuba lihat nun jauh di dada langit awan nan biru itu berarak tenang. Sungguh gebu kelompok-kelompok awan menghiasi alam. Pandanglah lagi dikaki langit itu kerana sinar mentari telah mula memancarkan cahayanya. Burung-burung telah mula keluar dari sarang melebarkan sayap membelah awan. Riuh kedengaran kicauan sang burung mencari makan lalu tidak terasakah dalam diri kita? Jika alam begitu manis dan ceria dipandang mengapa kita yang sebaik-baik ciptaan-Nya seolah-olah berjasad tapi tak bernyawa. Kenapa tidak merasa bahagia dengan kehidupan yang Allah jadikan ini. Adakah kita rasa hari ini menjemukan atau membosankan. Ya Allah, janganlah kita rugikan hari ini kerana ia datang hanya sekali dan tak akan kembali untuk mengantikan hari yang kita siakan. Waktu semakin pantas berlari tapi kita masih terhegeh-hegeh meniti hari ini bahkan tidak bersedia menghadapinya.

Hari ini, kita tidak tahu apa yang bakal kita tempuhi dan apa yang ada dihadapan kita tidak ada siapa yang menduga. Bahkan dalam tempoh jarak sesaat kita tidak boleh baca perjalanan hidup kita yang bakal berlaku. Bagaimana kita ingin menempuhinya jika diri kita tidak bersiap sedia. Betapa ramai antara kita yang hadir ke tempat kerja tetapi bagaikan tidak hadir?. Adik-adik yang ke sekolah yang sepatutnya bertujuan untuk menimba ilmu sebaliknya hanya bersuka-suka. Masa yang ada terbuang begitu sahaja, guru sibuk mengajar dihadapan adik-adik dibelakang buat apa?. Kita harus sedar dan wajib sedar bahawa hidup kita di alam ini ada tujuan dan matlamatnya. Bukan semata-mata hidup untuk makan ataupun makan untuk hidup. Tetapi menjalani hidup ini dengan satu visi dan misi iaitu untuk alam yang kekal lagi abadi. Hidup ini terlalu singkat! kita tidak tahu bila pengakhir noktah kita di alam ini. Maka isikan hidup kita dengan penuh bermakna lakukan segala urusan yang telah diamanahkan sebaik-baiknya selagi mana kita mampu laksanakan. Hidup ini adalah ibadah segala apa yang kita lakukan tetap ibadah. Jangan bataskan ibadah itu hanya solat, puasa, zakat, haji sebagai urusan agama walhal agama itu adalah keseluruhan hidup kita. Sebagaimana kita lafazkan dua kalimah syahadat ia bukan hanya sekadar mengucap tetapi perlu diyakini oleh hati. Yakin bahawa Allah s.w.t adalah ESA tiada Tuhan selain-Nya dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah persuruh Allah, membawa rahmat ilahi cahaya kebenaran menyuluh sekelian alam. Tetapi bagaimana kita ingin merasa yakin dengan Allah? perhatikan pada diri kita, adakah benar penyaksiaan kita terhadap-Nya dalam melawati hidup kita selama ini. Kalau kita tidak mampu merenung selama mana kita hidup cukuplah kita merenung diri kita pada hari ini. Di mana tanda kesyukuran kita sebagai seorang hamba kepada-Nya. Di mana keyakinan kita terhadap-Nya bahawa Dia sebaik-sebaik pencipta yang mengatur segala apa yang ada dalam kehidupan ini. Kita adalah manusia yang sebaik-baik kejadiaan yang dijadikan tetapi persembahan diri kita kepada-Nya tidak seperti apa yang telah Dia berikan. Ingat, Allah tidak menginginkan apa-apa dari kita apatah lagi memerlukan kita kerana kita yang sebenarnya memerlukan-Nya. 

Maka oleh itu marilah kita hidup pada hari ini dengan penuh kenikmatan. Hargailah masa yang diberikan lakukan yang terbaik dalam hidup ini bukan hanya untuk diri kita bahkan untuk diri orang lain juga. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita dan memberi penujuk jalan untuk melepasi kesulitan yang dihadapi. Hidup ini tidak semudah yang disangka namun kesulitan yang dihadapi terasa mudah kerana Allah Ta’ala yang memudahkan. Berusahalah dengan gigih dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana duduk berdiam diri sambil mengharapkan sesuatu yang jatuh dari langit tidak diajar di dalam Islam. Dalam kehidupan ini tiap-tiap apa yang diusahakan bukanlah kerana daya kekuatan dan kebijaksaan yang lahir dari diri. Tidak mungkin dari usaha tercapainya cita-cita dan impian melainkan Allah Ta’ala yang menyempurnakan. 

Ya Allah, rahmatilah hidup kami pada hari ini, berkatilah umur kami yang Engkau anugerahkan kepada kami supaya kami tidak menjadi dikalangan hamba-Mu yang rugi. 
Wahai Yang Maha Pengampun, ampunilah diatas segala kesalahan dosa yang telah kami lakukan selama mana kami hidup di dunia ini.
Ya Allah, kami mohon pada-Mu agar tiupkan kekuatan dalam jiwa kami supaya kami tetap teguh berdiri menghadapi apa jua rintangan dengan tabah dan sabar. Janganlah tiap-tiap rintangan itu menjadi halangan buat kami untun berjaya di dunia dan akhirat melainkan dijadikan semangat agar jiwa kami sentiasa terdorong dan beryakinan terhadapa-Mu.
Wahai Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dari kalangan mereka yang menyayangi.


Senyumlah dalam menghadapi kehidupan pada hari ini. Tidak kira siapa diri kita yang penting kita berjaya membahagia perjalanan hidup kita. Bukan sahaja diri kita bahkan orang lain. Kebahagian yang sebenar adalah datang dari sanubari yang suci murni.