January 14, 2011

“Senyum..Jangan Tak Senyum"


“Senyum seindah suria yang membawa bahagia, senyum dari hati duniamu berseri”. Alangkah ruginya hidup kita ini membiarkan bibir kita terlalu berat untuk menguntum senyuman. Lesunya tiap langkah kita ini saat susahnya menghiasi senyuman dalam hidup. Betapa senyuman itu memberi kuasa dan tenaga bukan sahaja pada diri kita bahkan pada orang lain yang melihat kita tersenyum. Rasulullah saw jua turut menganjurkan umat-umatnya sentiasa bermanis muka dengan senyum yang turut dikirakan sebagai sedekah.  Namun jangan pula senyuman itu disalahgunakan contoh seperti untuk memikat gadis atau teruna hingga menimbulkan niat yang lain. Kadangkala kita juga terlalu susah untuk senyum terutama bila dalam keadaan marah. Hah! amat pelik sekali caranya jika perasaan marah di lepaskan dengan senyuman.  Ada sebuah kisah yang ingin dikongsikan bersama; suatu hari telah datang seorang Badawi meminta wang dari Rasulullah saw lalu Rasulullah saw memberi wang kepada Badawi berkenaan. Namun saat melihat wang yang diberi oleh Rasulullah saw, Badawi itu bingkas menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak jujur kerana wang berkenaan terlalu sedikit daripada pandangannya. Tetapi Rasulullah saw tidak mememarahi Badawi itu sebaliknya baginda tersenyum serta ditambahkan lagi wang kepada Badawi berkenaan dan menasihati beliau agar menutur dengan kata-kata yang mengandungi doa. Hasil dari kesabaran dan kebijaksanaan baginda menangani hal demikian pada ke esokan harinya Badawi berkenaan mengikuti nasihat baginda dan mendoakan baginda, keluarga serta para sahabat. Dari kisah ini dapat disimpulkan bahawa perkara-perkara yang kecil janganlah dijadikan sebagai masalah yang besar terutama yang melibatkan persaudaraan sesama insan. Biarpun ada masalah yang besar dan memerlukan kebenaran untuk ditegakkan tanganilah ia dengan sebaik-baik kebijaksanaan bukannya membiarkan api amarah menguasai diri. Rasulullah saw seorang yang suka tersenyum dan sebesar-besar ketawa baginda ialah tersenyum lebar hingga menampakkan baris giginya yang putih. Apabila baginda gembira maka dipejamkan matanya. Begitulah serba sedikit gambaran senyuman kekasih Allah swt ini. Bagi kita bagaimana? adakah terlebih dalam senyuman? atau terlalu susah melemparkan senyuman? Sesungguhnya senyuman itu menjadikan diri ini sentiasa muda selalu dari bermasam muka menyebabkan diri menjadi tua. Buat kata orang lama ‘ orang yang suka marah cepat tua’. Ini kerana kita telah banyak mengunakan tenaga dan saraf-saraf wajah mula menegang kerana terlebih kerutan akibat marah. Hasilnya wajah akan mula menimbulkan kedutan bukankah itu menjadikan ‘tua sebelum waktunya’. Oleh itu, mulai saat ini maka lakarkan hidup kita yang lebih bermakna iaitu senyum, senyumlah sebagai tanda kita seorang insan yang amat menghormati orang lain. Tidak mengapa kalau senyuman tidak dibalas kerana ini menunjukkan anda seorang yang amat PERMURAH.