Semoga Allah memberkati insan yang mengambil gambar ini
Ibnul Jauzi telah membahagikan umur ini menjadi 5 masa;
1.Masa kanak-kanak; sejak dilahirkan hingga mencapai umur 15 tahun
2.Masa muda; dari umur 15 tahun hingga mencapai umur 35 tahun
3.Masa dewasa; dari umur 35 tahun hingga mencapai umur 50 tahun
4.Masa tua, dari umur 50 tahun hingga mencapai umur 70 tahun
5.Masa usia lanjut; dari umur 70 tahun hingga akhir umur yang dikurniakan oleh Allah swt.
Rasulullah swa bersabda;
'Tidak bergerak kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang 4 perkara;
1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan
2.Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan
3.Tentang hartanya, dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan
4.Tentang ilmunya, apa yang sudah diperbuat dengannya
Berkata as-Syaikh al-Arif Abdul Wahab bin Ahmad as-Sya'rani
'Telah diambil janji-janji dari kita, bahawa apabila kita telah mencapai umur 40 tahun, hendaklah bersiap-siap dengan 'melipat' tempat tidur dan selalu ingat bahawa kita sekarang dalam perjalanan ke akhirat pada setiap nafas yang kita tarik sehingga tidak merasa hidup tenang di dunia ini. Disamping itu hendaklah kita menghitung setiap detik dari umur kita sesudah melebihi 40 tahun, sebanding dengan 100 tahun sebelumnya'.
Maka apa lagi yang kita tunggukan? berapa lama lagi kita harus menangguh?
Usia semakin pantas berlalu, akhirat semakin hampir menunggu. Telah Allah swt membekalkan segala-galanya kepada kita dalam kehidupan ini. Kepelbagaian pilihan terhampar dihadapan hingga kita menjadi 'rambang mata'. Namun tidak pernah terdetikkah kita, 'bekalan' apakah pula yang telah kita persiapkan untuk menghadapi alam seterusnya?. Sesungguhnya Alam Penantian dan Hari Perhitungan tidak seperti Alam Dunia. Kalau sudah menjadi mayat, kalau sudah terbaring di liang lahad yang gelap lagi sepi dan sunyi. Maka ketika itu taubat dan amal perbuatan kita tidak akan lagi bererti bahkan tidak diterima lagi.
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis; umur umat-umat terdahulu lebih panjang. Dikatakan umur Nabi Adam as menjangkau 850 tahun manakala Nabi Nuh 1000 tahun. Tetapi umur umat Muhammad terlalu pendek amat jarang sekali umurnya sampai ke 200 tahun. Tetapi pendeknya umur umat Muhammad telah dilimpahi rahmat keberkataan ilahi yang luas, tidak ada kelebihan dari umat-umat terdahulu. Oleh yang demikian kenangilah segala pengorbanan Nabi Junjungan Nabi Muhammad saw kerana keberkataan doanya bukanlah untuk dirinya tetapi demi umatnya. Agar kita semua diberi ruang dan peluang untuk memanfatkan umur kita sebaik-baiknya kerana hidupnya kita ini merupakan ibadah.
Ingatlah, tiada jaminan Islam itu kekal di dalam diri kita melainkan Allah swt yang memberi jaminan. Sesungguhnya banyak manusia takut akan mati sedangkan hati yang mati itu amat paling digeruni. Apalah gunanya kematian itu jika hidup di dunia ini, awal-awal lagi hati telah mati.
Wahai Allah, ampunilah segala dosa-dosa kami selama mana kami hidup di alam ini. Wahai Allah, pimpinlah dan bimbinglah kami tetap ke jalan kebenaran dan peliharalah kami agar kami tidak termasuk dikalangan orang-orang yang rugi. Wahai Allah, kukuhkan akidah kami, tingkatkan ketakwaan kami serta siramilah jiwa kami dengan cahaya keimanan. Tidak ada apa yang dapat membahagiakan kami di dunia ini melainkan Engkau semata-mata. Sesungguhnya tidaklah kami tahu BILA? DI MANA? dan BAGAIMANA cara kami dimatikan. Namun harapan dan doa kami sentiasa mengiringi agar Engkau mematikan kami tetap di dalam Islam.
Bersyukurlah kepada Allah swt kerana kita masih lagi hidup pada hari ini, sesungguhnya Allah swt masih lagi membuka pintu kehidupan kepada kita untuk perbetulkan segala kesalahan dan memperbaiki segala amalan. Capailah segera sebelum pintu kehidupan itu tertutup buat kita selama-lamanya.
Ingatkan dan ingatan buat saya serta semuanya.