Selamat datang wahai HARI yang menjadi saksi. Selamat datang wahai Jumaat yang penuh keberkataan. Selawat dan salam ke atas Penghulu kami Muhamad SAW, keluarga dan sahabat baginda. Dan segala puji bagi ALLAH.
Taktala suria mentari mula menyinari bumi, selamat pergi wahai malam yang menjadi tamu para-para kekasih. Hari ini telah datang maka tersenyumlah serta sambutlah sebagai tanda kesyukuran atas segala kenikmatan hari ini. Hadapilah hidup hari ini dengan tenang . Renungilah mutiara ini ;
Tiada keindahan dalam sebuah kehidupan tanpa merasai kepahitan dan tiada bunga-bunga kebahagiaan dalam sebuah kepahitan tanpa menyemai benih-benih kesabaran serta tiada keberkatan pada sebuah kenikmatan jika tiada keikhlasan dan kesyukuran yang bertapak di jiwa insan.
Berkatilah hidup kami pada hari ini dan moga-moga hari ini kami manfaatkan segenap ruang yang ada kerana hari yang berlalu tidak akan lagi kembali. Ia akan luput bersama waktu yang pergi. Tidaklah dijadikan HARI itu sia-sia maka janganlah masukkan kami dikalangan orang-orang yang rugi. Sesungguh hari esok tetap ada namun belum tentu hari esok ada buat kami. Oleh itu jadikan hari ini yang paling terbaik bagi kita.
Wahai DIRI andainya hari esok masih lagi ada maka bersedialah dan janganlah kamu khuatir dengan masa depan. Percayalah dengan takdir Allah dan ketentuanNya. Yakinlah dengan kebijaksanaan Allah. Relakan segala apa yang ditakdirkan Allah pada dirimu. Bersikaplah dengan baik, bersyukur dan redha. Hadapilah dugaan dengan sabar dan berserahlah diri kepada Allah.