June 17, 2011

Terpendam sebuah hikmah


Assalamualaikum...salam barakah buat diri dan seluruhnya...
Mutiara hikmah buat perkongsian bersama;

Jika engkau beribadah taat terhadap allah jangan kerana pahalanya. Kerana demikian yang engkau kejari adalah pahalanya bukannya Allah.

Berbuatlah ibadah dan taat terhadap-Nya. Mudah-mudahan allah akan mengurniakan rahmat-Nya terhadap engkau.

Sifat Allah yg Maha Pemurah tidak mengira samada engkau telah berbuat kejahatan tetapi Allah tetap akan mengampuni dosa-dosamu setelah bertaubat. Maka engkau tetap mendapat kurniaan dari-Nya


June 15, 2011

Jangan KALAH

Jadilah seperti matahari...yang tak pernah jemu menyinari. Dari sinar cahayanya ia datang dengan limpah rahmat dan manfaat untuk sekelian penduduk di alam ini.

                 Pagi tadi terlihat seekor anjing, kesian...tubuhnya kurus, berkurap, comot sekali. Jalannya pun tak tentu hala. Sesekali ia berhenti seketika, menghidu sesuatu. Tiupan angin yang mungkin membawa aroma makanan...menjadikan ia terpinga-pinga, mencari dari arah mana aroma itu datang. Saya tersenyum sendirian...bukan menghina anjing itu. Meskipun ia haiwan yang telah diharamkan tetapi ia bukan haiwan untuk dihina. Saya tersenyum pada diri sendiri. Sebagai seorang manusia yang berakal seringkali kita gagal dalam menghadapi dugaan. Kita mengeluh...kita berandai-andai...kita bosan...sukarnya menerima ketetapan ilahi. Betapa saya melihat, sekurap-kurap, sekering-kering tubuh si anjing apatah lagi pasti ia menjijikan tiap mata yang memandang. Namun si anjing seakan tidak pernah putus asa dalam menjalani hidupnya. Kakinya masih tetap melangkah ke mana sahaja, berusaha mencari makanan. Tidak ada erti lelah, melainkan jika keletihan dalam pencariannya, si anjing baring di kaki lima atau di tepi jalan. Matanya pejam sedangkan perutnya keroncong kelaparan. Akhirnya ia tertidur dalam kelaparan...hilang seketika segala rasa. Adakah kita tahu apa si anjing fikirkan? bukankah haiwan tidak berakal?.

                   Wahai teman...itu kisah seekor anjing. Apalah ada bagi kisah seekor anjing untuk dijadikan teladan? mungkin hati kita berdetik demikian. Tetapi bagi saya...betapa ia menyedarkan. Bahawa dalam hidup ini apa jua rintangan yang kita hadapi gagahilah dalam menempuhnya. Padamkan rasa putus asa...palingkan diri dari berandaian...apatah lagi rasa bosan. Kita ini manusia yang punyai akal. Berusahalah dan raihlah apa yang bermanfaat meskipun kecil jumlahnya..sedikitnya kudrat kita. Raihlah! selagi ada kerana itu lebih baik dari kita terus berkeluh resah akhirnya kita kehilangan setiap anugerah yang Allah berikan.

“Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan dan Allah melepaskan engkau dari kedua-duanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah”

June 13, 2011

Tiap diri kita ada manfaatnya


Dr. Yusuf l-Qaradawi telah menukilkan pepatah yang indah; “ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”


          

         Kelebihan apa yang ada pada diri kita untuk dilimpahkan kepada manusia lain...kita bukan seorang perwira yang gagah menghunus senjata. Kita juga bukan seorang penulis kitab-kitab ilmu yang menjadi penyuluh jalan manusia. Bahkan kita juga bukan seorang daie yang bersyarah di dalam majlis-majlis ilmu. Namun...kita tetap ada kelebihan dan amanah yang telah Allah Ta’alla berikan sesuai dengan apa yang mampu kita lakukan....



         Tiap kali saya pulang ke kampung saya akan melihat pokok-pokok yang ditanam oleh arwah abah. Masih ada yang tumbuh segar dan ada juga yang telah tebang. Satu hari saya berkata kepada mak,’Kalau boleh jangan ditebang pokok-pokok yang abah telah tanam, selagi ia tidak memberi kemudaratan pada orang lain biarlah pokok itu hidup dan mati dengan sendirinya. Meskipun pohon tidak lagi berbuah atau buahnya tidak menjadi. Sekurang-kurangnya ada makhluk lain seperti burung atau ulat daun yang boleh menikmati pokok itu. Atau pohon-pohonnya yang merimbun boleh dijadikan tempat berteduh buat kita dikala cuaca panas. Walaupun arwah sudah tiada tetapi hasilnya dapat kami nikmati bersama hingga hari ini. Buah-buahan yang menjadi seperti rambutan, durian dan cempedak mak agihkan kepada saudara-saudara dan jiran-jiran. Alhamdulillah...buah-buahanya sentiasa lebat saban tahun, saat saya melihat keriuhan burung memakan buah rambutan. Tupai yang keriangan menjamah isi durian. Semut-semut hitam yang sentiasa merayap dicelahan rambutan. Ulat cempedak yang melenting-lenting apabila buahnya dibelah... membuatkan saya cukup terharu. Bukan sahaja manusia sahaja yang dapat menikmatinya bahkan haiwan-haiwan jua turut merasainya. Inilah kelebihan arwah abah, suka berjasa kepada tanah. Biarpun sudah tiada di alam ini, namun jasanya dapat dimanfaatkan untuk kita yang masih tinggal di alam ini. 

Kampung kelahiranku....masih lagi segar kehijauannya....terima kasih abg Jit kerana gambar-gambar ini mengimbau kenangan yang lalu....
Photographer by : Kimicreative M'sia


          Beginilah sebuah contoh buat kita semua, apa yang mampu kita lakukan ialah raihlah apa yang ada pada diri kita dan pergunakan sebaik-baiknya. Tidak kira siapa diri kita, yang pasti tiap-tiap diri kita punyai manfaat kepada semua.

June 10, 2011

Ayah adalah yang TERBAIK!

Saat ayah memimpin tanganku, betapa aku  sedar bahawa ayah benar-benar menyayangi diriku...
Saat aku memimpin tanganmu, betapa aku percaya bahawa ayah adalah yang terbaik buat diriku...


Buat anak-anak diluar sana yang masih mempunyai ayah....

Sayangilah mereka selagi ada, hidup ini hanya sekejap sahaja. Mungkin kita atau mungkin ayah kita yang pergi dahulu tiada siapa yang tahu. Seringkali anak-anak lebih cenderung menyayangi ibu mungkin kerana ibu bersusah payah melahirkan kita tapi ingat! kita hidup tetap datang darinya jua. 

Jasa dan perjuangannya memelihara dan mendidik kita tiada galang gantinya. Dia adalah sumber segala kekuatan dan harapan kita. Setegas seorang ayah itulah tanda penegak semangat buat kita. Meskipun dalam diam namun kasihnya tetap mengalir...meskipun kurang bicara namun sekali ia berkata walaupun pedih, selama-lamanya ia kekal jadi ingatan dalam diri kita. Sayang ayah pada anak-anak bukan pada ucapannya dan bukan pada belaiannya. Tapi pada kudratnya mencari rezeki dan pada bahunya memikul kewajipan dan amanah. 

Hargailah ayah anda,  mereka adalah yang TERBAIK!!!

Tanamlah benih-benih syurga 1



Dr. Yusuf l-Qaradawi telah menukilkan pepatah yang indah; “ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”


Saya merenung beberapa barisan nama para ulama dan para daei silam yang banyak jasa kebaktianya. Meskipun telah sekian lama mereka ini pergi meninggalkan alam fana ini. Namun ilmu yang mereka sebarkan tidak pernah surut bahkan melangkau zaman. Naskah-naskah serta kitab-kitab yang dinukilkan oleh mereka umpama gedung ilmu yang seringkali menjadi bahan rujukan dan pembelajaran yang tidak pernah putus-putus. Segala bentuk sejarah perjalanan hidup mereka tidak pernah di telan waktu. Untuk menyelam dalam lautan ilmu bukannya mudah ia memerlukan semangat yang waja, jiwa yang cekal, tulus dan mulus kerana lautan ilmu adalah lautan yang tidak bertepi serta tiada batas sempadannya. Banyak dugaan dan rintang mereka perlu rempuhi semuanya semata-mata pengabdian diri mereka kepada Yang Maha Agung. Ramai dikalangan mereka bukan semata  berjuang dengan mata pena bahkan tidak terlepas dari rasa cemburu manusia lain. Di antara ulama yang terkenal seperti Imam Syafie, beliau pernah ditangkap oleh pemerintah serta hampir dipancung kerana dituduh sebagai Syiah dan mempecah belahkan masyarakat. Imam Hanafi turut menerima nasib yang sama yakni pernah ditangkap, dipenjara atas sebab tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah. Sepanjang di dalam penjara beliau disebat dan di seksa yang akhirnya beliau wafat akibat diracun.  Imam Maliki pernah disebat dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah. Manakala Imam Hambali pula turut melalui pengalaman yang sama, pernah dipenjara dan dirotan kerana turut mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan pemerintah. Namun setiap rintangan yang mereka hadapi sedikit pun tidak melunturkan semangat jihad mereka demi kecintaan mereka terhadap agama. Sepertimana juga buya Hamka seorang ulama yang terkenal di Nusantara turut pernah di penjara pada  awal tahun 1960an. Selain ditangkap buku-buku Almarhum turut yang dibakar. Tetapi kegetiran itu sedikitpun tidak mencalar jiwanya untuk terus berdakwah sehingga beliau berjaya melahirkan karya kitab Tafsir Al Azhar pada waktu ketika beliau di dalam penjara.

Perjuang para ulama dan para daei juga tidak hanya melingkar di daerahnya sahaja. Dengan berbekalkan ilmu serta semangat yang membara, mereka keluar meninggalkan keluarga, sanak saudara, harta benda. Mereka merantau jauh merentasi lautan dan benua untuk belajar dan menyampai risalah kenabian demi kerana agama. Sebagaimana kita menyaksikan banyak antara makam-makam mereka jarang sekali disemadikan di tempat kelahiran mereka. Kebanyakkannya menghembuskan nafas yang terakhir  di merata-rata bumi yang adakalanya  menjadi  mercu tanda sebagai pusat penyebaran dan kedatangan Islam pada sesebuah negara. Begitu banyak sebenarnya kisah-kisah para sahabat Nabi Muhammad SAW dan juga para ulama silam yang tidak berupaya untuk dikupas di sini. Jasa budi mereka yang ditaburkan di jalan Allah terlalu banyak dan tidak ternilai bagaikan mutiara gemerlapan di dasar lautan dalam. Mereka bertebaran pada setiap inci tanah di muka bumi Allah Ta’alla, mengembara dan menanam benih-benih syurga di merata-rata. Tidak ada penat lelah dalam hidup mereka, mengarang kitab-kitab yang menjadi obor penerang kepada ummah. Merekalah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai pewaris para nabi.



June 09, 2011

Hidup perlu ada semangat



                                               Perjalanan kita masih jauh...

Malam terasa dingin, masih terdengar suara katak menguang memanggil hujan. Api  pelita terliuk-liuk bagaikan menari ditiup angin malam. Aku melihat atuk, masih lagi tekun mengaji..sesekali dia berhenti seketika membaca doa, mungkin ada ayat rahmat atau mungkin ada ayat azab. Atok masih meneruskan lagi bacaannya. Aku pula masih lagi menatap malam melihat jauh nun di hujung bendang. Dalam kesamaran tenggelaman menghayati kebesaran-Nya. "Ha! menung jauh cucu atuk..." tersentak seketika mendengar suara atuk. Memang jauh menung aku ini..sampai tak sedar atok sudah selasai mengaji quran. Aku tersengih dengar sindiran atuk...sambil memandang wajahnya, terasa tenang. Walaupun sudah menjangkau usia 70an apatah lagi rambut sudah beruban penuh namun atuk seakan nampak muda pula...

"Atuk...macam mana rasanya hidup dipenghujung usia, saya lihat atuk masih lagi bertenaga. Atuk makan  apa ?" atuk tersenyum lantas berkata "atuk makan nasi la..." sambil ketawa. "Eh! saya pun makan nasi atuk, suka main-main atuk nie la..". 

Atuk mengesot perlahan-lahan lalu duduk bersila kemas disebelahku. "Hidup ini cu..bukan hanya untuk makan atau minum semata-mata, ya! manusia hidup kerana makan tetapi tak semestinya makan itu dapat menghidupkan manusia. Kadang-kadang walaupun dihadapan mata kita penuh dengan makanan tapi kalau jiwa sentiasa resah, gelisah. Makanan yang banyak pun tidak berguna. Bagi atuk apa yang perlu ada dalam diri manusia itu ialah semangat. Semangat untuk meneruskan hidup. Hidup ini cu...bukannya untuk bersenang lenang. Tiap-tiap hari manusia bergerak dan berjalan diatas titian usia yang semakin hari semakin meninggi. Macam atuk nie la...dan setiap perjalanan hidup ini tidak semuanya mendatar. Banyak ujian dan rintangan yang harus ditempuhi".

"Kenapa tuk?" cepat aku memintas. Sambil memandang langit yang hitam pekat. Tanpa sinar rembulan dan jua bintang. Atuk meneruskan kata-katanya "Manusia yang seringkali ditimpa dugaan atau musibah mudah hilang semangat. Semangat yang hilang akan menjadikan manusia itu lemah, hilang pertimbangan dan kekuatan tenaga. Akhirnya menjadikan hidupnya tidak bererti dan bermaya..."

"Apa pentingnya semangat itu tok?" Aku merenung tepat ke wajah atuk.

"Semangat itu merupakan kekuatan seluruh jasad, tanpa semangat mungkin kita tidak mampu hidup lagi biarpun bernyawa tapi seakan mati" ...atuk mengusap kepalaku sambil tersenyum manis.."suatu masa nanti cucu atuk akan tumbuh dewasa…cucu atuk akan tempuh jalan itu..moga cucu atuk berjaya".

Atuk bangun lalu beredar pergi…aku masih lagi setia memerhatikan malam…

June 08, 2011

Tenggelam dalam renungan




 
Nabi Muhammad SAW bersabda "Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada satu tahun beribadat".

Sesiapa merenungi sesuatu perkara dan mencari penyebabnya dia akan mendapati setiap bahagian mempunyai bahagian-bahagian sendiri dan dia juga mendapati setiap satu itu menjadi penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain. Renungan begini bernilai satu tahun ibadat.


           Alhamdulillah sepanjang tempoh proses menyendiri ini, banyak perkara kehidupan yang saya pelajari. Hidup ini kita perlu rehat buang seketika dari sebarang aktiviti kehidupan kita seharian. Kita tidak mampu memberhentikan putaran dunia tetapi kita mempunyai sedikit kemampuan untuk mengasingkan dari mengikuti peredaran dunia. Mengasingkan diri bukan bererti melarikan diri dari semua makhluk tetapi mengeluarkan diri dari kesibukan dunia. Hidup kita sentiasa sibuk, banyak urusan seharian apatah lagi bergelumang dengan kepelbagaian konflik, emosi yang kadangkala menjadikan kita sesak seketika. Banyak persoalan tentang kehidupan mula terhujam dalam benak fikiran. Maka kita perlu menghirup udara ketenangan seumpama mencari ketenangan di heningan malam.

Melihat kehidupan dari atas ternyata memberi pandangan yang cukup berbeda. Seringkali kita melihat dari pandangan bawah. Kita banyak melihat kerumitan yang menyulitkan dan pandangan dari sudut ini tidak menampakkan keindahan. Anda bayangkan, ketika anda berada di atas bumbung bangunan atau atas menara yang tinggi. Betapa anda akan melihat keindahan yang luas tidak terjangkau! Setiap bahagian yang sempit dan terdinding dibawah sana anda akan dapat menyaksikan dengan begitu mudah sekali dari atas. Segala lorong-lorong jalanan dari sebesar besar jalan hinggalah sesempit-sempit jalan tidak sama sekali dapat menghalang penglihatan mata. Bahkan anda juga tidak akan terlihat sampah-sampah yang bertaburan jika dibandingkan ketika anda berada dibawah. Dari penglihatan mata itu jua kita akan melihat suasana yang luas saujana mata memandang. Inilah perbandinganya, kita menyaksikan kehidupan ini bukan hanya dari mata kepala kita tetapi menyaksikan kehidupan ini dari mata akal kita. Dari mata akal itulah kita melihat pandangan yang cukup jauh.

Bumi ini sebenarnya tidak pernah berubah sama sekali, namun yang merubahnya adalah kita, manusia. Manusia punyai akal dan dengan akal itu manusia mula mencorakkan kehidupan. Dan setiap kehidupan yang dicorakkan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain yakni kaitan sesama makhluk di alam ini. Itulah yang menjadikan bumi ini berubah!. Namun hakikatnya setiap perkara yang dirancang, yang dilaksanakan, yang di corakkan sebenarnya di sebalik semua itu telah disusun dan diatur oleh Allah SWT. Dalam tiap-tiap perbuatan kita ada perbuatan-Nya. Tetapi perbuatan-Nya itu seringkali tercicir dalam makna hidup kita. Tenggelam menjadi seakan-akan seperti bayang-bayang yang sentiasa mengikuti kita ke mana sahaja kita melangkah. Walhal bagi manusia yang beriman mereka melihat perbuatan Allah itu dengan terang dan jelas dalam kehidupan mereka. Penyaksiaan inilah yang membuatkan mereka tidak pernah gusar dan gentar menghadapai apa jua bentuk dugaan dan rintangan. Penyaksiaan ini jualah yang menjadikan mereka tidak lagi banyak mempersoalkan kehidupan. Sebenarnya hidup yang sentiasa mempersoalkan kehidupan, mengapa begini..mengapa begitu…akan menjadikan kita letih. Letih mencari jawapannya akhirnya kita merasa tidak puas hati, kita akan rasa tertekan, kita akan merasa sedih. Maka berhentilah dari mempersoalkan dan mencari jawapan! selagi kita mempersoalkannya selagi itulah tidak akan menemui jawapan yang tepat.

Kawan saya pernah berkata, jika di dunia kita tidak dapat apa yang kita inginkan maka kejarlah akhirat insyaallah pasti dapat dengan syarat kita ikhlas. Apa yang ada di dunia ini bersifat sementara . Jika kita memperolehinya maka bersedialah kerana apa yang kita miliki itu bakal akan lenyap. Dan jika kita tidak perolehi apa yang ada di dunia ini, maka usahlah bersedih kerana boleh jadi Allah ingin memberikan sesuatu yang kekal lagi abadi.