Nabi Muhammad SAW bersabda "Satu saat bertafakur lebih bernilai daripada satu tahun beribadat".
Alhamdulillah sepanjang tempoh proses menyendiri ini, banyak perkara kehidupan yang saya pelajari. Hidup ini kita perlu rehat buang seketika dari sebarang aktiviti kehidupan kita seharian. Kita tidak mampu memberhentikan putaran dunia tetapi kita mempunyai sedikit kemampuan untuk mengasingkan dari mengikuti peredaran dunia. Mengasingkan diri bukan bererti melarikan diri dari semua makhluk tetapi mengeluarkan diri dari kesibukan dunia. Hidup kita sentiasa sibuk, banyak urusan seharian apatah lagi bergelumang dengan kepelbagaian konflik, emosi yang kadangkala menjadikan kita sesak seketika. Banyak persoalan tentang kehidupan mula terhujam dalam benak fikiran. Maka kita perlu menghirup udara ketenangan seumpama mencari ketenangan di heningan malam.
Melihat kehidupan dari atas ternyata memberi pandangan yang cukup berbeda. Seringkali kita melihat dari pandangan bawah. Kita banyak melihat kerumitan yang menyulitkan dan pandangan dari sudut ini tidak menampakkan keindahan. Anda bayangkan, ketika anda berada di atas bumbung bangunan atau atas menara yang tinggi. Betapa anda akan melihat keindahan yang luas tidak terjangkau! Setiap bahagian yang sempit dan terdinding dibawah sana anda akan dapat menyaksikan dengan begitu mudah sekali dari atas. Segala lorong-lorong jalanan dari sebesar besar jalan hinggalah sesempit-sempit jalan tidak sama sekali dapat menghalang penglihatan mata. Bahkan anda juga tidak akan terlihat sampah-sampah yang bertaburan jika dibandingkan ketika anda berada dibawah. Dari penglihatan mata itu jua kita akan melihat suasana yang luas saujana mata memandang. Inilah perbandinganya, kita menyaksikan kehidupan ini bukan hanya dari mata kepala kita tetapi menyaksikan kehidupan ini dari mata akal kita. Dari mata akal itulah kita melihat pandangan yang cukup jauh.
Bumi ini sebenarnya tidak pernah berubah sama sekali, namun yang merubahnya adalah kita, manusia. Manusia punyai akal dan dengan akal itu manusia mula mencorakkan kehidupan. Dan setiap kehidupan yang dicorakkan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain yakni kaitan sesama makhluk di alam ini. Itulah yang menjadikan bumi ini berubah!. Namun hakikatnya setiap perkara yang dirancang, yang dilaksanakan, yang di corakkan sebenarnya di sebalik semua itu telah disusun dan diatur oleh Allah SWT. Dalam tiap-tiap perbuatan kita ada perbuatan-Nya. Tetapi perbuatan-Nya itu seringkali tercicir dalam makna hidup kita. Tenggelam menjadi seakan-akan seperti bayang-bayang yang sentiasa mengikuti kita ke mana sahaja kita melangkah. Walhal bagi manusia yang beriman mereka melihat perbuatan Allah itu dengan terang dan jelas dalam kehidupan mereka. Penyaksiaan inilah yang membuatkan mereka tidak pernah gusar dan gentar menghadapai apa jua bentuk dugaan dan rintangan. Penyaksiaan ini jualah yang menjadikan mereka tidak lagi banyak mempersoalkan kehidupan. Sebenarnya hidup yang sentiasa mempersoalkan kehidupan, mengapa begini..mengapa begitu…akan menjadikan kita letih. Letih mencari jawapannya akhirnya kita merasa tidak puas hati, kita akan rasa tertekan, kita akan merasa sedih. Maka berhentilah dari mempersoalkan dan mencari jawapan! selagi kita mempersoalkannya selagi itulah tidak akan menemui jawapan yang tepat.
Kawan saya pernah berkata, jika di dunia kita tidak dapat apa yang kita inginkan maka kejarlah akhirat insyaallah pasti dapat dengan syarat kita ikhlas. Apa yang ada di dunia ini bersifat sementara . Jika kita memperolehinya maka bersedialah kerana apa yang kita miliki itu bakal akan lenyap. Dan jika kita tidak perolehi apa yang ada di dunia ini, maka usahlah bersedih kerana boleh jadi Allah ingin memberikan sesuatu yang kekal lagi abadi.