June 13, 2011

Tiap diri kita ada manfaatnya


Dr. Yusuf l-Qaradawi telah menukilkan pepatah yang indah; “ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”


          

         Kelebihan apa yang ada pada diri kita untuk dilimpahkan kepada manusia lain...kita bukan seorang perwira yang gagah menghunus senjata. Kita juga bukan seorang penulis kitab-kitab ilmu yang menjadi penyuluh jalan manusia. Bahkan kita juga bukan seorang daie yang bersyarah di dalam majlis-majlis ilmu. Namun...kita tetap ada kelebihan dan amanah yang telah Allah Ta’alla berikan sesuai dengan apa yang mampu kita lakukan....



         Tiap kali saya pulang ke kampung saya akan melihat pokok-pokok yang ditanam oleh arwah abah. Masih ada yang tumbuh segar dan ada juga yang telah tebang. Satu hari saya berkata kepada mak,’Kalau boleh jangan ditebang pokok-pokok yang abah telah tanam, selagi ia tidak memberi kemudaratan pada orang lain biarlah pokok itu hidup dan mati dengan sendirinya. Meskipun pohon tidak lagi berbuah atau buahnya tidak menjadi. Sekurang-kurangnya ada makhluk lain seperti burung atau ulat daun yang boleh menikmati pokok itu. Atau pohon-pohonnya yang merimbun boleh dijadikan tempat berteduh buat kita dikala cuaca panas. Walaupun arwah sudah tiada tetapi hasilnya dapat kami nikmati bersama hingga hari ini. Buah-buahan yang menjadi seperti rambutan, durian dan cempedak mak agihkan kepada saudara-saudara dan jiran-jiran. Alhamdulillah...buah-buahanya sentiasa lebat saban tahun, saat saya melihat keriuhan burung memakan buah rambutan. Tupai yang keriangan menjamah isi durian. Semut-semut hitam yang sentiasa merayap dicelahan rambutan. Ulat cempedak yang melenting-lenting apabila buahnya dibelah... membuatkan saya cukup terharu. Bukan sahaja manusia sahaja yang dapat menikmatinya bahkan haiwan-haiwan jua turut merasainya. Inilah kelebihan arwah abah, suka berjasa kepada tanah. Biarpun sudah tiada di alam ini, namun jasanya dapat dimanfaatkan untuk kita yang masih tinggal di alam ini. 

Kampung kelahiranku....masih lagi segar kehijauannya....terima kasih abg Jit kerana gambar-gambar ini mengimbau kenangan yang lalu....
Photographer by : Kimicreative M'sia


          Beginilah sebuah contoh buat kita semua, apa yang mampu kita lakukan ialah raihlah apa yang ada pada diri kita dan pergunakan sebaik-baiknya. Tidak kira siapa diri kita, yang pasti tiap-tiap diri kita punyai manfaat kepada semua.