June 09, 2011

Hidup perlu ada semangat



                                               Perjalanan kita masih jauh...

Malam terasa dingin, masih terdengar suara katak menguang memanggil hujan. Api  pelita terliuk-liuk bagaikan menari ditiup angin malam. Aku melihat atuk, masih lagi tekun mengaji..sesekali dia berhenti seketika membaca doa, mungkin ada ayat rahmat atau mungkin ada ayat azab. Atok masih meneruskan lagi bacaannya. Aku pula masih lagi menatap malam melihat jauh nun di hujung bendang. Dalam kesamaran tenggelaman menghayati kebesaran-Nya. "Ha! menung jauh cucu atuk..." tersentak seketika mendengar suara atuk. Memang jauh menung aku ini..sampai tak sedar atok sudah selasai mengaji quran. Aku tersengih dengar sindiran atuk...sambil memandang wajahnya, terasa tenang. Walaupun sudah menjangkau usia 70an apatah lagi rambut sudah beruban penuh namun atuk seakan nampak muda pula...

"Atuk...macam mana rasanya hidup dipenghujung usia, saya lihat atuk masih lagi bertenaga. Atuk makan  apa ?" atuk tersenyum lantas berkata "atuk makan nasi la..." sambil ketawa. "Eh! saya pun makan nasi atuk, suka main-main atuk nie la..". 

Atuk mengesot perlahan-lahan lalu duduk bersila kemas disebelahku. "Hidup ini cu..bukan hanya untuk makan atau minum semata-mata, ya! manusia hidup kerana makan tetapi tak semestinya makan itu dapat menghidupkan manusia. Kadang-kadang walaupun dihadapan mata kita penuh dengan makanan tapi kalau jiwa sentiasa resah, gelisah. Makanan yang banyak pun tidak berguna. Bagi atuk apa yang perlu ada dalam diri manusia itu ialah semangat. Semangat untuk meneruskan hidup. Hidup ini cu...bukannya untuk bersenang lenang. Tiap-tiap hari manusia bergerak dan berjalan diatas titian usia yang semakin hari semakin meninggi. Macam atuk nie la...dan setiap perjalanan hidup ini tidak semuanya mendatar. Banyak ujian dan rintangan yang harus ditempuhi".

"Kenapa tuk?" cepat aku memintas. Sambil memandang langit yang hitam pekat. Tanpa sinar rembulan dan jua bintang. Atuk meneruskan kata-katanya "Manusia yang seringkali ditimpa dugaan atau musibah mudah hilang semangat. Semangat yang hilang akan menjadikan manusia itu lemah, hilang pertimbangan dan kekuatan tenaga. Akhirnya menjadikan hidupnya tidak bererti dan bermaya..."

"Apa pentingnya semangat itu tok?" Aku merenung tepat ke wajah atuk.

"Semangat itu merupakan kekuatan seluruh jasad, tanpa semangat mungkin kita tidak mampu hidup lagi biarpun bernyawa tapi seakan mati" ...atuk mengusap kepalaku sambil tersenyum manis.."suatu masa nanti cucu atuk akan tumbuh dewasa…cucu atuk akan tempuh jalan itu..moga cucu atuk berjaya".

Atuk bangun lalu beredar pergi…aku masih lagi setia memerhatikan malam…