June 10, 2011

Tanamlah benih-benih syurga 1



Dr. Yusuf l-Qaradawi telah menukilkan pepatah yang indah; “ Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”


Saya merenung beberapa barisan nama para ulama dan para daei silam yang banyak jasa kebaktianya. Meskipun telah sekian lama mereka ini pergi meninggalkan alam fana ini. Namun ilmu yang mereka sebarkan tidak pernah surut bahkan melangkau zaman. Naskah-naskah serta kitab-kitab yang dinukilkan oleh mereka umpama gedung ilmu yang seringkali menjadi bahan rujukan dan pembelajaran yang tidak pernah putus-putus. Segala bentuk sejarah perjalanan hidup mereka tidak pernah di telan waktu. Untuk menyelam dalam lautan ilmu bukannya mudah ia memerlukan semangat yang waja, jiwa yang cekal, tulus dan mulus kerana lautan ilmu adalah lautan yang tidak bertepi serta tiada batas sempadannya. Banyak dugaan dan rintang mereka perlu rempuhi semuanya semata-mata pengabdian diri mereka kepada Yang Maha Agung. Ramai dikalangan mereka bukan semata  berjuang dengan mata pena bahkan tidak terlepas dari rasa cemburu manusia lain. Di antara ulama yang terkenal seperti Imam Syafie, beliau pernah ditangkap oleh pemerintah serta hampir dipancung kerana dituduh sebagai Syiah dan mempecah belahkan masyarakat. Imam Hanafi turut menerima nasib yang sama yakni pernah ditangkap, dipenjara atas sebab tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah. Sepanjang di dalam penjara beliau disebat dan di seksa yang akhirnya beliau wafat akibat diracun.  Imam Maliki pernah disebat dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah. Manakala Imam Hambali pula turut melalui pengalaman yang sama, pernah dipenjara dan dirotan kerana turut mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan pemerintah. Namun setiap rintangan yang mereka hadapi sedikit pun tidak melunturkan semangat jihad mereka demi kecintaan mereka terhadap agama. Sepertimana juga buya Hamka seorang ulama yang terkenal di Nusantara turut pernah di penjara pada  awal tahun 1960an. Selain ditangkap buku-buku Almarhum turut yang dibakar. Tetapi kegetiran itu sedikitpun tidak mencalar jiwanya untuk terus berdakwah sehingga beliau berjaya melahirkan karya kitab Tafsir Al Azhar pada waktu ketika beliau di dalam penjara.

Perjuang para ulama dan para daei juga tidak hanya melingkar di daerahnya sahaja. Dengan berbekalkan ilmu serta semangat yang membara, mereka keluar meninggalkan keluarga, sanak saudara, harta benda. Mereka merantau jauh merentasi lautan dan benua untuk belajar dan menyampai risalah kenabian demi kerana agama. Sebagaimana kita menyaksikan banyak antara makam-makam mereka jarang sekali disemadikan di tempat kelahiran mereka. Kebanyakkannya menghembuskan nafas yang terakhir  di merata-rata bumi yang adakalanya  menjadi  mercu tanda sebagai pusat penyebaran dan kedatangan Islam pada sesebuah negara. Begitu banyak sebenarnya kisah-kisah para sahabat Nabi Muhammad SAW dan juga para ulama silam yang tidak berupaya untuk dikupas di sini. Jasa budi mereka yang ditaburkan di jalan Allah terlalu banyak dan tidak ternilai bagaikan mutiara gemerlapan di dasar lautan dalam. Mereka bertebaran pada setiap inci tanah di muka bumi Allah Ta’alla, mengembara dan menanam benih-benih syurga di merata-rata. Tidak ada penat lelah dalam hidup mereka, mengarang kitab-kitab yang menjadi obor penerang kepada ummah. Merekalah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai pewaris para nabi.