Segala amal ibadah yang kita kerjakan bukanlah semata untuk mengharapkan balasan. Bukan juga untuk membalasi atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Sedangkan amal yang kita lakukan datang dari-Nya. Ibadah yang kita laksanakan datang dari-Nya juga. Bahkah diri kita ini juga milik Allah.
Lalu dimanakah hasil karya milik kita?
Mughirah bin Syu’bah r.a. pernah menyaksikan Rasulullah s.a.w mengerjakan solat dan beliau berkata: “Bahawa Rasulullah s.a.w berdiri solat hingga bengkak kedua-dua kakinya. Kepada baginda ditanyakan,’Mengapa tuan membebani diri dengan hal yang sedemikian? Bukankah Allah S.W.T telah mengampuni tuan daripada segala dosa yang terdahulu dan yang kemudian? lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: “Tidakkah patut saya menjadi hamba Allah yang bersyukur.”
Sesungguhnya kita tidak mampu menghitung, mengukur apatah lagi menilai segala kenikmatan yang Allah berikan. Maka itu, bersyukurlah kita ke hadrat Allah atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Baik dan buruk semuanya itu adalah anugerah dari Allah Ta'ala. Kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat. Itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat.
Mampukah kita membilang butiran pasir di pantai? Sedangkan yang ada di dalam gengaman tidak mampu kita menghitungnya. Sesungguhnya rahmat Allah itu tidak terjangkau dan tiada batasnya.