"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar.Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan.Sahabat sejati menjadi pendorong impian.Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah"
Dalam perhubungan kita sesama manusia apa yang paling indah sekali. Apabila kita mengenali atau mempunyai teman samada teman hidup, sahabat ataupun kawan yang saling nasihat menasihati, tegur menegur serta saling ingat mengingati. Namun tidak semua manusia mempunyai sifat sedemikian. Tidak dinafikan kadang-kadang kita rasa dihambat oleh perasaan 'kekurangan diri'. Yakni kita rasa, kita ini manusia tetap mempunyai kelemahan dan sudah tentu tidak terlepas dari berbuat kesalahan. Saat ingin kita menasihati atau menegur kita jadi serba salah kerana kita merasakan kita bukannya yang terbaik. Lalu sampai bila kita ingin menjadi benar-benar baik baru ingin menasihati dan mengajak orang membuat kebaikan?.
Sebenarnya tidak ada yang terbaik diantara kita melainkan menuju ke arah menjadi baik. Masing-masing penuh kesibukan bermujahadah dalam perjalanan hidup ini hingga ke akhir hayat. Tidak akan terhenti perjuangan ini selagi kita bernyawa. Dalam perjalanan kita untuk menjadi baik janganlah keseorang, bawalah teman yang boleh sama-sama saling ingat mengingati dan nasihat menasihati.
Teman yang paling baik ialah teman yang apabila kita buat silap dia menegur dan menunjukkan jalan. Apabila kita bersedih dia menampung dengan kata nasihat dan apabila kita lemah ia menyuntik semangat serta mengajar apabila kurang berpengetahuan. Begitu jualah sebaliknya, saling tegur menegur,ingat mengingat dan nasihat menasihati sesama kita. Saya amat tertarik dengan pepatah ini;
' Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!. Pahrol Mohd Juoi's
Rasulullah s. a. w. juga meninggalkan pesan, baginda bersabda;
"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.."