November 04, 2011

Berjuanglah sebagai seorang penuntut ilmu!.


             Baru-baru ini saya melihat beberapa klip video serta gambar anak-anak remaja yang masih lagi berada di bangku sekolah. Namun akhlak serta budi pekerti amat tidak selaras dan selari dengan diri mereka sebagai seorang pelajar. Adakah mereka belajar sekadar untuk memenuhi tuntutan usia muda mereka yang sepatutnya belajar atau adakah mereka belajar untuk memenuhi harapan ibubapa?. Serta adakah sekadar hanya untuk lulus peperiksaan dan mendapat sijil semata?.

Kita sering mendengar pesan ibu atau ayah kepada anak-anak ‘belajar rajin-rajin supaya besar nanti dapat kerja baik serta bergaji besar. Boleh bantu ibu bapa dan adik-adik jika masih lagi bersekolah’. Pesanan ini baik namun kita perlu tambah sedikit kata-kata tersebut yakni ‘dengan ilmu dan gaji yang kita perolehi maka pergunakanlah untuk membantu mereka yang lemah dan nikmatilah ia bersama ke jalan Allah.


Anak-anak yang masih belajar perlulah dilentur dari kecil lagi tujuan dan makna mengapa mereka perlu menuntut ilmu.
 

Adik-adik yang masih menuntut di sekolah dan juga di pusat pengajian tinggi haruslah sentiasa merenungi dalam diri bahawa anda adalah merupakan perjuang ilmu. Jadikan tempat belajar anda sebagai medan menuntut ilmu. Jangan membuang waktu dan mempersia-siakan harapan ibu dan ayah. Serta wang ringgit yang telah banyak mereka taburkan kepada anda bukannya datang dari jalan yang mudah. Adakalanya mereka terpaksa berhutang atau bergolok bergadai demi untuk melihat anak-anak mereka berjaya. Pernah saya temui adik-adik yang ingin melanjutkan pelajaran  di Mesir tetapi masih lagi tidak cukup membiayai diri mereka untuk ke sana. Tanpa segan dan malu mereka masuk ke setiap permis perniagaan untuk meminta derma dari orang ramai. Apabila saya melihat surat tawaran mereka saya rasa sedih tambahan lagi mereka ini adalah golongan perempuan. Berapa banyaklah hasil sumbangan yang kami hulurkan dan tidak seberapa ini. Maka kami tambahkan dengan perangsang dan semangat kepada mereka agar belajar bersungguh-sungguh dan taatilah Rasul dan Allah swt kerana perjuangan mereka ini fisabilillah. Tidak kira apa bidang yang mereka pelajari kerana mereka seorang penuntut ilmu. 

Ilmu tanpa amal bagaikan debu ditiup angin tiada manfaatnya.

Jadi kepada adik-adik yang tidak punyai masalah dalam soal kewangan pula jangan mengambil kesempatan dari melencong dari tujuan sebenar. Jaga solat sentiasa dan bergaul-lah dengan teman-teman yang dapat mendorong kita untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi insan yang baik. Teman-teman yang dapat menegur kita di kala kita membuat kesilapan. Berusahalah menjauhi teman-teman yang membawa kita ke jurang kelalaian kerana golongan ini akan memberi mudarat dan membinasakan kita. Harus diingatkan, ilmu yang adik-adik pelajari dan sijil yang bakal dirangkul itu bukan hanya semata untuk menjadi tiket untuk mengisi jawatan-jawatan di luar sana. Adik-adik harus belajar untuk ‘mencipta peluang’ bukannya ‘merebut peluang’. Bayangkan ketika ini, untuk mengisi jawatan dalam sesebuah syarikat yang hanya menawarkan satu jawatan tetapi temuduganya dilimpahi ratusan orang. 

Belajarlah untuk mempergunakan ilmu pengetahuan itu supaya dapat menghiasi diri menjadi manusia yang berkualiti. Orang yang berilmu umpama gula yang bakal dikerumuni semut. Berkatnya sesuatu ilmu itu apabila ia dapat di manfaatkan kepada dirinya serta orang lain. 



Tanamlah ‘benih-benih syurga’ dalam perjuangan adik-adik sebagai seorang penuntut ilmu!.